Khamis, 31 Disember 2020

IMAM - Abdullah Hussain

 


Kali pertama hamba membaca Imam adalah lebih 20 tahun yang lalu. Mungkin sekitar 1997 atau 1998. Dah terlupapun akan kisah dan jalan ceritanya. Keberadaan novel ini di perpustakaan jabatan membolehkan hamba revisit semula novel ini.

Imam memenangi tempat pertama dalam Hadiah Novel Nasional 1992/94 anjuran Utusan Melayu dan Public Bank. Agak malang apabila Utusan Melayu telah menamatkan operasinya pada 9 Oktober 2019 setelah beroperasi selama 80 tahun. Ini sekaligus menamatkan juga anugerah berprestij untuk penggita sastera tanah air. Kemunculan semula Utusan pada 20 Julai 2020 dengan wajah yang baru menampilkan mukasurat yang lebih nipis dengan bahan berita yang tidak semenarik dahulu. Sisipan-sisipan istimewa seperti dahulu telah tiada lagi dan disepadukan dengan berita dan laporan akhbar yang lain. Ia lebih banyak dipenuhi dengan artikel berbentuk rencana. Tidaklah diketahui adakah Utusan akan mengadakan lagi anugerah berkenaan seperti dahulu. Berkemungkinan juga sebaga novel Imam yang ada di tangan kita kini adalah naskhah-naskhah yang terakhir andainya Utusan Melayu tidak lagi mencetak buku-buku koleksi sasteranya yang berharga.

Imam memfokuskan kepada watak Haji Mihad yang kembali semula ke kampung halamannya selepas 20 tahu menghilang. Kepulangan beliau yang sebelum ini disangkakan telah mati sewaktu konfrontasi telah menggemparkan penduduk. Kesemua mereka mengharapkan Haji Mihad akan terus kekal di kampung kerana mereka begitu dahagakan pembaharuan.

Haji Mihad ternyata membuat banyak perubahan setelah mengambil alih jawatan imam di masjid. Namun perubahan yang dilakukannya itu menyebabkan penduduk terpecah kepada dua. Ada yang suka dan ada yang tidak, walaupun apa yang dilakukannya itu semuanya baik. Ternyata pembaharuan itu sebenarnya boleh menggugat kedudukan beberapa individu yang sebelum ini mempunyai kuasa tertentu.Kerana itu ada yang membuat pengaduan ke pihak majlis agar mengambil tindakan ke atas haji Mihad.

Hampir 2/3 pengisian buku ini adalah berkenaan tindakan yang sedang diambil oleh pihak majlis. Yang pertama adalah laporan yang disediakan oleh seorang pegawai majlis yang menemubual beberapa individu untuk mendapatkan pandangan mereka tentang Haji Mihad. Ketika membaca 'laporan' ini lebih 20 tahun lalu, hamba masih belum bertugas dengan kerajaan. Jadi hamba tidak berapa menghiraukan akan format serta bentuk laporan yang dipaparkan. namun kini apabila membacanya semula memang terasa akan jauh benar larinya daripada format laporan. laporan yang disediakan oleh pegawai berkenaan - seperti juga pandangan pengerusi majlis yang memeriksanya - adalah seperti novel. Temubual yang dijalankan ditulis semula secara verbatim bahkan turut ditampilkan perlakuan semasa semasa temubual itu dijalankan seperti orang yang ditemubual itu berfikir seketika, mendiamkan diri dan sebagainya. bahkan apabila ada isteri mereka menghidangkan minuman pun turut ditulis - termasuk dialog berbasa basi bersama mereka. Namun ini bukanlah kerana Abdullah Hussain tidak mengetahui akan format pelaporan. Andainya format pelaporan yang digunakan pastinya novel ini akan menjadi bosan. Sebenarnya melalui pelaporan yang dibuat oleh pegawai majlis inilah para pembaca akan mengetahui dengan teliti mengenai watak dan perwatakan orang dalam novel ini terutamanya watak haji Mihad sendiri. 

Yang kedua adalah sesi temuramah antara satu jawatankuasa yang terdiri daripada tiga individu untuk menyiasat tentang diri Haji Mihad. Temuramah yang berlansung beberapa sesi ini sebenarnya secara tidak lansung adalah merupakan satu segmen ilmu untuk pembaca. ia membincangkan beberapa permasalahan yang melibatkan umat Islam seperti hal bid'ah, pertikaian mazhab, wahabi dan sebagainya. Abdullah Hussain bukanlah seorang ustaz. Namun pengetahuan beliau dalam subjek yang dibincangkan kelihatan amat mendalam sekali. Perlu diketahui apabila membincangkan sesuatu berkenaan agama terutamanya tentang masalah perselisihan pandnagan, hukum dan sebagainya, seseorang itu memerlukan pengetahuan yang mendalam. Apa yang dihidangkan oleh Sasterawan Negara ini amatlah menakjubkan.

Kesudahan Imam Mihad amatlah menyedihkan apabila dia dibunuh musuhnya. Tatkala itu kampung berkenaan sedang berkonflik mahu memberikan tapak masjid berkenaan untuk tujuan poerlombongan emas atau tidak. Ironinya penyampaian keputusan untuk memecat Haji Mihad sebagai imam oleh pihak majlis sampai pada hari kematiannya. Begitu juga dengan Masjid Haji Salleh yang tiba-tiba roboh sehingga memakan beberapa nyawa sebelum jenazah Haji Mihad tiba untuk disolati. Namu hikmah yang dipaparkan selepas itu amatlah besar. Kematian Haji Mihad tidak sia-sia dan segala yang berkaitan dengan peninggalan wakaf dan wasiat Haji salleh disemak semula agar berjalan mengikut tuntutan agama.

Imam adalah satu naskhah yang relevan sampai bila-bila dan hanya boleh dilupuskan apabila umat Islam sudah berhenti bertelingkah!


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...