Ahad, 18 April 2021

AL-AMIN - A. Samad Said

 


Sepertimana Panrita, hamba juga agak kelelahan membaca Al-Amin, sebuah puisi panjang oleh Sasterawan Negara, A. Samad said mengenai riwayat hidup Rasulullah S.A.W. Bahkan hamba terlebih dahulu membaca naskhah ini, berhenti di pertengahan jalan bagi membaca Panrita, sebelum menyambungnya semula. Mungkin juga kerana hamba tidak pernah membaca puisi yang sebegini panjang maka kelelahan itu terasa dan tidak begitu khusyuk membacanya. Namun perlahan-lahan hamba teruskan juga membacanya walaupun tempoh membacanya melebihi 3 minggu.

Hamba akui tidak mudah untuk menulis keseluruhan hidup Baginda dalam sebuah puisi panjang. Ini kerana dalam penulisan puisi, untuk memilih kata-kata puitis, tulisan puisi berkenaan bisa sahaja menjadi lebih panjang daripada tulisan kisah hidup sebenar. Dengan bahasa yang penuh puitis, kiasan, hyperbola dan sebagainya, pembaca boleh sahaja membacanya dengan pengertian yang berbeza dengan hasrat yang dimaksudkan pengarang. 

Buku ini dimulai dengan bab Menuju Ke Arah Puisi Al-Amin, pengisahan liku-liku penghasilan puisi ini oleh SN Pak Samad. Bab  ini amat menarik untuk dibaca. Al-Amin dihasilkan oleh Pak Samad dalam usianya meniti 60an. Beliau berasa perlunya beliau meninggalkan sesuatu sebagai tanda cintanya kepada Nabi. Satu perkara besar yang hamba dapat tangkap dalam penulisan ini ialah kekesalan Pak Samad kerana tidak menguasai bahasa Arab. Dengan kekurangan kemahiran itu Pak Samad lebih banyak menjadikan buku-buku di dalam bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahan rujukan. Perkara itu dapat hamba rasakan sepanjang membaca puisi panjang ini kerana hamba merasakan banyak penulisan tentang Nabi lebih tepat berada dalam kitab-kitab Arab seperti kitab sirah Ibn Ishaq dan Raheeq al-Makhtum. Kitab-kita berkenaan hari ini telah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu, tetapi ketika Pak Samad menulis buku ini pada pertengahan 90an, ia belum kedapatan lagi dalam bahasa Melayu. Kalau adapun ia adalah terjemahan Indonesia atau bahasa Inggeris. Jadi hamba menyeru kepada para pembaca agar cuba untuk mempelajari bahasa Arab walaupun tidak dapat menguasainya dengan baik. sekurang-kurangnya ia akan membantu pemahaman terhadap ayat-ayat bacaan dalm solat atau doa-doa harian.

Hamba tidak layak untuk mengulas akan mutu puisi Pak Samad ini dan hamba sendiri terasa sukar untuk melakukannya, lantaran terlalu panjangnya puisi ini. Walau apapun, sekurang-kurangnya Pak Samad ada melakukan sesuatu sebagai tanda cintanya kepada Nabi, sesuai dengan dirinya sebagai seorang sasterawan. Ia sekaligus membuatkan hamba terfikir, hamba sebagai kakitangan kerajaan, apa yang dah hamba lakukan dan tinggalkan sebagai tanda cinta kepada Nabi!


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...