Khamis, 18 Februari 2021

SUNGAI MENGALIR LESU - A. Samad Said


 

Pertama kali membacanya adalah semasa zaman sekolah hampir 30 tahun yang lalu. Hamba membacanya sekali lagi kerana tahu bahawa novel ini susungguhnya amat meninggalkan kesan. Sungai Mengalir Lesu adalah kisah zaman perang, di saat Jepun diambang kekalahan. Latar tempatnya tidak banyak dan pengkisahan banyak berlaku di deretan rumah-rumah daif di tepi sebatang sungai yang airnya kotor, hitam yang mengalir lesu membawa bersamanya pelbagai kotoran sampah sarap, najis dan sisa-sisa makanan. Di situ ada gudang makanan kepunyaan Jepun yang sentiasa di kawal ketat terutamanya pada waktu malam. Berdekatannya juga ada sebuah jambatan yang sering digunakan manusia yang telah putus asa dengan kehidupan untuk mengambil sendiri nyawa mereka.

Pak Samad berjaya menggambarkan kesusahan hidup zaman perang dengan amat cemerlang sekali. Ia begitu hidup sehingga pembaca dapat merasakannya. Penderitaan yang dilalui oleh masyarakat (dalam hal ini di Singapura) amatlah hebat sekali. Kelaparan dan kebuluran adalah musuh utama. Dan untuk mengisi perut inilah manusia sanggup melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan norma agama dan budaya.

Walaupun sungai itu digambarkan begitu jijik, namun ia umpama syurga buat penduduk di situ khususnya kanak-kanak yang digambarkan mandi manda, berenang di dalamnya, Sambil berenang mereka mencari sisa-sisa makanan, buah-buah busuk yang boleh di makan dan apa sahaja barang berharga yang hanyut di sungai itu. Kanak-kanak seperti Dalim, Sukon, Baharom dan lain-lain bagaikan tidak merasa apa dengan kekotoran sungai itu. Mereka mandi beramai-ramai, ada yang bertelanjang bulat dan ada yang membuang najisnya juga di sungai itu. Namun itulah sahajalah kenikmatan yang ada buat hiburan di zaman perang.

Seperti yang disebutkan tadi, makanan amatlah sukar untuk didapati. Bukan sahaja ketiadaan wang, wang Jepun yang sedia adapun telah jatuh nilainya dengan begitu drastik sekali. Kerana makanan, ada yang sanggup menukarkan susu tin dengan 'susu' di badan. Ada yang sanggup membuat hubungan dengan Jepun. Ada juga yang dengan beraninya cuba menceroboh gudang makanan Jepun. Dalam hal ini mereka yang dikisahkan cuma melakukan misi mustahil ini kesemuanya mati di hujung senapang Jepun.

Pengeboman oleh pesawat B-24 dan B29 berlaku hampir saban hari. Ketika semboyan berbunyi panjang, mereka akan lari masuk ke dalam shelter sehinggalah keadaan benar-benar aman. Ada juga yang menjadikan shelter umpama kediamannya lantaran lebih banyak masa yang dihabiskan di situ. Dalam keadaan susah ini masyarakat tepi sungai yang digambarkan ini amat mengambil berat antara satu sama lain. Watak Tompang yang tepok dan buta selalu mendapat simpati penduduk terutamanya daripada Mak Buruk yang sanggup mendokong anak ini masuk ke dalam shelter setiap kali semboyan berbunyi. Mak Buruk mempunyai suami yang telahpun diangkut Jepun sejak awal perang lagi. Derita beliau menunggu suaminya berakhir apabila suaminya pulang. Namun hari itu juga berlaku pengeboman yang memusnahkan rumah beliau. Dalam pengeboman ini beberapa nyawa turut melayang termasuklah Tompang yang ketika itu tiada siapa terfikir untuk mengangkatnya serta Salimah dan Zainab. Salimah bersembunyi di atap rumah kerana khuatirkan Jepun membunuhnya selepas kematian seorang sojar Jepun yang mengawal gudang makanan. Salimah membuat hubungan dengan sojar itu. Manakala Zainab seorang isteri muda yang dicemburui suaminya. Kerana cemburunya beliau sering dikunci ketika suaminya tidak berada di rumah termasuk ketika kapal terbang sedang melakukan pengeboman.

Watak Ahmad Jani mulanya digambarkan seperti kelihatan alim kerana sering mengaji sewaktu di dalam shelter. Beliau seorang lelaki yang ditinggalkan oleh isterinya yang membuat hubungan dengan lelaki lain. Namun kemudian beliau berbuat yang tidak sepatutnya apabila membuat hubungan dengan Zainab, isteri  Sayeed Ayub. Kerana kemiskinan, ada ibu bapa yang mengahwinkan anak perempuan mereka yang masih muda kepada peniaga India. Inilah yang berlaku kepada Zainab yang terpaksa bernikah dengan Sayeed Ayub. Sayeed Ayub pula seorang lelaki yang kuat cemburu. Beliau tidak percaya kepada anak saudaranya yang bernama Kareem yang turut tingggal bersama mereka. Lantaran itu Zainab kerap dikunci. Melalui muslihat Zainab, dia berjaya mendapatkan kunci pendua mangga yang menguncinya bagi memudahkan Ahmad Jani untuk masuk ke bilik semasa ketiadaan suaminya.

Ada dua sahabat, Irwan dan Mulyadi. Seorang dari Pekalongan dan seorang dari Semarang. Keduanya merupakan tahanan Jepun yang ditinggalkan di tepi jalan kerana sakit. Mereka hidup menderita di kawasan itu dan menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat tinggal. Mulyadi mempunyai tokak di kakinya yang tidak pernah sembuh bahkan semakin memburuk kerana ketiadaan ubat. Mulyadi turut mendapat malaria. Mulyadi akhirnya mati kerana sakitnya dan mewasiatkan Irwan untuk menenggelamkan mayatnya di dasar sungai kerana merasakan sungai itu banyak berjasa kepadanya.

Walaupun masa perang adalah zaman kesusahan, berlaku juga pergaduhan yang melibatkan kumpulan samseng kerana berebutkan kawasan atau perempuan. Nampaknya hingga ke hari ini budaya kumpulan samseng ini masih belum dapat dihapuskan bahkan kegiatan mereka semakin meluas dan merbahaya. Kerana samseng juga ada penghuni rumah di tepi sungai ini yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka bagi menyelamatkan nyawa sendiri.

Zaman perang, nyawa menjadi murah dan sebaliknya makanan menjadi mahal. Demi survival banyak nilai agama yang digadaikan. Kerana itu kita perlu bersyukur atas nikmat keamanan yang kita nikmati serta perlu dipertahankan dengan sebaiknya. Ada orang yang gila suka melihat orang bergaduh dan seolah suka kepada peperangan. Orang seperti ini tidaklah pernah hidup di zaman gerhana ini. Mereka jika hidup di zaman berkenaan pastinya tidak akan mahu lagi berada di dalamnya lantaran getirnya kehidupan. Novel Pak Samad ini adalah satu pengkisahan yang hamba percaya berdasarkan pengalaman Pak Samad sendiri di masa perang. Kita tidak mahu hidup seperti Dalim, Tumirah, Basir, Mat Jani, Zainab yang menderita. Kita perlu terus berdoa untuk keamanan Malaysia dan seluruh dunia!


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...