Isnin, 18 Januari 2021

BANK YANG HANYA MENYIMPAN BUKU


 

Tidak sukar mencari tempat ini lantaran terletak berhampiran tempat-tempat pelancongan di bancar Ipoh. Yang sukarnya adalah untuk mencari tempat meletak kereta kerana kotak letak kereta yang sedia ada sentiasa sahaja penuh. Terletak di Jalan Sultan Yusof, sebuah premis yang dahulunya merupakan sebuah bank telah berubamenjadi kedai buku. Yang uniknya bangunan tinggalan United Asian Bank tersebut masih lagi mengekalkan beberapa barangan tinggalan bank berkenaan seperti bilik ataupun vault menyimpan duit bawah tanah bank berkenaan yang masih lengkap dengan pintu besinya dan kotak-kotak besi penyimpanan.





Kedai buku BokkXcess ini sepertimana premisnya yang lain mempunyai ciri-ciri unik untuk menarik minat pengunjung. Tidak hanya menarik minat untuk mencari bahan-bahan bacaan, ia juga lokasi menarik untuk bergambar. Memasuki ruang hadapan kedai ini mata akan dihidangkan dengan susunan rak-rak buku yang padat dan berwarna-warni. jika diteliti, beberapa rak yang ada dibuat menggunakan bahan yang asas seperti batu-batu blok yang disusun rapi dengan diletakkan papan diantaranya bagi membentuk rak penyimpanan buku. Ia sekaligus boleh memberi inspirasi kepada pengumpul buku untuk mengadakan rak yang berkos rendah tetapi praktikal di ruang rumah mereka.





Namun bukanlah ruangan atas ini yang mahu dilihat oleh pengunjung. Mereka mahu ke ruangan bawah tanah yang menempatkan vault yang hamba sebutkan tadi. Ruangan turun ke vault ini sengaja dibuat suram dengan diterangi beberapa lampu neon. Bagi yang tidak pernah di mana-mana bank, pengalaman masuk ke ruang ini pastinya mengujakan. Ruang bawah tanah ini masih dijaga dan dikekalkan dengan baik. Apa yang membezakannya hanyalah tiada lagi barangan berharga serta wang yang disimpan. yang ada hanyalah buku-buku yang disusun dengan menarik menjadikan ruang berkenaan tidak nampak serabut. Kotak-kotak besi penyimpanan juga boleh ditarik dan dibuka. Pintu-pintu besi, jeriji serta kaunter berperisai dapat dilihat untuk pameran kepada pengunjung.

Selain buku, satu ruang di bawah tanah ini juga menempatkan satu ruang pameran yang didedikasikan buat pengarah Yasmin Ahmad. Beberapa barangan Allahyarham seperti komputer Mac yang pernah digunakan untuk menulis skrip filem dan gambar-gambar turut dipamerkan.




Walau apapun, saya berdoa agar rakyat Malaysia kembali mempunyai minat membaca dan membeli buku. Telah banyak kedai buku serta penerbitan yang ditutup lantaran kurangnya minat membaca. Adalah satu kerugian jikalau kita tidak menjadi bangsa yang berilmu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...