Ahad, 24 Januari 2021

PERJALANAN MENCARI HIKMAH - Abdullah Hussain


Ini merupakan sebuah autobiografi Abdullah Hussain yang ke-tiga selepas Sebuah Perjalanan dan Perjalanan Mencari Bahasa. Secara ringkasnya memaparkan perjalan hidup beliau pada tiga tempat iaitu sewaktu menjadi Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, pengalaman mengerjakan ibadah haji di Makkah dan kehdupan sebagai pegawai di Dewan Bahasa & Pustaka Brunei.

Membaca tulisan beliau di awal buku dalam kata pengantar membuatkan hamba terfikir akan kebenarannya. Ia membuatkan hamba terfikir bahawa hamba juga patut menulis autobiografi sendiri. Ini kerana penulisan itu adalah merupakan satu rakaman sejarah. Kita tidak perlu menjadi seorang yang popular atau ternama baru boleh mengarang. Sekurang-kurangnya kita mencatat sesuatu. Hamba percaya ketika menulis Kisah Pelayaran Abdullah, Munsyi Abdullah sendiri tentu tidak terfikir bahawa karyanya akan terus ada pada hari ini. Namun kerana karya itulah kita dapat mengetahui kisah masa lampau. Tulis Abdullah, 'Sangat banyak peristiwa penting yang tidak dapat dirakamkan kerana bukan tradisi kita untuk masuk bakul angkat sendiri, tetapi masa sudah jauh berubah, nilai-nilai juga sudah berubah. Perubahan itu telah berlaku dengan cepat. Generasi sekarang tidak tahu bagaimana permukaan Kuala Lumpur pada tahun-tahun sebelum merdeka, malah ada yang tidak tahu bagaimana kita mencapai kemerdekaan, maka banyaklah peristiwa penting yang hilang dan akhirnya kita hanya dapat membacanya daripada tulisan orang lain. Minda kita kembali dijajah, walaupun tubuh kita sudah merdeka.'

Bahagian yang pertama, kisah beliau sebagai Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia. Hamba melihat walaupun itu merupakan satu jawatan yang istimewa namun penulis kelihatan amatlah down to earth orangnya. Kehidupan beliau di sini rasanya amat banyak menggunakan kenderaan awam. Rumah beliau terletak di Petaling Jaya dan keluarganya masih di sana. Di Pulau Pinang beliau tinggal bersendirian di rumah tamu universiti atau di bilik sewa. Beliau banyak bergantung kepada bas ataupun berjalan kaki sahaja. Walaupun berstatus istimewa, ada juga pihak yang tidak melayan beliau dengan baik. Contohnya apabila pengurusan rumah tamu bertukar, beliau telah diarahkan keluar dengan segera kerana konsep rumah tamu itu hanya untuk tinggal secara sementara. Beliau tidak sedikitpun membantah atau cuba melawan, kerana itulah sikap beliau yang amat merendah diri. Walaupun bab ini sedikit sahaja tetapi banyak peristiwa yang diungkapkan seperti kegiatan dakwah di univesiti, pengIslaman Jeniri Amir serta imbasan kisah Jelutong Press. Jelutong Press adalah rumah penerbitan milik Syed Sheikh al-Hadi yang ditubuhkan daripada hasil jualan Hikayat Faridah Hanum (hamba beruntung kerana memiliki senaskhah yang dibeli lebih 15 tahun lalu di kawasan Chowrasta). Penulis pernah berkhidmat sebagai penolong pengarang di situ. Hamba cuba mencari gambar Jelutong Press melalui Google dan mendapati gamba ini di web penangmonhtly.com.


Kisah kedua adalah perjalanan beliau mengerjakan ibadah haji. Abdullah Hussain mengerjakan haji pada awal 80an. Ketika itu kita boleh sahaja mendaftar pada tahun semasa tanpa perlu menunggu giliran lama seperti sekarang. Hamba yang mendaftar haji sekitar tahun 2007 atau 2008 pun hanya dijangka mendapat gliran setelah hamba pencen! Penulis pergi haji bersendirian tanpa keluarga. Ketika itu walaupun Tabung Haji telah ada, pengurusan di tanah suci masih lagi menggunakan sistem sheikh haji. Jemaah perlu memilih sheikh mereka dan akan tinggal di kediaman yang disediakan oleh sheikh berkenaan. Kebiasaannya adalah rumah-rumah sheikh dan bukannya bangunan hotel seperti sekarang. Jadi amatlah jauh keselesaannya. Dalam hal ini penulis agak beruntung kerana sewaktu di Makkah beliau dapat tinggal di rumah Tabung Haji.

Ada beberapa kisah lucu yang diceritakan oleh penulis antaranya ialah kisah pemandu bas yang tidak mahu meneruskan perjalanan sehingga diberikan wang ataupun baksis. Maka terpaksalah dikutip oleh para penumpang. Ada juga penumpang bas yang ditinggalkan kerana terlambat. Melalui pengalaman beliau ini penulis banyak mencatatkan teguran serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh pihak Tabung Haji ketika itu. Ini memandangkan konsep Tabung Haji ketika itu - bila dah sampai ke Tanah suci maka tuan-tuan bukan lagi tanggung jawab kami (menjadi tangggungjawab sheikh haji pula). Maka kerana catatan seperti inilah kita generasi hari ini dapat melihat perbezaan pengurusan haji kini dan sekitar 80an. Pastinya telah banyak penambahbaikan yang dilakukan sama ada oleh pihak Tabung haji mahupun kerajaan Arab Saudi sendiri. Penulis dalam buku ini telah nmengerjakan haji sebanyak dua kali. Kali kedua adalah bersama isterinya. Namun untuk pengalaman kali kedua tidaklah banyak yang dicatatkan sepertimana pengalaman yang pertama dan tidak dinyatakan perbezaan antara kedua-dua perjalanan tersebut.

Kisah beliau sebagai Ketua Bahagian Pembangunan dan Perkembangan Sastera di Dewan Bahasa & Pustaka memakan sebahagian besar daripada buku ini. Ia memakan masa lebih kurang 10 tahun. Sepanjang tempoh itu beliau menandatangani kontark sebanyak tiga kali. Perkhidmatan beliau di negara Brunei adalah kerana permintaan daripada negara itu sendiri yang mahukan kepakaran beliau bagi membantu perkembangan sastera di sana. Ia sesungguhnya satu penghormatan besar buat beliau dan negara. Dan ternyata apabila kita membaca seluruh kisah beliau di Brunei, kita akan lihat betapa besarnya jasa beliau. Walaupun telah banyak berjasa kepada negara Brunei, beliau dengan rendah hati menolak sebarang bentuk anugerah walaupun cuba dicalonkan oleh jabatannya. Perlu dinyatakan bahawa penulis berkhidmat di negara Brunei ketika usiannya sekitar 60 tahun. Bahkan di akhir kontrak keduanya pun beliau sudah mencapai usia 71 tahun! Ini menunjukkan bahawa dalam usia yang berkenaan khidmat beliau bukan sahaja masih ditagih umum, bahkan beliau masih lagi mampu menyumbang.

Jikalau kita membaca keseluruhan buku ini kita akan dapat melihat bahawa penulis mempunyai ramai kawan. Bukan sahaja ramai beliau bahkan dapat mengingati akan nama-nama mereka. Beliau juga suka membuat kawan serta mempelawa ramai orang untuk tinggal atau singgah di rumahnya ketika di Brunei. Melalui pengalaman yang diceritakan juga hamba seakan dapat melihat daripada mana datangnya idea beberapa buah novel yang pernah beliau hasilkan. Bahkan ada tercatat sedikit mengenai proses penghasilan novel Imam, salah satu novel beliau yang terbesar. Peminat sastera juga mengetahui bahawa penulis mempunyai seorang anak yang berbakat besar dalam penulisan iaitu Ahgmad Patria Abdullah yang menghasilkan beberapa buah novel sains fiksyen seperti Permata Aurorius, Kota Arialun, Kembar Artakus dan beberapa lagi. Bebanding dengan anak yang lain, kisah Ahmad Patria agak banyak diceritakan. Dan fakta ini baru hamba ketahui walaupun telah membaca karya Ahmad Patria semenjak bersekolah menengah lagi. Bayangkan sewaktu tinggal bersama bapanya beberapa bulan sahaja di Brunei, beliau berjaya menghasilkan tiga buah novel. Dan pada yang pernah membaca tulisan Ahmad Patria, kita akan tahu bahawa novel-novel di atas amat baik bahasanya walaupun dihasilkan pada peringkat remaja beliau.

Saya telah bersemangat untuk menulis.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...