Isnin, 15 Februari 2021

IMBAUAN 3 - MIE


 

Hamba terus sahaja membaca Imbauan 3 tanpa pernah membaca bahagian pertama dan keduanya. Bahkan menurut pelukisnya Imbauan 1 dan Imbauan 2 kini tidak lagi dicetak oleh penerbit. Hamba khuatir ini akan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menjualnya semula dengan harga yang berganda sebagai harga kolektor. 

Jikalau kita melihat kulit muka buku ini, kita akan dapat melihat suasana kemeriahan sebuah kampung dengan pelbagai telatah penghuninya. Mie menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada untuk membuat pengisian namun sama sekali tidak kelihatan berserabut. Melalui tajuk dan gambar ini dapat kita fahami bahawa pelukis/penulis akan membawa kita melihat masa lalunya melalui kenangan-kenangan zaman kanak-kanak atau remajanya.

Imbauan 3 diberikan prakata oleh Sabri Yunus yang pernah menjadi rakan sekelas Mie. Sebagai seorang pelakon dan pengarah berpengalaman - juga bekas orang Dewan Bahasa & Pustaka, tulisan Sabri sememangnya menarik untuk dibaca. Beliau menggarap pengalamannya dengan Mie dengan cara yang cukup santai. Terfikir hamba kenapa Sabri tidak pernah (?) menulis sebarang buku kerana jelas tulisan beliau amat menarik sekali untuk dibaca.

Secara ringkas, buku ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu bahagian pertama berupa lukisan kartun yang turut disertai penerangan dan bahagian kedua hanya berupa kartun semata. Pada bahagian yang mempunyai penerangan, fokus diberikan kepada pengalaman lampau Mie di zaman kanak-kanak dan remajanya. Penerangan diberikan di dalam bahasa Melayu dan Ingggeris. Pembaca harus juga membaca penerangan di dalam bahasa Inggeris memandangkan ia bukanlah sebuah terjemahan bulat-bulat penerangan di dalam bahasa Melayu. Penterjemah menggunakan ayat beliau sendiri dengan tidak lari daripada penerangan yang asal. Cuma kebiasaannya penerangan di dalam bahasa Inggeris dilihat lebih ringkas. Terdapat juga penerangan di dalam bahasa Inggeris yang hamba lihat berulang pada mukasurat yang lain - sedangkan kartunnya telah berubah, juga penerangan Inggeris yang kelihatan seperti tidak disudahkan ayatnya. Hamba menyambut baik penerangan secara dwibahasa ini kerana kartun kita perlu kita bawa kepada khalayak di luar Malaysia juga. Kartun Lat dapat melangkah jauh kerana Lat secara semulajadinya boleh berbahasa Inggeris dan telah menggunakan dengan sebaiknya peluang sewaktu bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Pada kartun bahagian kedua yang tidak mempunyai penerangan, ianya lebih bercampur - tidak hanya fokus kepada kenangan lalu tetapi juga isu semasa seperti penggunaan internet/gajet, hari kemerdekaan, puasa dan raya dan sebagainya.

Membaca karya sebegini, kita tidak boleh terlalu laju untuk menukar mukasurat. Kartun Mie amat seronok untuk ditenung sejenak, melihat bagaimana lakaran yang beliau buat, perincian serta emosi dan mimik muka watak-wataknya. Mie hamba lihat banyak melakar dengan pen yang bermata tebal dengan garis-garis yang kasar. Ini adalah gaya Mie dan ini adalah gaya Malaysia. Ia lebih baik daripada gaya manga yang banyak ditiru orang sehinggakan lukisan pelukis yang cenderung kepada cara demikian kelihatan lebih kurang sama sahaja.

Walaupun Mie lebih tua daripada hamba namun kenangan yang beliau lalui tidak berapa jauh bezanya dengan hamba dan rakan-rakan segenerasi hamba. Imbauan 3 (dan Imbauan yang lain) sekurang-kurangnya adalah pencatat sejarah melalui lukisan komik yang berbaloi untuk dimiliki serta disimpan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...