Khamis, 14 Januari 2021

PADA SUATU RUANG - S. Othman Kelantan


 

Buku Pada Suatu Ruang merupakan himpunan cerpen-cerpen pilihan karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Ia adalah satu satu buku dalam Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20 Dewan Bahasa & Pustaka. Siri ini mengandungi 37 judul buku hasil karya 37 orang pengarang tersohor tanah air seperti Abdul Rahim Kajai, Pak Sako, A. Samad Said, Arena Wati, Jong Chian Lai, Zaen Kasturi dan lain-lain lagi.

Pada Suatu Ruang menghimpunkan 20 cerpen penulis sekitar tiga dasawarsa antara 60an-90an. Kebanyakan cerpennya adalah berbentuk abstrak dengan susunan bahasa yang cantik. Walaupun ada antara isu-isu yang dibangkitkan adalah selari dengan zaman cerita itu ditulis, namun dari segi pengajarannya adalah relevan sehingga ke hari ini.

Hamba amat suka dengan cerpen pertama yang bertajuk Dedalu. Ia adalah sindiran sinis kepada bumiputera yang hidup susah serta kadang kala diperdayakan oleh bangsa asing sehingga tergadai tanah yang dimiliki. Orang yang mendatang semakin menimbunkan harta kekayaan sedangkan pribumi terus susah. Walaupun pada awalnya harta yang dimiliki adalah hasil perit jerih yang mengambil masa yang panjang untuk dimiliki, namun kecerdikan ataupun lebih tepat kelicikan mereka yang mengambil kesempatan membuatkan hak milik makin terhakis sedikit demi sedikit.

Cerpen Seorang Tua, Sebuah Masjid Lama, Sebuah Kota adalah sebuah kisah tentang sebuah masjid lama yang dibina oleh pendatang Sumatera di Pulau Pinang. Kedudukannya di akwasan segi tiga emas telah membuatkan pihak tertentu membuat cadangan agar ia dirobohkan bagi memberi lauan kepada sebuah pasaraya. Cerpen ini telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera keluaran Julai 1981. Kisah tahun 1981 ini mengingatkan hamba kepada satu peristiwa sekitar 2014 apabila sebuah masjid di Kedah akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah pasaraya. Bahkan jika diperhatikan telah ada masjid atau surau yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan. Ia sememangnya satu episod yang tragis.

Cerpen Pahlawan Lembu merupakan antara cerpen terbaik yang pernah dihasilkan oleh S. Othman Kelantan. Kisah dalam Pahlawan Lembu kemudiannya telah dikembangkan sehingga lahirnya sebuah novel yang bertajuk Juara. Ulasan mengenai Juara boleh dibaca di sini.

Lain-lain cerpen adalah seperti Angin Timur Laut, Riang Bagaikan Burung-Burung, Pahlawan Buntung, Ibu, Tamunya seorang Menteri Putera Si Luncai dan lain-lain lagi.



Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...