Isnin, 19 Oktober 2020

THE ARRIVAL - Naim Tamdjis


 

Kulit novel ini ringkas sahaja. Hanya lukisan berbentuk lakaran dengan menggunakan tiga warna - hitam, putih dan kuning. Tetapi penampilan sebegini umpama novel-novel Inggeris yang terdapat di pasaran. tambahan pula tajuknya yang menggunakan bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun novel ini menggunakan bahasa Melayu dengan beberapa ketul perkataan Inggeris.

Kebiasaannya Naim Tamdjis tampil dengan karya seram, tetapi tidak kali ini. The Arrival adalah novel bercorak aksi kepolisian yang mempunyai unsur thriller. Persoalan mengenai Imam Mahdi telah membuatkan ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyamar menjadi beliau. Namun karakter-karakter ini tidak tambil secara biasa-biasa sahaja. Mereka mempunyai karisma tersendiri sehingga mampu membina kumpulan atau jemaahnya yang tersendiri. Fenomena ini tidak terhad berlaku di Malaysia sahaja bahkan juga di sudut lain dunia ini. Kadang-kadang permulaan mereka muncul hanya dengan membawa karakter seorang lelaki soleh. Kemudiannya mula memasukkan sedikit demi sedikit ajaran mereka yang dilihat seperti Islamik kerana dicampur adukkan. sambil itu doktrin tentang Mahdi di bawa hinggalah akhirnya mereka sendiri kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai Imam Mahdi apabila merasakan telah mempunyai kedudukan serta barisan pengikut yang kukuh. Namun seringkali apabila perkara seperti ini timbul, ia akan diakhiri dengan perkara yang kurang baik sehingga membawa kepada tragedi. Salah satu contoh adalah peristiwa serangan sebuah kumpulan ajaran sesat ke atas Balai Polis Batu Pahat pada Oktober 1980. Serangan berkenaan telah membawa kepada beberapa kecederaan serta kematian melibatkan polis, penyerang serta kakitangan awam.

Naim berjaya menyusun cerita dalam The Arrival dengan baik sehingga menimbulkan debaran kepada pembaca di setiap bab. Ia telah bermula sejak permulaan cerita lagi apabila seorang lelaki bernama Sheikh Mahadi mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi, penyelamat umat akhir zaman. Peristiwa tersebut telah menimbulkan kegemparan di seluruh negara menyebabkan pasukan keselamatan perlu memainkan peranan mereka untuk mententeramkan keadaan. 

Pada peringkat awal ini, Naim telah berjaya menghidupkan watak Sheikh Mahdi sebagai seorang lelaki soleh yang mempunyai beberapa karamah seperti boleh mengubati sakit yang kronik, boleh membaca isi hati manusia, meramal dan lain-lain lagi. sekurang-kurangnya tiga kali (mungkin empat) beliau dapat meloloskan diri raipada tahanan pihak berkuasa dan seterusnya mengelirukan mereka. 'Keajaiban' yang ditimbulkan ini mungkin juga akan mempengaruhi pembaca mempercayai beliau benar-benar Mahdi memandangkan beliau tiada cacat cela, akhlaknya mulia, ibadahnya terjaga ditambah dengan perkara-perkara ajaib yang terjadi.

Penahanan Sheikh Mahadi telah membuatkan beratus ribu pengikutnya membanjiri ibu negara. Suasana begini mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa politik tanah air seperti perhimpunan pada zaman reformasi begitu juga dengan beberapa siri BERSIH. Perhimpunan yang mulanya nampak aman beransur-ansur bertukar ganas apabila mula ada pertentangan melibatkan pengikut serta anggota keselamatan. Kemudiannya bertambah ganas apabila mula melibatkan pertempuran bersenjata, penculikan VVIP sehinggalah kepada peperangan yang berlaku di Marawi City. Pengaruh Sheikh Mahadi turut meresap masuk ke dalam beberapa agensi keselamatan seperti polis, tentera dan penjara. Kerana itulah setiap kali ditahan beliau dengan mudah sahaja dapat meloloskan diri. Bab-bab yang mengandungi unsur 'gunting dalam lipatan' atau 'api di dalam sekam' ini sebenarnya membawa mesej betapa bahayanya apabila perkhidmatan awam mempunyai karakter sebegini - pepat di luar, rencong di dalam. Perkhidmatan awam yang menjadi musuh dalam selimut bukan sahaja boleh membahayakan organisasi itu sendiri bahkan dapat menghancurkan negara. Dapat dilihat bagaimana dengan hanya seorang dua yang berpaling tadah boleh merosakkan perancangan ramai pihak bahkan sehingga mendatangkan bencana melibatkan kematian.

Keadaan Sheikh Mahadi yang sering dengan mudah sekali meloloskan diri daripada kawalan keselamatan akan membuatkan pembaca tertanya dengan jalan apa penulis akan menyudahkan cerita membuatkan Sheikh Mahadi dapat ditewaskan sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah Mahdi yang palsu. Kemunculan Ustaz Zaher, satu watak yang tiba-tiba muncul di rumah ASP Rahem merupakan kunci kepada persoalan yang bersarang di minda pembaca. Secara sedikit demi sedikit peribadi Sheikh Mahdi dibongkarkan. Ustaz zaher mewakili watak putih manakala Sheikh Mahadi adalah watak hitam yang sebenarnya menggunakan sihir dalam mempengaruhi orang ramai. Kisah kepolisian ini memang menarik cuma apabila cuba diselesaikan dengan sedikit pengaruh fantasi, hamba mula merasakan akan 'ketidakselesaannya'. Walaupun pertarungan Ustaz Zaher dan Sheikh Mahadi adalah pertarungan antara hak dan batil, hamba rasa tidak perlu hingga ke peringkat mereka boleh bertarung sehingga terbang di udara dan mengeluarkan cahaya dari tangan dan tongkat masing-masing yang boleh memudaratkan pesaing mereka. dah macam cerita Star Wars pula ada unsur tembakan laser.

Sepanjang membaca karya Naim Tamdjis, hamba merasakan ini adalah hasil tulisan beliau yang paling menarik buat masa ini. Hamba lebih tertarik dengan cara beliau menulis novel aksi ini berbanding dengan novel-novel beliau sebelum ini yang berunsurkan seram. Rasa suspen, teruja dan ingin tahu yang telah ada sejak novel ini bermula berterusan sehingga ke akhirnya. Hamba percaya Naim berbakat menghasilkan novel sebegini lagi. Walaupun begitu hamba suka untuk melahirkan beberapa pandangan terhadap beberapa kesilapan kecil (yang hamba percaya terlepas pandang) agar akan datang beliau boleh menghasilkan karyang yang lebih baik lagi. Antaranya:-

#    Ayat di mukasurat 97 '.........Ini menyebabkan Tuanku Ghazali menjadi murka dan enggan mengadap Perdana Menteri setia minggu......' Seorang Agong tidak pergi mengadap Perdana Menteri. Saya percaya ayat yang betulnya adalah 'menerima mengadap oleh Perdana Menteri'.

#    Pistol jenama Glotch, sepatutnya Glock.

#   Perkataan healer ditemui di beberapa tempat. Sepatutnya hailer atau lebih tepatnya loud hailer. Pada mukasurat 241 digunakan istilah pelaung suara yang hamba rasa lebih baik.

#    Frasa 'Jabatan Kementerian Kewangan Malaysia' seperti di mukasurat 119 dilihat kurang tepat. Hanya Kementerian Kewangan Malaysia atau Perbendaharaan Malaysia sahaja. Lagipun sebuah kementerian adalah lebih besar berbanding jabatan.

#    Pada mukasurat 144 apabila Agong memecat KSU. Hamba rasa Agong memecat KSN (Ketua Setiausaha Negara). Ini kerana KSU atau Ketua Setiausaha adalah jawatan di kementerian dan ada berpuluh-puluh KSU sedangkan dalam hal ini hanya seorang yang menjadi penggantinya iaitu Tan Sri Ahmad Marican.

Kipidap saudara Naim. Hamba harap rentak saudara akan terus kekal begini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...