Isnin, 15 Februari 2021

UNIVERSITI KEDUA - Kassim Ahmad

 



Buku Universiti Kedua ini kali pertama telah terbit pada tahu 1983. Ia diterbitkan sekali lagi di bawah penerbitan yang berbeza pada 2010. Jarak masa kedua-dua buku ini lebih kurang 27 tahun telah mengubah pandangan Kassim Ahmad mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri aka Internal Securiti Act (ISA). Beliau telah memberikan sokongan kepada ISA! Kerana itu melalui terbitan yang terbaharu ini beliau telah memberikan prakata baharu untuk menerangkan tentang kecenderungan baharu berkenaan. Perkara ini tentunya menimbulkan kegemparan kepada mereka yang sama-sama menentang akta berkenaan. Tentunya pelbagai pertanyaan yang timbul akibat pendangan Kassim berkenaan. Namun Kassim mempunyai alasannya yang tersendiri untuk menyokongnya walaupun beliau pernah menjadi tahanan di bawah akta berkenaan. Untuk rekod, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 telah dimansuhkan pada 31 Julai 2012 dan diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Kassim Ahmad ditahan di rumahnya pada malam 2 November 1976. Ketika itu beliau merupakan Presisen Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Sepertimana kisah-kisah tahanan ISA yang pernah hamba baca sebelum ini, tahanan kebanyakannya kabur dengan sebab musabab penahanan mereka. Mereka sering dikaitkan cenderung kepada fahaman komunis termasuklah Kassim sendiri. Kita maklum bahawa ISA adalah kuasa penuh Menteri Dalam Negeri yang boleh menahan sesiapa yang disyaki boleh memudaratkan negara tanpa perlu kuasa mahkamah. Kebiasaannya tahanan akan ditahan terlebi dahulu selama 60 hari. Jika tiada apa yang boleh disabitkan maka mereka akan dilepaskan jika tidak ia akan berlanjutan kepada tempoh penahahan selanjutnya yang dibuat di Kamunting.

Kehidupan di Kamunting sebenarnya dilihat lebih baik daripada penjara. Tahanan diberikan sedikit kelonggaran seperti kemudahan penerimaan bahan bacaan, boleh menulis, berkebun dan beriadah serta beberapa aktiviti lain yang biasanya tidak diberikan kepada banduan penjara. Namun biasanya yang mereka hadapi adalah tekanan jiwa kerana kerapnya diadakan soal siasat yang tidak mengira siang atau malam, pagi ataupun petang. Mereka diminta untuk membuat pengakuan terhadap apa yang tidak mereka lakukan (pandangan tahanan). Kadang-kadang pengakuan itu dibuat melalui siaran televisyen (seperti pengakuan oleh Asaari Muhammad sewaktu isi pengharaman Al-Arqam). Dalam hal soal siasat terhadap Kassim, hamba lihat beliau mengambil pendekatan yang sederhana. Beliau tidak terlalu melawan atau keras kepala. Kadang kala beliau diam sahaja tidak menjawab. Namun beliau tetap konsisten dalam memberikan jawapan kepada setiap soalan yang dikemukakan walaupun oleh penyiasat yang lain dan dalam waktu yang berbeza.

Sewaktu tahanan awal 60 hari di Depo Polis Jalan Gurney, Kassim telah menyiapkan satu draf novel yang diberi judul Zaman Pancaroba. Sewaktu berasa di Kem Tahanan Kamunting lapan bulan selepas itu, beliau telah membaca satu laporan kecil di sebuah akhbar menyatakan bahawa novel berkenaan telah diharamkan oleh kerajaan. Kassim memang marah lebih-lebih lagi novel berkenaan masih lagi dalam bentuk draf tulisan tangan dan belum selesai!

Kassim banyak mengahabiskan waktunya dengan membaca dan menulis. Beliau juga tidak melupakan tuntutan agama dengan menjaga solat lima waktu termasuk bangun melakukan tahajjud pada malam hari dan membaca Al-Quran. Pada waktu-waktu beginilah dirasakan hubungannya dengan Tuhan semakin dekat. Beliau membaca pelbagai jenis buku dan majalah termasuk buku-buku agama. Kassim telah menulis satu risalah yang bertajuk Teori Sosial Moden Islam sehingga mencetuskan kegemparan di kalangan ahli partinya. Kassim telah dibidas secara terbuka oleh partinya melalui rencana pengarang Mimbar Sosialis, lidah rasmi partinya. Namun Kassim secara tegas mempertahankan risalah beliau itu.

Pada satu ketika Kassim telah ditumbuk oleh salah seorang tahanan di Kamunting kerana sesuatu sebab. Namun musuh politik beliau telah menyatakan di akhbar bahawa Kassim ditumbuk kerana perselisihan apabila membicarakan tentang teori Darwin. Kassim amat kesal dengan fitnah berkenaan dan mahu mengambil tindakan. Akibat kejadian tumbukan tersebut, tulang pipi beliau telah beralih sedikit sehingga menyukarkan beliau untuk makan. Beliau telah dimasukkan ke hospital untu dibedah.

Kassim dibebaskan menjelang Hari raya Aidilfitri tahun 1981. Ketika itu telah ada perubahan pucuk pimpinan kerajaan. Beliau puas hati kerana dibebaskan tanpa syarat dan tanpa perlu membuat apa-apa 'pengakuan' di televisyen!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...