Selasa, 16 Februari 2021

PERTEMUAN ABADI KOLEKSI TERPILIH ABDULLAH HUSSAIN


 

Hamba umpama ketagih membaca tulisan Sasterawan Negara Almarhum Datuk Abdullah Hussain semenjak dua ini. Semuanya bermula apabila hamba membaca kembali novel Imam diikuti dengan beberapa karya lain yang hamba pinjam di perpustakaan jabatan. Hamba suka dengan gaya penulisan beliau yang seperti seorang wartawan, tanpa bahasa yang terlalu berbunga-bunga. Tulisan beliau dalam 20 tahun terakhir lebih banyak memasukkan unsur-unsur dakwah selain unsur-unsur perjuangan yang telah beliau lakukan semenjak tahun-tahun awal penulisannya. Begitu juga dengan hujah atau fakta-fakta yang beliau tampilkan di dalam karya-karyanya membuatkan kita kagum dengan idea dan pemikiran penulis. Hamba terasa rugi pula kadang-kadang kerana lambat kenal dengan karya beliau walaupun telah membaca Imam semenjak akhir 90an.

Buku Pertemuan Abadi memuatkan karya-karya terpilih beliau. Hamba percaya karya beliau yang menarik amat banyak sekali dan mungkin menyukarkan panel pemilihan. Talib Samat yang memberikan pengantar kepada buku ini sebenarnya telahpun membuat ulasan keseluruhan yang padu terhadap buku ini dengan memasukkan sedikit sejarah penulisan serta sedikit analisa ringkas. Maka tulisan hamba ini tidaklah boleh melawan akan ulasan beliau. Cukuplah tulisan hamba ini umpama perencah tambahan yang memberikan lebih perisa kepada hidangan yang sudah sedia lazat.

Seperti kata Talib Samat, 'Abdullah Hussain menulis dalam pelbagai genre penulisan meliputi genre cerpen, novel, biografi, autobiografi, kritikan, drama, terjemahan, umum dan skrip filem'. Namun dalam buku ini hanya genre cerpen, novel, biografi, skrip drama televisyen, skrip drama pentas, skrip filem, puisi dan esei sastera sahaja yang dipilih. Bagi cerpen, puisi dan esei sastera, kita boleh menikmati hasil tulisan yang lengkap manakala yang lain-lain sekadar fragmen atau petikan sahaja. Satu keistimewaan Abdullah Hussain dalam beberapa genre penulisannya ialah, sesuatu bab atau fragmen itu boleh sahaja berdiri dengan sendiri dan difahami tanpa perlu bergantung kepada cerita sebelum atau selepasnya. Perkara ini pernah disebut beliau di dalam buku Perjalanan Mencari Hikmah, kalau tidak silap hamba, ketika menceritakan proses penulisan Imam. Jadi apabila pembaca membaca fragmen-fragmen skrip, novel dan biografi di dalam buku ini, pembaca akan dapat memahami penceritaanya dengan baik tanpa rasa resah kerana cerita yang tergantung.

Ada tiga cerpen beliau di dalam buku ini yang bermula dengan perkataan 'pertemuan' iaitu Pertemuan Di Tjiandur, Pertemuan Di Kuching dan Pertemuan Di Kota Bharu. Sebenarnya beliau mempunyai beberapa tulisan lagi yang bermula dengan 'pertemuan' seperti Pertemuan Di Brunei, Pertemuan Abadi dan lain-lain. Walaupun menggunakan tajuk pertemuan, ketiga-tiga cerpen ini membawakan tema yang berbeza. Yang pertama ada unsur kisah orang perjuangan di Indonesia, yang kedua mengandungi unsur espionaj komunis dan yang ketiga kisah seorang anak yang mula lupa diri setelah berada di puncak. Agak menarik Abdullah Hussain suka menggunakan nama-nama orang yang dikenalinya untuk diletakkan di dalam karya-karya beliau. Beliau mengulas lanjut mengenai hal ini melalui eseinya 'Jurnalisme Baru Dalam Karya Kreatif'. 

Dalam fragmen novel, hamba pernah membaca dua di antara tiga yang dipaparkan iaitu Interlok dan Imam. Manakala Masuk Ke Dalam Cahaya masih belum sempat hamba baca walaupun telah membelinya. Dan setelah membaca fragmen Masuk Ke Dalam Cahaya, hamba semakin tidak sabar untuk membacanya lantaran menariknya petikan yang telah dipilih.

Melalui fragmen biografi, karya Pendeta Za'ba Dalam Kenangan telah dipilih. Fragmen ini mengambil kisah Za'ba semasa kecil. Menurut Talib Samat ini antara karya yang paling cepat diterbitkan oleh Dewan Bahasa iaitu kira-kira dua bulan sahaja selepas Za'ba meninggal dunia. Karya ini juga pernah mempunyai masalah melibatkan undang-undang dengan Mubin Sheppard yang disebut secara ringkas sahaja oleh Talib. Membaca kisah Za'ba semasa kecil kita akan diperlihatkan tentang kebijakan beliau sejak kecil lagi serta semangat beliau yang sukakan kepada ilmu pengetahuan.

Bagi genre skrip, hanya diambil satu sahaja tajuk dari setiap jenis drama tv, drama pentas dan filem. Bagi skrip filem Konserto Terakhir yang juga merupakan sebuah novel beliau, hasrat untuk melihat ia difilemkan tidak menjadi kenyataan dan masih kekal dalam bentuk skrip dan novel.

Esei-esei yang dipaparkan juga amat menarik dan memberikan sedikit pengetahuan serta cadangan yang harus diambil perhatian oleh pihak tertentu. Dalam satu tulisannya beliau menggesa agar pemilihan karya terbaik tidak dibuat melalui sayembara. Kerana ada sudut negatifnya seperti karya mereka yang terpilih itu terpaksa dipulangkan dan tidak mendapat ruang untuk ditampilkan sekaligus membuatkan pengkaryanya merasa kecewa. Beliau mencadangkan dibuat anugerah khas yang berprestij dengan menilai karya-karya yang telah tersiar sepanjang tahun. Hamba melihat cadangan beliau ini ada kebaikannya. Tetapi nampaknya hingga kini (bahkan selepas beliau pergi meninggalkan kita selamanya), cadangan ini belum lagi terlaksana dan mungkin tidak pernah dibincangkan di mana-mana forum.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...