Jumaat, 25 Disember 2020

SUKUN JANGAN TAK MANDI


 

Sukun merupakan antara kartunis yang dikenali mellaui majalah Ujang. Majalah Ujang (sewaktu di bawah teraju Ujang sendiri) telah banyak mengenalpasti kartunis yang berbakat, rebranding semula nama mereka dan seterusnya membimbing untuk menjadi pengkarya yang hebat. Kemunculan beberapa kartunis yang menggunakan nama berdasarkan sayur dah buah-buahan telah memeriahkan dunia kartun tanah air. Sedangkan antara mereka itu bukanlah orang dan telah bergiat beberapa lama sebelum menyertai majalah Ujang. namun di bawah Ujanglah nama mereka benar-benar dikenali. Dalam hal Sukun, tentunya siri Workshoplah yang menaikkan nama beliau.

Kartun Sukun adalah benar-benar gaya tempatan, tanpa pengaruh manga atau manhwa. ia adalah gaya yang hambar gemari kerana itulah gaya asli kartun kita. Watak-watak kartun Sukun kelihatan comel umpama lakaran chibi. Tamatnya penerbitan majalah Ujang dan APO? menyebabkan ramai kartunis yang kehilangan platform untuk berkarya. Walaupun kita mempunyai media atas talian, orang seperti hamba lebih suka untuk memegang dan menatap karya tersebut. Begitu juga Sukun. Walaupun pernah muncul dalam majalah Jenama X, majalah berkenaan ibarat keluaran one-off sahaja dan bukannya berkala. Justeru untuk melihat karya Sukun selepas penutupan Ujang adalah agak sukar.

Sukun mungkin menyedari akan kerinduan peminat beliau. Kerana itu atas inisiatif beliau bersama beberapa orang rakan rapat, maka lahirlah majalah khas ini. Tiada cerita Dicky dan Cupin di sini.Sukun hadir dengan kartun baru terutamanya tentang kehidupannya sebagai petugas di sebuah gimnasium bersama dengan para pelanggannya yang mempunyai pelbagai ragam. Kerana itu orang kata kartunis ini seorang pemerhati yang baik. Hanya dengan melihat aktiviti seharian manusia di sekeliling, boleh mendatangkan idea untuk berkartun. Walaupun perkara itu nampak biasa, di tangan mereka boleh bertukar menjadi luar biasa.

Tidak hanya dengan lakaran beliau, Sukun turut menjemput beberapa rakan lama beliau untuk menyumbangkan kartun termasuklah juga rakan sekolah beliau dahulu yang mempunyai bakat berkartun. Wow, ini jarang berlaku. Agak biasa kartunis mempelawa rakan-rakan kartunis yang sudah dikenali, tetapi menjemput rakan sekolah menandakan satu pernghargaan buat seorang rakan. Jelas, kebanyakan karya Sukun di dalam keluaran khas ini juga adalah untuk mengucapkan penghargaan kepadamereka yang banyak membantu menaikkan nama beliau daripada kalangan sahabat - sama ada kartunis atau tidak, keluarga dan peminat. 

Oh ya, naskhah yang hamba perolehi ini adalah cetakan yang kedua. Ini menandakan cetakan yang pertama telah laku licin (Alhamdulillah pembelian kita semua adalah sebagai tanda sokongan kepada kartunis tempatan). Lebih istimewa lagi cetakan kedua ini hadir dengan 16 mukasurat tambahan. Antaranya adalah catatan berkenaan wabak covid-19 dan nasihat kepada semua untuk menjaga diri. Ha ha mana untung, beli kali pertama atau yang kedua ini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...