Khamis, 18 Februari 2021

ADIK DATANG - A. Samad Said


 

Pak Samad yang pernah hidup pada zaman perang telah menggunakan pengalaman tersebut dalam kebanyakan novelnya. Ia sama dengan Abdullah Hussain yang mempunyai pengalaman dalam perjuangan kemerdekaan di Indonesia yang turut menerapkan pengalaman tersebut dalam kebanyakan tulisan beliau. Adik Sayang menggunakan latar masa tahun 40an di ambang Jepun menguasai Tanah Melayu. Keadaan ketika itu telah mula timbul desas desus akan kedatangan Jepun. Kehadiran tentera di kawasan pantai juga semakin menguatkan sangkaan bahawa perang akan meletus.

Adik Datang adalah kata-kata watak Zalifah, seorang kanak-kanak yang gembira akan kelahiran bakal adiknya. Ibunya bernama Suhaidah yang telah kematian suami bernama Hamid yang dikatakan mati dalam pergaduhan disebabkan seorang wanita. Zalifah juga dilihat berkelakuan pelik apabila mengatakan sering melihat/berjumpa seorang tua bernama Tuk Ghazali yang dikatakan pernah bersama belayar bersama datuknya yang bernama Rashidi. Namun tidak ada seorangpun yang pernah melihat Tuk Ghazali. Justeru Zalifah kelihatan seperti berhalusinasi. Zalifah amat merindui datuknya itu yang telah lama keluar belayar dan masih belum kembali. Kedua beranak ini sentiasa dipantau oleh abang Suhaidah yang bernama Mokhsen.

Sebenarnya banyak watak yang digambarkan oleh penulis di dalam novel ini. Namun watak Suhaidah dan anaknya yang menjadi pokok penceritaan. Kerana Suhaidah telah janda maka adalah lelaki yang ingin mengisi kekosongan jiwanya. Maklumlah beliau masih lagi muda dan memiliki ketinggian serta kecantikan. Mokhsen pula yang mahu belayar bagi mencari rezeki amat serba salah untuk meninggalkan kedua beranak itu.

Kerana Suhaidah telah kembali solo maka ada kedapatan watak-watak yang mahu merebut hatinya. Antaranya ialah Mokri, Prebet Jiman dan Prebet Lajus. Namun sehingga ke akhir cerita, tiada tanda Suhaidah menunjukkan minat kepada sesiapapun. Suhaidah bahkan meninggal dunia ketika melahirkan anaknya.

Di ambang perang ini kehidupan tidak seperti sebelumnya. Askar-askar mula berkeliaran membuat kawalan. Penduduk juga tidak lagi bebas pada waktu malam. Segala bentuk lampu harus dipadam atau diletakkan kain hitam disekelilingnya. Kerja mulai susah kedapatan. Beberapa watak yang mahu bekerja sebagai kelasi agak sukar mendapatkan pekerjaan kerana tiada kapal yang memanggil. 

Unsur pendidikan dilukiskan melalui beberapa watak seperti Wagiman, cucunya Zulkifli serta Suparman. Mereka mengendalikan sebuah madrasah untuk anak-anak kampung. Zulkifli amat diharapkan oleh datuknya Wagiman untuk meneruskan madrasah itu. Dalam masa yang sama Zulkifli amat berharap untuk dapat menyambung pengajian agamanya sama ada di pondok atau di Al Azhar.

Perkara yang amat ketara yang kelihatan dalam novel ini ialah penganiayaan terhadap wanita. Suhaidah selaku watak utamanya, walaupun mendapat suami yang 'baik', melakukan kerja rumah, memberikan belanja, dalam masa yang sama juga adalah kaki perempuan. Bahkan matinya sendiripun dikatakan kerana berebut prempuan. Rasimah pula mendapat suami yang baran dan sering terjadi pertengkaran antara mereka. Walaupun kerap lari dari rumah dan mahu berpisah dengan suaminya, beliau kerap dipujuk oleh Wagiman untuk bersabar. Namun kesabaran Rasimah semakin menipis lebih-lebih lagi apabila kelibat suaminya tidak kelihatan sewaktu bapanya meninggal.

Walaupun lebih tebal daripada Sungai Mengalir Lesu, hamba merasakan Sungai Mengalir Lesu yang dilukis pada zaman pendudukan Jepun adalah lebih real lagi penceritaannya dan lebih banyak konflik yang berlaku. Walau apapun, penulisan Pak Samad ini sekurang-kurangnya memberikan gambaran kepada kita akan kedudukan masyarakat pada masa lalu khususnya di zaman-zaman berlkaunya perang. Sekirang-kurangnya kita tahu akan kesukaran hidup ketika itu sekaligus menginsafi diri dan selalu berasa syukur di atas keamanan yang dinikmati.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...