Selasa, 29 Disember 2020

IPOH PLATF9ORM 3/4 CAFE - HARRY POTTER DAN KOPI PENYAPU TERBANG



"Nak pergi mana esok?" tanya hamba kepada anak-anak pada satu malam.

"Ipoh!" jawab anak yang ketiga.

"Ipoh, ada apa kat Ipoh?"

"Ada kafe Harry Potter!" jawabnya sambil tersenyum.

Hamba pernah membaca tentang kafe itu sebelum ini (bahkan hamba pernah lalu di depannya tanpa hamba sedari). Hmm, mengapa tidak. Lagipun kami sekeluarga dah lama tak berjalan. 

Kafe ini terletak di Concubine Lane dan dinamakan Ipoh Plat9orm 3/4 Cafe. Tetapi tiada tanda nama berkenaan yang menghiasi bahagian luarannya. Hanya ada sekeping papan tanda bertulisan cina yang hamba tidak tahu apa maknanya yang hamba jangkan merupakan papan tanda kedai sebelum ini. 




Pemilik premis bertindak bijak menjadikan kafe berkenaan mengikut tema filem Harry Potter (walaupun tidaklah nampak Harry Potter sangat). Bangunan kedai berkenaan rasanya dibiarkan seperti asal tanpa perlu dicat atau ditampal plaster pada dinding. Dinding yang telah tertanggal plasternya sehingga menampakkan bata-bata merah dibiarkan begitu sahaja bagi menimbulkan suasana antik dan vintage.

Terdiri daripada dua buah lot bangunan, di bahagian pintu masuk merupakan kaunter tempat membeli segala jenis kopi. "Semua orang kena beli air", kata seorang petugas.

"Tapi anak saya ni tak minum kopi", sambil hamba mengisyaratkan kepada anak yang bongsu.

"Ohh, yang kecil tak payah beli". Bijak cara mereka meniaga. Mereka tahu yang datang ke sini rata-ratanya adalah untuk mengambil gambar. Jadi sebelum pelanggan dibenarkan explore kawasan kafe itu maka mereka wajib membeli air terlebih dahulu. Harga air pula tiada yang di bawah RM10 dan bekasnya bukanlah besar sangat. Namun manisnya memang tak sesuai untuk mereka yang mempunyai diabetes! Kebetulan kita masih di musim covid, di pintu masuk berdiri seorang petugas yang memeriksa suhu serta mengehadkan kemasukan pelanggan. Jadi tidak perlu risau dengan tempat duduk. Kedudukan tempat duduk juga ada mengalami sedikit perubahan bagi disesuaikan dengan SOP, tidak sama seperti gambar-gambar yang pernah hamba lihat di internet sebelum ini.




Tempat duduk untuk minum terletak sedikit di bahagian bawah dengan yang lain-lainnya di sebelah atas. Di sekeliling dinding bergantung beberapa gambar dan ruangan diterangi dengan cahaya yang malap. Bahagian tingkap hadapan yang terbuka membolehkan kita melihat kesibukan manusia di lorong berkenaan yang dilatari dengan pemandangan bangunan lama. Kafe ini memang santai dan sesuai untuk berehat sambil berbual-bual. Tarikan utamanya tentulah satu ruang terbuka yang memang dikhaskan untuk mengambil gambar. 

Di lorong yang sama, selang beberapa buah bangunan sahaja dengan kafe ini, terdapat sebuah kedai yang menjual beberapa barangan dari filem Harry Potter seperti topi, mafla, jam berbentu snitch ball dan kayu sakti. Barangan berkenaan boleh digunakan untuk prop semasa mengambil gambar. Tapi suka hamba nak beri tips - baik beli secara online kerana lebih murah berbanding dengan yang dijual di sana. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...