Selasa, 2 Februari 2021

PERJALANAN MENCARI DIRI - Abdullah Hussain

 



Perjalanan Mencari Diri merupakan installasi keempat daripada siri autobiografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Ia kisah beliau selepas berkhidmat selama 10 tahun di negara Brunei Darussalam yang telah ditulis di dalam Perjalanan Mencari Hikmah yang telah hamba ulas sebelum ini. Perjalanan Mencari Diri adalah lebih menarik memandangkan kali ini penulis banyak melakukan kembara ke beberapa destinasi yang digarapkan dengan penuh berisi dan berinformasi.

Secara ringkas buku ini boleh dibahagiakan kepada empat bahagian iaitu kisah ringkas beliau setelah menamatkan tugas di Brunei, perjalanan menghasilkan novel Imam, pengembaraan penulis ke beberapa buah negara dan diakhiri dengan kisah anugerah Seniman Negara serta bintang kehormatan yang beliau terima.

Kisah atau sejarah beliau menghasilkan novel Imam amatlah menarik sekali. Beliau amat bersungguh mahu melahirkan karya ini agar dapat dibaca khalayak sehinggakan mewasiatkan kepada keluarganya agar dapat menerbitkan novel ini apabila mereka mempunyai duit, sekiranya beliau tidak sempat menerbitkannya semasa masih hidup. Novel Imam dihasilkan sekitar 90an. Penulis telah melihat kesukaran untuk menerbitkan novel yang tebal ketika itu. Manuskrip novel Imam yang beliau tulis menggunakan mesin taip berjumlah 1200 mukasurat. Setelah ditaip semula menggunakan komputer ia menjadi 892 mukasurat. Penerbit buku sukar untuk menerbitkan karya yang tebal memandangkan masyarakat tidak berminat untuk membaca karya yang sebegini. Hamba terfikir, alangkan penulis besar seperti Abdullah Hussain juga menghadapi kesukaran untuk menerbitkan karya mereka, bagaimana pula dengan penulis-penulis kecil atau mereka yang mahu bertapak di dalam bidang penulisan kreatif ini, pastinya lebih sukar lagi. 

Keesokan pagi selepas beliau berwasiat, beliau telah melihat berita tentang Sayembara Hadiah Novel Nasional anjuran Utusan Melayu dan Public Bank bagi memperingati Pak Sako di sebuah akhbar. Tarikh tutupnya pula adalah pada hari berikutnya. Nampaknya Allah telah melorongkan satu jalan kepada beliau agar karyanya dapat diterbitkan. Kerana tebalnya karya beliau, ia tidak boleh dijilidkan dalam satu jilid dan terpaksa disediakan dalam 3  jilid. Beliau hampir sahaja dikecewakan apabila menerima surat daripada penganjur memaklumkan bahawa karya beliau tidak terpilih dan meminta agar manuskrip tersebut di ambil semula. Dalam pada beliau memikirkan bagaimana cara untuk beliau pergi mengambil kembali karyanya (kerana penulis tidak mempunyai kenderaan), satu panggilan telefon yang menyatakan bahawa surat tersebut adalah satu kesilapan telah diterima. Yang nyata karya beliau termasuk dalam 10 karya yang terpilih untuk dinilai. Dan selebihnya kita tahu apabila novel Imam telah berjaya menjuarai sayembara tersebut. Ulasan hamba terhadap Imam boleh dibaca di sini.

Bahagian paling besar buku ini adalah perjalanan beliau ke beberapa buah destinasi luar negara. Lawatan ini kesemuanya adalah lawatan secara rombongan yang berstruktur serta mempunyai tujuan keilmuan dan bukannya bersifat jalan santai mengisi masa lapang. Justeru kebanyak acaranya diisi dengan majlis keilmuan seperti seminar, perjumpaan dan sebagainya. Penulis turut dijemput menjadi tamu Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) sempena perayaan Jubli Emas Republik Indonesia pada 1995. Penulis yang pernah menghabiskan kira-kira 10 tahun usianya di Indonesia sebelum kemerdekaannya dianggap sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan. Penulis adalah orang yang mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan Indonesia di Langsa, Aceh. Tapak berkenaan hari ini telah didirikan tugu peringatan bambu runcing.

Antara destinasi yang telah dikunjungi penulis adalah Yunan, China, Kalimantan Barat, Jakarta dan Aceh di Indonesia serta Sri Lanka. Kisah-kisah sepanjang perjalanan ini bukan hanya sekadar kisah tetapi kadangkala umpama membaca sebuah buku sejarah. Ini termasuklah kisah penulis sendiri yang menjadi sebahagian daripada sejarah tempat berkenaan terutamanya semasa di Aceh. Para pembaca akan mendapat banyak maklumat baru dan menarik. Antaranya adalah seperti tidak semua raja-raja Aceh itu berbangsa Aceh tetapi ada juga Bugis dan Melayu. Sultan Iskandar Sani berasal dari Pahang. Sultan Muhammad Daud Syah yang terakhir ketika Aceh ditakluki Belanda juga keturunannya orang Semenanjung. 

Dalam melaksanakan fungsi adat istiadat, orang Aceh berpegang teguh pada landasan yang telah diperturunkan zaman berzaman. Landasan tersebut mempunyai lambang-lambang tokoh yang membuat keputusan seperti contoh berikut:

Adat bak Poteu Meureuhom

Hukum bak Syiah Kuala                                                                                                     

Kanun bak Putroe Phang                                                                                               

Reusam bak Laksamana                                                                                                 

Hukom ngan adat lagee zat dengan sipheut


Ertinya:

Adat dipegang oleh Raja (Sultan Iskandar Muda)                                                            

Hukum dipegang Sheikh Kuala                                                                                          

Kanun dipegang Puteri Pahang                                                                                        

Resam dipegang Laksamana                                                                                          

Hukum dengan adat bagai zat dengan sifat

Puteri Pahang yang dimaksudkan dalam landasan ini merujuk kepada Puteri Kamaliah, permaisuri Sultan Ahmad Pahang yang mati terbunuh dalam serangan Aceh ke atas Pahang.Baginda kemudiannya menjadi permaisuri Sultan Iskandar Muda. Landasan ini hamba rasa lebih kurang sama dengan 'perbilangan' pada masyarakat Minang.

Tahukah anda penduduk di daerah Lamno di Aceh kebanyakannya mempunyai iras Eropah - berkulit putih merah, berambut perang dan bermata biru. Walaupun ada yang berkulit gelap tetapi mempunyai mata yang biru! Ini amat berbeza dengan roman orang nusantara. Mereka merupakan sisa keturunan orang-orang Portugis yang kapalnya karam di pantai berhampiran kira-kira 400 tahun yang lalu. Anak-anak kapal telah diselamatkan dan ditempatkan di pekan Lamno. Mereka telah berkahwin dengan orang tempatan sehingga melahirkan zuriat yang mempunyai iras Eropah. Mereka juga adalah Muslim. Agak menghairankan juga kerana keturunan Portugis di Malaysia tidak mempunyai roman Eropah seperti orang Lamno. Adakah kapal yang karam ini kapal Flor de la Mar?

Perjalanan di Sri Lanka adalah kisah tentang orang Melayu di sana. Tidak disangka satu masa dahulu pernah ada Rejimen Melayu di sana. Tidak semua mereka boleh lagi berbicara dalam bahasa ibunda. Mungkin kerana dahulu tiada inisiatif bagi mendirikan sekolah yang mengajar dalam bahasa ini. Namun mereka masih Muslim dan agama masih terpelihara. Orang tempatan juga sedikit sebanyak telah mempengaruhi cara berpakaian dan masakan orang Melayu Sri Lanka. Ada wanita Melayu Sri Lanka yang memakai sari seperti gaya orang tempatan - jauh benar daripada gaya berpakaian biasa orang Melayu. 

Semenjak membaca Perjalanan Mencari Hikmah lagi hamba telah melihat akan keperibadian penulis yang amat merendah diri. Beliau bekerja bukan untuk mencari nama atau pengiktirafan. Sewaktu di Brunei beliau telah menolak pengiktirafan yang hendak diberikan kepadanya. Mungkin kerana orang sudah tahu akan beliau yang tidak mahu diangkat, maka apabila hendak dianugerahkan bintang oleh negeri Kedah, beliau hanya dimaklumkan dua hari sahaja sebelum majlis berlansung menyebabkan beliau tidak sempat hendak menulis surat penolakan. Bahkan untuk anugerah ini sahabat baik beliau yang bersusah payah mencarikan tengkolok dan bengkung, bahkan membelikan beliau tiket kapal terbang. Beliau dalam bab akhir ini juga turut menceritakan pengalaman menerima anugerah Sasterawan Negara, satu anugerah tertinggi kerajaan untuk penggiat sastera. Sebelum penerima ketika itu dimasyhurkan, beliau melihat beberapa artikel tentang beliau yang dikatakan layak menjadi Sasterawan Negara tersiar di akhbar. Beliau nyata tidak senang dengan keadaan itu kerana dilihat seperti melobi. Beliau turut membuat teguran terhadap penulis tetapi dinasihatkan agar tidak masuk campur. Pengumuman penerima anugerah tersebut telah dibuat dalam majlis Minggu Sastera tahun 1995 oleh Menteri pendidikan, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dan penulis sememangnya tidak lansung diberitahu bahawa nama beliau akan dimasyhurkan pada malam itu. Walau apapun hamba secara peribadi merasakan beliau amat layak menerima anugerah tersebut. Lebih-lebih lagi beliau telah menulis sebelum zaman perang lagi mendahului beberapa orang yang pernah menerima anugerah yang sama.

Kini beliau telah tiada. Abdullah Hussain telah meninggalkan kita pada 31 Disember 2014. Hamba yang sejak beberapa minggu ini banyak membaca karya beliau merasakan satu kehilangan besar dalam dunia penulisan. Tulisan beliau amat menarik serta penuh dengan informasi dan hikmah. Kita perlu lebih banyak penulis seperti beliau.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...