Ahad, 4 Oktober 2020

BRAMFIELD HOUSE : RUMAH INGGERIS BERTIANG SERI - Maria Kajiwa


Tiang seri adalah satu ciri binaan yang biasa terdapat pada binaan rumah tradisional Melayu. Ia merupakan tiang utama yang biasanya didirikan di tengah rumah. Tetapi apa pula halnya dengan rumah berciri Inggeris yang mempunyai tiang seri? Rumah Inggeris sememangnya tidak mempunyai tiang seri sepertimana ciri sebuah rumah tradisional Melayu. Keberadannya hanya akan mencacatkan pemandangan dan seni binanya apatah lagi sekiranya rumah berkenaan diperbuat daripada batu dan konkrit. Tentu ganjil apabila terdapat pula sebatang tiang kayu yang berada di tengahnya.

Ini cerita tentang misteri sebuah rumah agam yang dibina oleh Brock Bramsfield yang dikatakan tertarik dengan budaya masyarakat tempatan. Kesukaan beliau tidak terhad kepada setakat budaya dan makanan bahkan melampaui hingga ke perkara-perkara yang dikira mistik dan khurafat. Beliau mahukan sebatang tiang seri didirikan dalam rumah yang dibinanya. Tiang seri berkenaan bukanlah sebagai satu barang perhiasan tetapi beliau mahu ia dimasukkan semangat tertentu yang boleh menjadi penjaga rumah itu.

Latar masa kisah ini adalah selepas pendudukan Jepun di tanah Melayu manakala berkenaan Brock adalah sebelum itu lagi dan diceritakan secara imbasan semula. Brock telahpun mati dipancung Jepun, Justeru selepas pendudukan bangsa pendek tersebut, ibu bapa Brock mahu menghidupkan semula rumah berkenaan. Agak susah bagi Winston, penjaga amanah rumah berkenaan untuk mencari pekerja yang boleh menguruskan rumah berkenaan lantaran kesemua penduduk kampung tahu akan sejarah hitam serta keangkeran rumah berkenaan, Banyak gangguan berlaku sehingga membawa kepada berlakunya beberapa kematian.

Bagi merungkai persoalan pembaca, maka penulis membawakan imbas semula kenapa rumah berkenaan menjadi begitu keras dan kenapa orang kampung begitu marah dengan penghuni rumah berkenaan. Persoalan juga muncul kenapa makhluk berkenaan mengganas semula sedangkan ia telahpun 'dikunci' satu ketika dahulu. Ini teka teki yang dibuat penulis bagi membangkitkan rasa ingin tahu pembaca,

Selalunya orang putih sering dilakarkan tidak begitu mempercayai sesuatu yang mistik. Namun penulis cuba mengambil pendekatan berbeza apabila memaparkan spesis orang putih yang taksub dengan perkara sebegini hingga ke tahap mempelajarinya. Namun bersahabat dengan syaitan bukanlah satu pilihan yang baik yang biasanya pasti akan memusnahkan diri sendiri. Brock yang mahukan Basariah berasa terhina apabila kehendaknya ditolak oleh keluarga gadis berkenaan. ini lantaran sikap beliau yang sombong serta tidak mahu mengubah akidah beliau walaupun mengetahui agama Basariah. Kerana dendam ini beliau dan Pawang Akik melakukan satu tindakan yang agak melampau sehingga membawa kepada kematian Basariah kemudiannya. Cuma kematian Brock di tangan Jepun sama sekali tidak ada kaitan dengan perlakuan beliau tersebut. Hamba percaya sekiranya kematian Brock dikaitkan dengan perbuatan beliau sebagai satu pembalasan pasti akan lebih menarik lagi.

Di sebalik semua kisah di dalam penceritaan ini kita dapat melihat mesej betapa sikap penjajah yang membuat tanah jajahan mereka seperti milik mereka sendiri. Mereka mahu menjadi tuan dan berasa berhak melakukan apa sahaja. Sikap mereka kadangkala menimbulkan kemarahan orang tempatan kerana kurang ajar dan tidak menghormati adat dan kepercayaan tempatan. Kita bersyukur kerana mereka sudah lama angkat kaki. Cuma masalahnya hari ini, orang kita pula yang menjadi seperti orang putih malah lebih teruk daripada orang putih lagi. Orang putih mungkin akan tersenyum - mereka telah tiada tetapi pewaris mereka tetap ada!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...