Ahad, 25 April 2021

KARTINI MEMORI


 

Apabila penerbitnya membuka pra tempahan untuk naskhah ini, hamba tidak berlengah untuk terus menempahnya. Edisi pra tempahan untuk pakej berharga RM100 mengandungi sebuah buku kulit keras Kartini Memori, kotak khas berhias watak Yon dan Kartini, sehelai t'shirt Kartini, sekeping poster bersaiz A3, empat keping poskad, poster bersaiz A4, sekeping warkah penerbit dan sekeping sijil penghargaan yang mengandungi nombor siri pembelian. Apa yang saya tahu pakej yang mengandungi nombor siri ini telahpun habis. Apa yang dijual kini hanyalah set kotak biasa tanpa mengandungi nombor siri.

Pada awalnya saya menjangkakan edisi khas ini akan menampilkan komik penamat Kartini. Namun ternyata Kartini tiada penamatnya. Penamat Kartini telah dibawa pergi bersama perginya Almarhum Tembakau. Mereka yang mengikuti rapat perkembangan dunia kartun tanah air, pastinya kenal dengan Tembakau, dan apabila berbicara tentang Tembakau kita tidak akan dapat lari daripada membicarakan tentang Kartini. Walaupun Allahyarham Tembakau ada melukis cerita lain, tetapi Kartini telah membayangi kisah-kisah lain. 

Tiada siapa yang tahu siapakah Kartini. Dalam catatan temuramah dengan Tembakau sendiripun, beliau hanya memberikan jawapan yang masih lagi menimbulkan persoalan. Saya yakin bahawa watak Kartini bukanlah isteri beliau walaupun wajahnya menjadi isnpirasi penghias muka hadapan komik Kartini Kembali. Ini kerana pertemuan pertama mereka berlaku selepas karya Kartini mula dikenali. Temubual dengan kartunis Ujang dalam penghujung naskhah ini menjelaskan tentang galakan Ujang kepada Tembakau agar melukis kisah tentang awek yang tidak melayan beliau. Ujang memberikan kebebasan kepada Tembakau untuk merangka sendiri kisah Kartini. Jadi kita boleh katakan bahawa watak Kartini itu benar-benar didasarkan kepada seseorang tetapi dalam komik ini ia menggunakan nama rekaan. Walau apapun rahsia siapakah Kartini hanya Tembakau dan Allah jualah yang mengetahuinya.

Sebelum naskhah Tembakau ini kita baca di dalam majalah Lanun, Tembakau telahpun melukisnya sebelum itu dan menunjukkannya kepada kartunis Aman. Draf pertama berkenaan telahpun di'reject' oleh beliau. Dalam kompilasi ini draf tersebut telah disiarkan buat pertama kalinya dan agak mengejutkan saya kerana stroke lukisan beliau yang ketara bezanya. Maksud saya bukanlah lukisan beliau itu tidak cantik. Lukisan beliau berkenaan amat cantik dan amat kemas sekali. Walaupun nampak amatur, tetapi ia telahpun mempunyai ciri-ciri sebuah komik yang menarik. Apabila Kartini muncul di Lanun, lukisan Tembakau lebih ganas dan kasar, memang ketara betul perbezaan gaya lukisan beliau dengan draf yang ditolak itu.

Membaca semula Kartini, kali ini hamba bukan sahaja mengulang baca kisahnya, tetapi kali ini hamba ambil sedikit masa untuk melihat gaya lukisan beliau - lorekan, perspektif, memek muka. Dan kalau anda prihatin, anda akan dapat melihat perbezaan antara gaya lukisan Kartini dengan Kartini Kembali. Bukan sahaja berbeza dari aspek lakaran, Kartini Kembali lebih sarat dengan falsafah yang disampaikan dengan santai dan jenaka. Bahkan watak kartini hanya tampil sebagai penghias petak lukisan tanpa ada dialog yang melibatkannya. Membaca Kartini Kembali kita tahu kisah ini belum lagi tamat. Tetapi kita maklum, Allah lebih menyayangi almarhum. Kartini ditinggalkan tanpa noktah.

Kartini mungkin berjaya menarik perhatian khalayak kerana kisah ini adalah kisah biasa dalam masyarakat. ia adalah kisah kenakalan budak sekolah yang disulami jiwanya dengan rasa jiwang. Hamba suka melihat Tembakau melukis gambar suasana sekolahnya yang banyak digambarkan melalui pemandangan yang berbeza. Helaian mukasurat pertama Kartini yang memaparkan aerial view sekolah sudah cukup untuk membangkitkan rasa teruja. Bagi hamba, mungkin hamba tertarik dengan Kartini kerana ia memaparkan kisah budak sekolah agama yang sama seperti hamba.

Koleksi berharga ini turut menampilkan temubual khas dengan isteri almarhum Tembakau, Puan Nuraznie. Ia akan sedikit sebanyak menjawab pertanyaan sebilangan pembaca samaa ada Kartini dinspirasikan daripada beliau. Paling ekslusif adalah lampiran asal beberapa surat cinta daripada Tembakau kepada Aznie. Surat-surat dalam tulisan tangan ini ditulis dengan rasa yang ikhlas dan seperti membaca sebuah esei. Seperti kata Nayan, almarhum ini banyak membaca, jadi kerana itu tulisan surat cinta beliau malah kisah Kartini ini sendiri menampakkan daya pengetahuan almarhum yang hanya ada pada mereka yang banyak membaca.

Almarhum pernah mengusahakan skrip movie Kartini. Semasa hayatnya, pengarah sudahpun ada dan bayangan pelakon pun sudah diberi. Mungkinkah penamatnya ada dalam skrip ini. Hanya apabila filem ini dapat direalisasikan, barulah kita akan mengetahuinya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...