Sabtu, 20 Mac 2021

KOLEKSI TERPILIH SASTERAWAN NEGARA KERIS MAS


Koleksi Terpilih Sasterwasan Negara Keris Mas menghimpun karya-karya terbaik beliau dalam tiga genre iaitu cerpen, fragmen novel dan esei. Keris Mas atau Kamaluddin bin Muhammad merupakan penerima pertama Anugerah Sastera Negara pada tahun 1981. Walaupun pada peringkat awal pengajiannya beliau belajar dalam bidang agama, namun kerana peperangan dan keadaan semasa Tanah Melayu ketika itu telah mengubah haluan kerjaya beliau.

Koleksi ini memuatkan beberapa karya beliau yang dihasilkan sebelum merdeka lagi. Cerpen pertama di dalam antologi ini, Wasiat Orang Bangsawan juga merupakan cerpen pertama beliau yang telah tersiar di majalah Suluh Malaya keluaran 1 Jun 1946. Selain itu turut termuat fragmen novel pertama Keris Mas yang bertajuk Pahlawan Rimba Malaya. Menyebut tentang novel ini, dalam bahagian esei buku ini telah termuat sebuah petikan bertajuk Permulaan Tragik yang dipetik daripada '30 tahun Sekitar Sastera: Memoir Keris Mas', yang menceritakan sedikit sebanyak tentang pembikinan novel Pahlawan Rimba Malaya. Novel berkenaan asalnya ditulis sebanyak 150 halaman namun akhirnya tinggal 59 halaman sahaja. Pelbagai sebab yang menyebabkan novel berkenaan menjadi pendek seolah-olah satu sinopsis atau tinggal patinya sahaja. Antaranya ialah alasan penerbit bahawa mereka kekurangan kertas. Ketika itu negara baru sahaja terlepas daripada cengkaman Jepun dan sememangnya peralatan untuk mencetak, kertas serta dakwat mengalami kekangan ketika itu. Novel berkenaan asalnya mahu diterbitkan di Singapura tetapi tiada syarikat yang sanggup disebabkan kekangan yang disebukan tadi. Akhirnya ia dibawa pula ke Kota Bharu. Walaupun pada asalnya ia nampak seperti berjalan lancar tetapi penerbitan di sana juga mengalami masalah yang hampir serupa. Selain itu Keris Mas turut dinasihatkan oleh seorang sahabatnya yang rapat dengan pihak berkuasa agar memotong bahagian novel berkenaan yang mengandungi kisah tentang perjuangan yang memberansangkan semangat politik anti penjajahan. Selepas daripada nasihat kawan berkenaanlah tiba-tiba pihak pencetak mengatakan bahawa mereka kekurangan kertas. Agak malang kerana manuskrip asal novel berkenaan telah hilang daripada simpanan Keris Mas. Jika tidak pastinya penerbit hari ini boleh mengulang cetak versi penuh novel berkenaan. Novel pahlawan Rimba Malaya hari ini telah dicetak bersekali dengan novel Korban Kesuciannya dalam Edisi Malaysia Membaca dan dijual dengan harga yang cukup murah iaitu RM10 sahaja.

Cerpen-cerpen lain yang terkandung di dalam buku ini ialah; Kejadian Di Dalam Estet, Pemimpin Kecil Dari Kuala Semantan, Menjelang Merdeka, Mereka Tidak Mengerti, Runtuh, Salah Pimpin, Kedai Sederet Di Kampung kami, Hallucination dan Ekor Kepala. manakala fragmen novel pula selain Pahlawan Rimba Malaya ialah Korban Kesuciannya, Anak Titiwangsa, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dan Rimba Harapan. Terdapat 11 esei di dalam kumpulan ini yang kebanyakannya membicarakan tentang bahasa dan kesusasteraan Melayu.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...