Ahad, 17 Januari 2021

BEAR & BOB, KISAH PERASAAN YANG PERASAN - Aie


Dalam dunia kartun tanah air, nama Aie tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia adalah satu nama yang besar. Penyertaan beliau di dalam keluarga Ujang menaikkan lagi nama beliau melalui karya koloborasi beliau dengan Ujang iaitu Abe juga kartun beliau sendiri iaitu Pak Andak. Lukisan beliau yang mengiringi penceritaan Aku Hidup Dalam Blues oleh Toyon amat digemari ramai dan menjadi rujukan dan tiruan mereka yang suka melukis sehinggalah lahir kemudiannya siri Blues Untuk Aku. Beliau tidak menghabiskan siri berkenaan kerana tidak lagi bersama  dengan majalah Ujang. Walaupun siri berkenaan cuba disambung oleh seorang kartunis lain, namun ianya tidak dapat diterima oleh peminat dan siri berkenaan juga berakhir tanpa nisannya. Harapan peminat mula bangkit semula dengan lahirnya komik Aku Dan sesuatu. Namun sayangnya komik ini juga tamat tanpa penamat. Peminat masih dahagakan kesudahan kisah ini. Khabarnya Aie, di sebalik kemerosotan kesihatan beliau, cuba untuk menyudahkan kisah ini demi peminat. Kita sama-sama berdoa agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kita akhirnya akan menikmati lebih banyak lagi karya-karya beliau.

Bear & Bob - Kisah Perasaan Yang Perasan bukanlah merupakan karya yang baharu. Ia telah berada di pasaran semenjak 2018. Namun setakat ini, inilah karya lengkap beliau yang mutakhir untuk tatapan peminat. sepertimana tajuknya, kisah ini tentunya ada kaitan dengan hati dan perasaan, walaupun dipersembahkan oleh dua watak yang nampak brutal dan peminat motosikal berkuasa besar.

Bear dan Bob, dua sahabat yang tinggal serumah. Sama-sama peminat moto besar. Namun keduanya mempunyai karakter yang berbeza. Bob seorang yang jiwang. Selalu rasa nak berteman dan mudah mengorat awek. Namun ia jarang berterusan hingga ke penghujung. Kadangkala menghadapi konflik perasaan apabila tidak tahu mana satu wanita yang ingin dipilih. Walaupun memberikan sepenuh hatinya, dia juga pernah ditipu wanita. Manakala Bear pula bersifat lebih reserve. Ingin menjadi seperti Bob memiliki teman sendiri. Namun dia tidak tergesa-gesa seperti Bob yang terlalu mudah sangat jatuh cinta. Beliau lebih sabar sehingga kesabarannya diambil mudah serta diambil peluang boleh Bob. Bear lebih banyak mengalah dengan Bob. Persahabatan itu lebih penting berbanding berebut wanita. 

Dari segi penceritaan, ia adalah sebuah kisah yang mudah. Ia adalah kisah jiwang-jiwang yang dilakonkan watak yang tidak begitu remaja. Namun yang penting adalah lukisannya. Peminat lukisan akan mengambil masa untuk memuaskan mata melihat setiap detail yang dilakarkan. Itulah kepuasan bagi seorang peminat kartun tanah air.

Bagi anda yang mahu memiliki naskhah ini anda boleh menghubungi AIECON STUDIO di melalui Whatsapp di talian 017-212 1769. Lebih istimewa anda boleh request Aie untuk autograph buku tersebut. Jikalau bertuah, anda akan menerima cenderamata istimewa daripada penerbit. Ayuh sokong kartunis kita!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...