Rabu, 24 Februari 2021

CARLOS CASE CLOSED - Ramlee Awang Murshid


 

Novel ini dihadiahkan kepada hamba oleh Puan Zalilyani Khadijah, salah seorang peminat tegar Ramlee Awang Murshid (RAM). Sewaktu jualan novel ini dibuka untuk pra pembelian, hamba telah berpesan agar beliau menempah sekali untuk hamba dan akan membayarnya nanti. Tetapi sebailknya beliau telah membuat pembayaran dan menghadiahkan novel ini kepada hamba. Terima kasih banyak hamba ucapkan. Semenjak RAM menerbitkan sendiri novelnya di bawah RAM Typewriter, hamba bagaikan tidak terdedah dengan produk baru beliau. Biasanya di bawah Karangkraf, paling kurang sebuah novel pasti akan terbit dalam setahun dan Pesta Buku Kuala Lumpur adalah waktu jualan novel baru beliau.

Hamba (dan mungkin ramai lagi) sudah lama dahagakan kemunculan RAM membawakan rentak yang serupa seperti novel-novel thrillernya yang lalu. Kemunculan Carlos Case Closed  ternyata mengubat rasa dahaga tersebut. Carlos adalah watak yang pernah muncul di dalam Mandatori dan Carlos kali ini bukanlah watak yang ada dalam novel yang terdahulu. RAM mengistilahkannya sebagai satu copycat.

Carlos Case Closed menggunakan empat latar masa iaitu hari ini, lima tahun sebelum hari ini, setahun selepas hari ini dan 25 tahun selepas hari ini. Hari ini berlaku pada tahun 2020 maka pandai-pandai anda sendirilah yang mengiranya. Dikatakan lima tahun sebelum itu telah berlaku satu pembunuhan yang melibatkan sepasang seami isteri iaitu Kassim dan Haslin. Mereka membeli sekelping tanah yang terletak agak hulu dan membina sebuah rumah serta mengusahakan tanaman kelapa sawit. Kengganan mereka untuk menjualkan tanah tersebut kepada sebuah syarikat walaupun telah tiga kali diberikan tawaran yang tinggi menyebabkan mereka akhirnya dibunuh.

Konsentrasi cerita adalah pada latar masa hari ini. Melalui pelbagai watak yang dicipta RAM, penulis telah mencabar minda pembaca untuk meneka siapakah yang berada di sebalik watak Carlos. Pelbagai twist yang dilakukan RAM sehingga pembaca boleh mengesyaki siapa sahaja yang memegang watak Carlos. Melalui latar masa hari ini Carlos telah mengambil undang-undang ditangannya. Beliau menjatuhkan sendiri hukuman kepada mereka yang dianggap bersalah bahkan memakai pakaian seperti seorang hakim sewaktu menjalankan undang-undang di 'mahkamah' beliau. Carlos sememangnya seorang psiko yang ganas. Carlos telah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit di dalam pembunuhan Kassim dan Haslin. Persoalanakan muncul, kenapakah Carlos mengambil tindakan sedemikian. Apakah hubungan beliau dengan kedua-dua si mati dan yang penting siapakah watak di sebalik Carlos ini sendiri.Hamba menjangkakan kisah akan selesai apabila ada watak yang telah disingkap sebagai Carlos yang melakukan pembunuhan-pembunuhan tersebut.

Namun ketika itu novel ini masih berbaki lagi lebih 100 mukasurat menandakan kisah Carlos ini belum lagi selesai. Bahkan ketika itu persoalan tentang beberapa lagi watak seperti Izani, Ezalina, Jasmeen belum lagi diselesaikan. Isteri Dato' Faizul yang sebelum ini kelihatan diam mula menimbulkan misteri apabila meminta watak Jasmeen diperhatikan. Tetapi watak datin berkenaan akhirnya mati begitu sahaja. Watak Nora sebagai pegawai polis yang memburu Carlos juga mula menimbulkan keraguan pembaca. Setelah berjaya mengikat hamba pada 300 mukasurat yang pertama, RAM membuatkan hamba serabut dan keliru pada 100 mukasurat yang terakhir. Adakah hamba yang hilang arah ketika membaca ataupun penulis sendiri yang kehilangannya? 100 mukasurat yang terakhir bagai mematikan minat hamba setelah bermatian menyudahkan 300 mukasurat pertama tadi. Pembaca akan semakin keliru untuk meneka siapakah Carlos dalam bab-bab akhir ini. 

Ini bukanlah kali pertama RAM membawakan kisah insan yang mempunyai split personality ini. Menulis seseorang yang mempunyai karakter sebegini memang memudahkan RAM untuk membuatkan pembaca berteka teki. Tetapi lama kelamaan hamba jadi semakin kurang minat membaca kisah orang yang sakit jiwa ini. Terlalu banyak twist yang dilakukan. Untuk 100 muka yang terakhir ini hamba sempat tertidur dua kali untuk menyudahkannya.

Latar masa 25 tahun akan datang juga dilihat tidak perlu walaupun RAM mungkin mahu membawa pembaca melihat the original Carlos. Itupun nampak macam kisah orang sakit jiwa juga - sakit jiwa yang tidak berkesudahan!. Paling menyampah apabila kita dikisahkan bahawa copycat Carlos mendapat inspirasi melalui novel Mandatori (RAM dalam novel ini secara tidak lansung banyak mempromosikan beberapa tajuk novel beliau).

RAM mungkin sudah bertemu semula rentaknya dan kita mengharapkan rentak ini akan kekal konsisten. Kita mengharapkan RAM terus menulis novel yang berunsur thriller ini serta harapan tiada lagi kisah orang sakit jiwa ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...