Ahad, 24 Januari 2021

AKU, KAU & ZOMBIE - TULAR


Kulit komik Aku, Kau & Zombie, Tular ini mendapat sentuhan istimewa kartunis Aie. Walaupun Aie tidak melukis sebarang komik di dalam antologi ini namun ianya pasti menjadi buruan para pengumpul koleksi Aie. Memandangkan susuk berkenaan sudah agak jarang muncul dengan karya-karya baru, kemunculan air tangan beliau walaupun sekadar lukisan kulit luar dapat sedikit sebanyak mengubati kerinduan peminat.

Terdapat lapan buah komik daripada lapan orang penyumbang. Agak istimewa apabila tiga orang komikus yang pernah tampil dalam Urban Comics dahulu iaitu Aadi Salman (Adijin), Azhar Abdullah dan Fy Hamzah (Kromosom) bertemu dalam komik ini. seperti kata penerbitnya, keberadaan mereka di dalam komik ini umpama satu reunion Urban Comics.


ISYARAT - Sulaiman Shaari

Nama ini mungkin belum begitu dikenali di persada komik tanah air. namun ia sedikit demi sedikit sedang membina nama melalui gaya dan identiti lukisannya yang tersendiri. Sulaiman Shaari adalah anak kepada kartunis Aie. Manakan tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Hamba percaya beliau boleh pergi lebih jauh lagi nanti. Dalam Isyarat, Sulaiman membawa kisah misi menyelamat oleh tiga orang krew dari sektor 6 yang gagal bahkan akan membawa bencana kepada Sektor tersebut apabila Kapten Dahari, salah seorang penyelamat kembali dengan membawa virus tersebut.


DARI DALAM -Aadi Salman

Seorang budak yang terjatuh ke dalam sebuah lubang besar yang dalam telah bertemu makhluk aneh yang menyerupai askar-askar Jepun. Berjaya diselamatkan beliau dkejutkan dengan kunjungan salah satu makhluk tersebut yang mengambil semula barang miliknya. Apakah barang yang diambil itu?


ZOMBIE MELAYU MELAKA - Azhar Abdullah

Kapal Portugis yang berlabuh di pelabuhan Melaka rupanya membawa makhluk zombie. Kehadiran makhluk tersebut telah diberikan tentangan hebat oleh watak-watak daripada Liga Pendekar.


ZOMBIE NUSANTARA? - Fy Hamzah

Apa yang ditampilkan oleh Fy Hamzah ini sebenarnya merupakan satu iklan ataupun teaser untuk persembahan komik akan datang. Sama ada ia akan hadir dalam bentuk solo ataupun antologi tidaklah diketahui. Sinopsis yang ditampilkan terasa seperti mempunyai unsur-unsur Harry Potter. Satu kemusykilan hamba ialah satu lambang yang digunakan amat mirip dengan logi Dewan bahasa & Pustaka. Apakah....


ROSAK - Chai Kazuku

Seorang transgender cuba untuk menyebarkan amalan songsang LGBT melalui penyebaran sejenis virus yang dapat merubah manusia menjadi seperti golongan mereka. Satu pendekatan yang agak berlainan daripada kisah zombi yang pernah kita baca atau tonton.


RAJA ZOMBIE - Jas

Raja Zombie hadir dalam bentuk komik jenaka tidak seperti persembahan yang lain di dalam antologi ini. Ia mengisahkan kegagalan seekor zombie yang mahu mengubah orang lain seperti dirinya agar beliau dapat menjadi raja mereka.


'BLUES' ZOMBIE - Bophairy

Ia merupakan satu lagi pendekatan lain dalam kisah zombie apabila makhluk berkenaan digambarkan sebagai boleh berfikir seperti manusia yang normal namun fikiran tersebut tidak berjaya mengawal gerak laku mereka. Segala keganasan yang dilakukan zombie adalah berpunca daripada kegagalan mengawal diri ini sedangkan hati yang empunya tubuh tidak mahu melakukannya.


PELUKAN TERAKHIR - Pakngah Alipz

Kisah yang paling menyayat hati di dalam antologi ini mengenai kasih sayang seorang ibu yang berjuang bermati-matian untuk menyelamatkan anak lelaki beliau daripada menjadi mangsa zombie. Ibu berkenaan yang akhirnya mendapat gigitan zombie tetap mahu mempertahankan keselamatan anak beliau walaupun telah berubah sifat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...