Isnin, 15 Februari 2021

SEBONGKAH BATU DI KUALA BERANG - Faisal Tehrani


 

Novel ini pernah diharamkan pada tahun 2015 serentak bersama tiga lagi novel Faisal Tehrani yang lain. Pada tahun 2018 pengharaman tersebut telah dibatalkan atas arahan mahkamah. Tentunya timbul persoalan atas sebab apakah naskhah ini dilarang daripada menjadi tatapan mata masyarakat. Tiupan-tiupan yang biasa kedengaran adalah kerana novel ini membawa bersamanya unsur-unsur syiah.

Walaupun telah terbit pada tahun 2011, hanya pada tahun ini atau sepuluh tahun kemudian barulah hamba dapat membacanya. Itupun naskhah di tangan hamba ini bukanlah sebuah buku baharu tetapi hamba perolehi daripada seorang penjual buku terpakai. Mungkin ia tidak dicetak lagi selepas pengharamannya pada 2015. Justeru naskhah seperti ini mungkin menjadi buruan para kolektor yang gemar menyimpan buku-buku yang dianggap nadir sama ada tidak lagi dicetak atau pernah diharamkan oleh kerajaan.

Pada mulanya hamba menyangkakan - berdasarkan tajuk novel - penulis akan berkisah mengenai sejarah batu berkenaan ataupun kisah kedatangan Islam ke Terengganu. Tapi tekaan hamba tersebut tidak sepenuhnya tepat. Novel ini adalah mengenai usaha sekumpulan pelajar tahun akhir Akademi Seni Islam untuk menyiapkan projek tahun akhir mereka berupa penghasilan sebuah dokufilem berkaitan batu bersurat Terengganu - sekaligus kedatangan Islam ke Terengganu.

Jadi novel ini adalah perjalanan menghasilkan dokufilem berkenaan yang pastinya disulami dengan pelbagai konflik dan permasalahan yang timbul sepanjang penghasilannya. Ia sarat dengan beberapa keterangan ilmiah sama ada melalui perbualan, temuramah, ucapan dan perbincangan antara watak-wataknya. Beberapa temubual yang diadakan mengingatkan hamba kepada novel Imam tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang turut menggunakan pendekatan yang hampir sama apabila Imam Mihad ditemubual oleh pihak Majlis. Temubual berkenaan sarat dengan pengisian ilmiah seperti isu tentang mazhab dan sebagainya. Begitu juga dalam novel ini temubual yang dijalankan digunakan oleh penulis untuk menyingkap secara ilmiah akan teori kedatangan Islam ke rantau nusantara dan Terengganu khasnya.

Walau apapun keterangan yang kita sifatkan ilmiah itu, kita tahu bahawa sebuah buku itu biasanya menyampaikan pemikiran penulisnya. Justeru mungkin ada di antara pemikiran inilah yang dilihat mengelirukan atau mempunyai unsur syiah seperti dakwaan sesetengah pihak.

Kita lihat contohnya seperti dialog di muka enam, "Seperti kata Prof. Budriz, orang Islam sudah perlu berhenti membina masjid. Yang perlu kita bina sekarang, meski menggunakan wang zakat sekalipun adalah membikin filem bagi membalas serangan kebudayaan Barat dan juak-juaknya..." Baru sahaja novel ini bermula, penulis telah membuat kenyataan yang mengejutkan. Dialog ini dituturkan melalui perbualan Sharifah dan Sofea. Tiada perbahasan antara mereka membincangkan pro dan kontra pandangan ini. Ia seolah membayangkan penulis mahu menyuapkan pandangan ini ke mulut dan memakunya ke otak pembaca. Mungkin orang boleh membuat tafsiran bahawa yang dimaksudkan adalah kita berhenti seketika untuk membina masjid bagi menumpukan usaha ke atas satu perkara yang dirasakan lebih penting pada masa ini iaitu membalas serangan kebudayaan barat dengan jalan membuat filem. Selepas selesai maka kita bangunkan masjid kembali. Tetapi hamba tidak nampak lansung akan kemunasabahannya. Ia seolah membayangkan bahawa institusi masjid itu sendiri tidak mampu untuk menangkis serangan barat sehingga perlu ditukar dengan projek membikin filem. Hamba setuju bahawa filem boleh digunakan sebagai wasilah daawah tetapi tidaklah sampai sehingga menutup masjid. Sudahlah hendak menutup masjid, hendak dijalankan dengan wang zakat pula. Ya benar asnaf fisabililLah itu amat luas pentafsirannya namun dalam kategori ini juga pastinya ada perkara yang lebih mendesak untuk diberikan zakat. Pada mukasurat 37 sekali lagi penulis membawa minda Prof. Budriz melalui pertuturan watak Zulkifli bahawa 'keringat buruh lebih mulia daripada darah syuhada'! Ternyata watak Prof. Budriz ini membawa pandangan-pandangan yang mengelirukan tanpa ada penjelasan yang bersandarkan apa-apa dalil. Dalam hal ini hamba tabik kepada Abdullah Hussain kerana penghujahan Imam Mihad dalam Imam sewaktu ditemubual pihak Majlis sentiasa ada sahaja sandarannya.

Penulis juga mengungkapkan bahawa kemasukan Islam ke Sumatera atau ke alam nusantara ini sebahagian besarnya dibawa oleh ulama yang bermazhab Jafari. Dalam hal ini beliau tidak menulis syiah Jaafariah tetapi mazhab Jafari yang kelihatan lebih lembut. Bahkan kemasukan Islam ke Terengganu juga adalah melalui kumpulan seperti ini. Hamba tidak berhasrat untuk mengulas panjang. Ada blog-blog yang telah menangkis hujahan Faisal ini seperti suarajagat.wordpress.com yang menulis beberapa siri tentang unsur syiah dalam novel Sebongkah Batu Di Kuala Berang. Kecenderungan terhadap syiah ini boleh kita lihat apabila watak Dato' Fendi membatalkan temubual dengan Sharifah secara mengejut setelah dibidas tentang tulisan khat batu bersurat yang dikatakan berasal dari Parsi sebagai tanda ulama' Parsi yang membawa Islam ke Terengganu. Ia adalah simbolik seolah Dato' Fendi telah tewas dalam hujahannya. Kenyataan ini kelihatan lebih jelas dalam dialog di mukasurat 57, 'Saya berpandangan Islam yang tiba ke Terengganu dan dinobatkan pada tahun 1303 masihi seperti yang terbukti pada batu bersurat Terengganu adalah Islam mazhab Jafari'. sekurang-kurangnya ada tiga watak yang dilihat cenderung kepada syiah ini iaitu Prof. Budriz, Prof Fazren dan Sharifah.

Buku ini turut membawa kritikan sosial terutama kepada segelintir yang lupa kepada asal usul atau tidak bangga dengan bangsanya sendiri. Perkara ini digambarkan melalui watak Sharifah Ezzati seorang pelakon yang sering dilabelkan sebagai bermasalah serta mempunyai kelakuan yang gedik. Beliau dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan seperti 'saya rasa seperti bodoh makan cencaluk dan rasa lebih standard apabila makan spageti', 'perempuan Melayu sudah lama tahu berkemban' apabila mempertahankan pakaian seksi serta 'sekiranya mahu filem Melayu mendapat tempat di Cannes ataupun Venice, maka artis tanah air perlu berani telanjang di layar perak'. Hamba tersenyum di dalam hati membacanya kerana semua kata-kata ini pernah dikeluarkan oleh seorang artis tempatan. dengan mudah sahaja dapat menekanya, ditambah dengan klu-klu yang diberikan oleh penulis seperti nama pengarah yang Sharifah Ezzati biasa berlakon. Walaupun nama pengarah berkenaan serta nama beberapa pelakon telahpun diubah, namun para pembaca akan dapat mengenali siapa individu ini memandangkan perubahan yang dibuat adalah amat minimal.

Sharifah Ezzati kerap menimbulkan masalah sama ada di set ataupun sewaktu latihan. Menyangka dirinya hebat sehingga tidak mahu berlatih, memandai-mandai manambah lakonan tanpa mengikut arahan pengarah, bergaduh dengan teman selakonan kerana berebutkan jantan dan lain-lain lagi. Namun penulis ingin menyampaikan mesej bahawa orang sebegini perlu diubati dan bukan disisihkan. Kerana itu beberapa watak seperti Zulkifli, sang pengarah, tetap mahu mengambil beliau sebagai pelakon serta Dr. Hayati yang masih lagi mahu memberikan peluang kedua buat beliau.

Dalam sinopsis di kulit belakang buku ini penerbit mencatatkan'...dalam tuntutan-tuntutan yang semakin mendesak, Faisal Tehrani memberikan sebuah penyudah yang tidak disangka.' Bunyinya seperti sesuatu yang suspen tetapi hamba sendiri tidak tahu dengan apa penyudah yang tidak disangka itu memandangkan tiada unsur yang mengejutkan berlaku, hanya seperti biasa di dalam novel-novel kita - watak yang terpesong akan sedar kembali akan jati dirinya!

Walaupun naskhah ini penuh kontroversi, dari sudut penulisan dan sastera ia adalah merupakan sebuah karya yang baik. Namun dari sudut yang melibatkan akidah, persoalan mazhab, pemikiran Islam, beberapa perkara yang dibincangkan mungkin perlu berlegar dalam kalangan mereka yang mengetahui atau mendalami perkara ini. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...