Selasa, 13 Oktober 2020

JANGAN BACA KOMBO NI - Ismi Fa Ismail


 

Ini adalah kali pertama hamba membaca karya Ismi. Kali ini baca tiga karya sekaligus. Ini kerana Jangan Baca Kombo Ni adalah himpunan tiga karya beliau yang bertajuk Jangan Baca Novel Ni, Tanpa Tajuk dan Akhir. Jangan Baca Kombo Ni diterbitkan pada Mac 2020 yang hamba rasa bertujuan untuk pemasaran PBAKL 2020. Namun kerana covid yang melanda, trilogi ini dijual secara atas talian.


1. Jangan Baca Novel Ni.

Semasa novel ini mula berada di pasaran lama dahulu, ia memang ada unsur tarikan. Dengan kulit yang diberikan warna hitam dan tulisan tajuk yang berwarna merah, ia menimbulkan tanda tanya kenapa jual novel sebegini sekiranya pembaca dilarang untuk membacanya. Tapi hamba memang 'lurus'. Apabila dah dilarang untuk membacanya, maka tiadalah hamba membeli naskhah ini walaupun selepas itu telah diterbitkan siri yang kedua dan ketiga.

Namun apabila mula membaca tulisan Ismi, dari muka ke muka dan dari bab ke bab, hamba dapat rasakan bahawa penulis ini mempunyai keistimewaannnya yang tersendiri. Gaya penulisannya (dalam novel ini) mampu untuk menarik pembaca untuk terus kekal menatap helaian mukasuratnya. Sukar untuk meneka pada mulanya sama ada novel ini berunsurkan seram, thriller ataupun fantasi. Ia sememangnya satu misteri. Pembaca perlu mengkhatamkan setiap siri kerana setiap siri mempunyai kaitan dan ia tidak boleh berdiri sendiri.

Perjalanan Munir ke kampung menemukan beliau dengan seorang budak bernama Adib. Memandangkan tiada siapa yang bertanggungjawab ke atas anak berkenaan, Munir telah membawanya bersama ke kampung. Bersama budak berkenaan terdapat sebuah buku hitam seperti novel dan beliau dilihat asyik menatapnya. Novel di tangan budak inilah yang akan memulakan misteri dalam cerita ini. Walaupun namanya novel, hamba boleh katakan bahawa isinya adalah sebuah antologi cerpen. Ia mengandungi beberapa cerita pendek yang pelik seperti manusia yang berubah menjadi kucing, manusia yang boleh terapung, manusia yang boleh melihat masa depan dan lainl-lain. Kepelikan mula timbul apabila Munir selesai membaca setiap cerpen akan berlaku peristiwa yang mempunyai unsur kaitan dengan cerita berkenaan. Cerpen-cerpen kemudiannya mula menimbulkan lebih banyak misteri apabila watak-watak yang hadir merupakan mereka yang dikenali oleh Munir. Keterujaan pembaca akan memuncak apabila kisah terakhir dalam novel itu memasukkan bagaimana Munir menjumpai Adib! Bagaimana Munir boleh masuk ke dalam sebuah novel yang kelihatan usang kerana telah lama ditulis sedangkan beliau hanya bertemu Adib dalam tempoh beberapa hari yang lalu sahaja.

Penulis novel ini (Ismi) juga turut 'memasukkan' watak dirinya di dalam novel ini apabila dikisahkan dia mendapatkan novel asal dari Munir dan kemudian mengkomersilkannya. Buku yang asalnya berwarna hita telah ditulis tajuknya oleh Adib - Jangan Baca Novel Ni - sebagai satu amaran agar orang tidak membacanya, dengan menggunakan darah beliau sendiri. Justeru apabila pembaca melihat semula bentuk novel di tangan dengan tulisan tajuk yang diwarnakan merah, ia seolah membawa unsur bahawa pemba kini adalah sebahagian daripada manusia yang telah membaca novel larangan ini!

Di penghujung novel watak Zack telah diperkenalkan. Watak ini merupakan sahabat penulis Ismi yang bertugas sebagai toxicologist. Ismi telah meminta beliau mengkaji bahan kimia yang digunakan untuk menulis novel berkenaan yang kemudiannya dikesan sebagai satu dadah jenis baru yang amat kuat sehingga boleh mendatangkan halusinasi kepada pembacanya. Namun keadaan yang berlaku kepada Zack selepas itu mula mendatangkan tanda tanya kepada pembaca. adakah Zack sendiri telah mendapat akbibat kerana terhidu bahan dadah berkenaan atau adakah beliau turut mempunyai kaitan dengan misteri novel ini?


2. Tiada Tajuk

Bukan sahaja dinamakan sedemikian, bahkan siri kedua trilogi ini hanya menampilkan sebuah buku yang kosong, hanya dihiasi warna hitam. Tidak seperti namanya, siri kedua menampilkan misteri yang lebih menyesakkan minda pembaca. Ia berlaku selepas dua tahun peristiwa dalam novel pertama. Adib telah bersekolah dan memiliki minda yang tidak padan dengan usianya. Dia dilihat genius kerana boleh menyempurnakan soalan peperiksaan percubaan SPM. Namun penumpuan terbesar adalah kepada beberapa kes pembunuhan yang dilakukan seorang pembunuh bergelar Pembunuh Batik Biru. Untuk makluman batik berwarna biru merupakan kain yang digunakan oleh watak berwarna Anom dalam salah satu kisah dalam novel Adib dan menjadi kain kegemarannya yang sering digunakan sebagai kain basahan untuk mandi. Setiap kali melakukan pembunuhan, si pembunuh akan memperlakukan mangsanya dengan kejam seperti menyembelih, melapah dan memotong jasad mereka. Jasad itu kemudiannya akan ditutup dengan kain batik biru berkenaan. 

Pembaca akan bertambah teruja apabila pada setiap mangsa yang dibunuh akan dijumpai bersama mereka satu kisah pendek yang merupakan sambungan atau mempunyai kaitan dengan kisah-kisah pendek dalam novel hitam Adib. Dan kisah-kisah pendek berkenaan pula menambahkan lagi keresahan pembaca apabila ia berlaku pula dalam dunia realiti. Pembunuh Batik Biru hanya membunuh seramai lima orang sahaja dan menyerah diri kepada polis sebaik melakukan tugasannya yang terakhir.

Satu karangan oleh Adib pada hujung novel kedua ini seolah memberikan sedikit jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di minda pembaca seperti tentang misteri perempuan bernama Anom serta siapakah Adib. 


3. Akhir

Akhir adalah siri terakhir trilogi ini. Memaparkan tiga garisan tegak yang merupakan satu garisan yang kelihatan seperti cakaran yang berlaku kepada beberapa individu di bahagian belakang bawah bahu sebelah kiri. Sampai ke sudah kenapa berlakunya cakaran seperti ini tidak dijelaskan. 

Sewajarnya buku akhir ini akan menjelaskan segala yang kelam di dalam buku pertama dan kedua. Walaupun itu berlaku, hamba percaya ia akan tetap menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada pembaca.

Walaupun segala misteri dalam buku pertama dan kedua akhirnya seperti boleh dikaitkan dengan satu konspirasi manusia dan bersifat saintifik, misteri dalam buku ketiga kembali kepada unsur ghaib. Ini berlaku dengan kemunculan serta penjelasan tentang watak yang digelar Pohon. Pembaca akan dikejutkan dengan perkara yang tidak dijangka-jangka seperti siapakah sebenarnya Suraya. Satu yang mengejutkan juga berlaku kepada watak Munir yang mana hamba percaya ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa watak ini memandangkan sejak mula dia kelihatan baik, berusaha menjadi baik dan cuba melakukan yang terbaik. Agak menyedihkan apabila wataknya ditamatkan dengan satu perkara yang dramatik dan seterusnya memberikan peluang kepada satu watak yang sepatutnya dihukum mati.

Siri yang ketiga ini nyata lebih memeningkan kepala!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim

  Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku...