Khamis, 11 Februari 2021

MAJALAH FANTASIA NO. 1


 

Perkhabaran mengenai penerbitan sebuah majalah baru sebagai penyambung legasi majalah Fantasi yang pernah diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd. satu masa yang lalu telah membangkitkan keterujaan kepada peminat komik tanahair. Bermula dengan hanya bertanyakan pandangan massa, ia kemudian diusahakan bersungguh-sungguh oleh sebuah kumpulan peminat komik sehingga lahirlah majalah ini. Ia menggunakan nama Fantasia, hampir sama dengan nama majalah asalnya. Berbeza dengan majalah lain yang biasanya menggunakan tarikh awal atau pertengahan bulan sebagai tarikh keluaran, majalah ini menggunakan hari terakhir dalam bulan berkenaan. Majalah Fantasia yang pertama ini menggunakan tarikh keluaran 31 Januari.

Majalah Fantasi terbitan CESB dahulu bolehlah dianggap umpama majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka yang ada pengkhususan untuk siswa, pelajar, sastera dan sebagainya. Maka Fantasi umpama Dewan Seni Grafik. Ia memuatkan hampir segala artikel, makalah dan gambar yang berkaitan dengan seni grafik seperti komik, seni arca, seni lukis yang menggunakan pelbagai medium dan lain-lain. Majalah Fantasi kelihatan lebih serius berbanding abangnya Gila-Gila. Sasaran khalayaknya juga berbeza lebih kepada para pengkarya dan peminatnya, mahasiswa serta mereka yang serius dalam bidang ini. Justeru kehadiran Fantasia adalah diharap dalam mengikut gaya yang sama seterusnya mengubati kerinduan peminat kepada majalah ini.

Cuba mengikuti format majalah Fantasi, Fantasia cuba tampil di keluaran pertama ini dengan pengisian beberapa komik dan makalah. Buat yang pertama kali ini, komik yang ada mungkin belum lagi melampaui kehebatan komik yang pernah ada dalam Fantasi. Namun ia adalah satu permulaan yang baik bagi menarik penyumbang lain di masa yang akan datang. Nama kartunis seperti Gayour dan Bophairy mungkin menjadi sedikit tarikan memandangkan beberapa pelukis lain mungkin agak kurang dikenali.

Hamba kira agak banyak juga makalah untuk keluaran pertama ini. Namun jika diteliti, hamba agak sedikit tidak berpuas hati dengan gaya rekaletaknya. Ia kelihatan seperti gaya majalah tahunan sekolah. Tulisannya menggunakan font yang bersaiz besar dan diboldkan sehingga tulisan berkenaan boleh memakan sehingga tiga mukasurat. Ada tulisan yang menarik seperti 'Fantasia Raduan Norudin' tetapi ceritanya umpama tergantung seperti kesilapan teknikal menyebabkan penyudahnya tidak disekalikan. Kehadiran kartunis Mie yang juga merupakan seorang arkitek untuk tulisan mengenai seni bina boleh menarik perhatian golongan professional seperti beliau untuk membaca majalah ini. Gaya persembahan dan rekaletak nampaknya yang menjadi isu besar yang perlu diselesaikan dalam keluaran yang akan datang. Grafik muka depannya telah mantap dan hampir membawa nada yang sama seperti Fantasi.

Kita mengharapkan agar Fantasia mampu menarik kembali masyarakat untuk meminati pembacaan majalah secara fizikal. Kejayaan Fantasi akan mendorong lebih banyak lagi pihak untuk mengeluarkan produk bacaan mereka. Buat masa ini Fantasia diedarkan secara jualan atas talian. Jualan atas talian dilihat memberi kesan baik kepada penerbit kerana boleh mencetak mengikut bilangan tempahan. Tetapi sebagai pembeli, mungkin sekali dua mereka boleh membeli secara begini memandangkan harga majalah dicampur dengan kos pengeposan sudah menjangkau RM20. Sekiranya penerbit mahu meneruskan cara sebegini sebagai strategi jualan, majalah Fantasia harus tampil lebih ganas dengan idea-idea baru agar pembaca merasa berbaloi memiliki majalah ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...