Khamis, 1 Oktober 2020

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA TROBEK



Dia antara semua isu new-stalgia Ujang & APO? yang pernah diterbitkan sebelum ini, barangkali isu kali ini yang paling dekat dengan hati hamba. Isu yang mengetengahkan tema 'trobek' (throwback) dengan penumpuan kepada tahun 90an kembali menggamit memori di era tersebut. Lihat sahaja kulit depan karya kartunis Lambok ini. Kulit depan ini bidangnya lebih luas lagi apabila dibuka keseluruhannya. Menampilkan suasana di jalanan berhadapan pawagam Odeon, Kuala Lumpur. Poster panggung wayang memaparkan beberapa filem seperti Sembilu, XX Ray dan Terminator. Manakala suasana jalanannya dipenuhi dengan watak-watak yang pernah menghiasi majalah ini seperti Bas Mini 222, Mat Despatch, Felda Di Bumi Permata, Tok Moh, Budak Hostel, Ali & Davidson, Workshop dan lain-lain lagi. Selain tema 90an, keluaran ini banyak juga memuatkan kartun bertemakan kemerdekaan.

Majalah Ujang dan APO? sendiri lahir di tahun 90an. Golongan yang menikmati zamna ini adalah mereka yang lahir sekitar tahun 70an dan 80an. Mereka ibarat generasi transisi zaman lalu ke zaman digital. Mereka masih menikmati permainan cara lama seperti polis sentri, baling selipar (kaki tiga), tudung oren, gasing, konda kondi sambil dalam masa yang sama era digital mula pesat dengan permainan konsol, arked, telefon bimbit (yang sebesar bateri kereta) dan sebagainya. 

Justeru banyak kartun di dalam isu ini yang mengembalikan semula nostalgia ke era berkenaan dengan pelbagai cerita seperti rock kapak, kaset dan walkman, permainan arked, kaset cetak rompak, permainan tradisional, jajan-jajan popular seperti Din Dang, telefon awam dan pelbagai lagi. Isu ini juga turut mengutarakan beberapa lembaran daripada buku Imbauan 3 oleh kartunis Mie. 

Majalah ini turut menghadiahkan anda 10 kad yang dibuat seperti kad permainan kanak-kanak zaman dulu dengan penampilan beberapa watak daripada majalah ini yang dibuat secara parodi dengan poster-poster wayang. 

Ia adalah satu koleksi yang menarik tatkala 'kepupusan' majalah-majalah lawak. Mari sokong kartunis kita kembali!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...