Sabtu, 27 Februari 2021

IMBAUAN - Mie


 

Hamba membaca Imbauan 3 terlebih dahulu sebelum membaca naskhah Imbauan nombor 1 ini. Ini memandangkan hamba terlebih dahulu membeli buku berkenaan sebelum yang ini. Hanya Imbauan 2 yang tiada pada hamba dan carian di internet mendapati ia telahpun kehabisan stok dan tidak dicetak lagi. Kedua-dua buku ini telah diterbitkan oleh dua buah penerbitan yang berbeza. Justeru ada perbezaan kualiti kertas serta kualiti terjemahan bahasa Inggeris. Untuk kertas, hamba melihat Imbauan 3 lebih baik namun untuk kualiti terjemahan bahasa Inggeris hamba melihat terjemahan di dalam Imbauan 1 adalah lebih baik dan tersusun.

Untuk buku pertama ini, kartunis Ujang telah diberikan penghormatan untuk menulis prakatanya. Kartun di dalam Imbauan bolehlah dibahagikan kepada 2 iaitu bahagian pertama adalah beberapa kartun pelukis yang pernah tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia di bawah tajuk Malaysia Kita. Yang kedua adalah apa yang disifatkan sebagai imbauan itu sendiri - sketsa kenangan pelukis semasa kecil. 

Kartun di bawah Malaysia Kita adalah bersifat semasa serta berkait dengan isu-isu yang sedang berlaku ketika itu. Ia boleh sahaja melibatkan politik, kemasyarakatan, harga barang dan lain-lain. Bahagian 2 adalah lebih menarik kerana di samping bercerita melalui tulisan, Mie juga bercerita melalui lukisan. Bagi yang hidup sezaman atau hampir sezaman dengan Mie, segala kenangan yang beliau lukis pastinya sedikit sebanyak berkait dengan mereka, lebih-lebih lagi jikalau hidup di kawasan kampung. Cuma hamba lihat ada beberapa kartun di dalam Imbauan yang telah disiarkan kembali di dalam Imbauan 3. Ada juga lukisan yang berbeza dengan imbauan 3 tetapi membawa cerita yang hampir sama seperti kisah orang kampung yang menonton tv beramai-ramai di rumah jiran.

Pada bahagian yang terakhir, Mie telah bermurah hati memberikan contoh bagaimana beliau menghasilkan kartun langkah demi langkah. Ilmu sebegini amat berguna sebagai petunjuk terutamanya bagi mereka yang meminati bidang lukisan kartun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...