Selasa, 13 April 2021

PANRITA - Arena Wati


 

Panrita ini terasa seperti karya yang berat untuk hamba membacanya. Hamba ambil masa lebih tiga minggu untuk menyudahkannya. Ia bukan masalah ketebalan tetapi gaya penulisan sebegini kurang menarik minat hamba. 

Panrita adalah dari perkataan Bugis yang bermaksud cerdik pandai. Novel ini adalah kisah pengembaraan seseorang yang berada di dalam koma. ia diwakili oleh watak-watak OMBA - orang model baru (Tun Khamis), Tamara, Tisna dan Witri. Kesemuanya koma di alam dunia dan kini berada dalam pengembaraan di kanta keempat. Di kanta keempat, pada mulanya hanya ditumpukan dengan pengembaraan OMBA mencari anggota tubuh yang sesuai untuk dirinya dengan bimbingan Sukma sebelum diambil alih kemudiannya oleh Panrita. Pengembaraan OMBA mencari anggota tubuh baru turut menemukan beliau dengan watak-watak daripada lagenda Greek dan Yunani kuno termasuk Shih Huang Ti pembina tembok besar.

Pengembaraan seterusnya itulah menemukan OMBA dengan lain-lain watak. Panrita seolah-olah mentor di alam ini yang sedang cuba membersihkan diri mereka ini. Sementara itu di alam dunia penumpuan diberikan kepada watak Sumarti, isteri kedua OMBA yang setia menjaga beliau di rumah sakit Tanah Suci Makkah. Turut diperlihatkan kecurangan isteri pertama OMBA yang akhirnya mati kerana AIDS.

Dalam perjalanan mereka di alam kanta keempat, dunia bergelora dan punah ranah akibat tangan-tangan manusia. Ledakan-ledakan nuklear memusnahkan 4/5 penduduk bumi, memusnahkan alam serta mengubah total akan kedudukan muka bumi. Kemusnahan alam dan penduduknya memerlukan manusia baru untuk mentadbirnya kembali. Maka OMBA, Tamara, Tisna dan Witri dan kemudiannya akan disertai oleh Sumarti bakal memimpin dunia.


Nota : Buku ini dipinjam dari perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...