Khamis, 17 Jun 2021

100 KARTUNIS DAN PELUKIS KOMIK MALAYSIA - Rossem & Rudi Mahmod


 

Buku ini menyenaraikan seramai 100 orang kartunis dan pelukis komik Malaysia bermula seawal era 1930an hinggalah kini. Kita tahu bahawa jumlah mereka adalah lebih daripada angka ini. Tetapi sepertimana yang dicoretkan penyusunnya, keterbatasan ruang menyebabkan ia hanya dihadkan kepada 100 orang sahaja. Buku ini dimulakan dengan gambar-gambar sekitar majlis perasmian Balai Kartun Rossem, seorang bekas polis dan kartunis tersohor yang juga merupakan salah seorang penyelenggara buku ini. Prof. dr Muliyadi Mahamood telah memberikan ulasan beliau mengenai kewujudan balai ini. Melihat daripada gambar dan keterangan yang ada di dalam buku ini, hamba menyanjung tinggi atas usaha Pak Rossem yang mewujudkan galeri ini dengan menggunakan dana dan tapak sendiri. Hamba percaya tentunya koleksi Pak Rossem amat banyak dan berharga sekali memandangkan buat masa ini tiada lagi tempat seperti Balai Kartun Rossem yang menyimpan sejarah dan khazanah kartun tanah air kecuali Rumah Kartun Dan Komik Malaysia yang terletakj di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Satu kertas kerja oleh saudara Rudi Mahmood yang bertajuk Kartun & Komik : Cerminan Budaya Bangsa Yang Harus Dipertahankan yang mengandungi sedikit sebanyak sejarah kartun dan kartunis tanah air adalah amat baik sekali. Kertas kerja ini bagi hamba boleh dikembangkan lagi hingga menjadi sebuah buku yang komprehensif. Tidak banyak kajian yang pernah dilakukan mengenai kartun tanahair. Yang selalu kelihatan pada mata hamba hanyalah tulisan-tulisan Prof. Dr. Muliyadi sama ada di Gila-Gila atau dalam buku=buku beliau. Hamba percaya ada lagi tulisan seperti yang hamba maksudkan tetapi ia tidak didedahkan kepada umum.

Corak penyediaan senarai 100 orang kartunis ini amatlah ringkas sekali. ia memaparkan nama, sedikit peribadi kartunis dan sekeping dua karya mereka. Ada juga personaliti yang hanya disebutkan keterangan ringkas mereka tetapi tidak diiringi dengan gambar serta karya mereka. Hamba tidak puas membaca buku ini. Keterangan para kartunis terlalu ringkas. Contoh karya kartunis juga amat kecil dan memerlukan kanta pembesar untuk dapat dibaca tulisannya. Justeru hamba berharap agar buku ini boleh manejadi asas untuk penyediaan sebuah biografi kartunis yang lebih komprehensif lagi. Beberapa buku dengan tajuk yang khusus juga boleh ditulis contohnya kartunis dan karya mereka sebelum merdeka, sumbangan kartunis Kelantan dalam industri kartun tanaha air (kerana dalam senarai 100 orang ini ramai benar kartunis Kelantan nampaknya) dan lain-lain lagi. satu kelebihan buku ini ia tampil dalam warna serta susunan dan rekaletak yang kemas. namun sedikit sebanyak kesalahan typo serta ayat yang tergantung boleh dikesan di beberapa tempat.

Hamba harap dua orang kartunis yang telah mempunyai PhD seperti Leen Mafia dan Jon Suraya dapat menyahut cabaran untuk melahirkan buku sebegini!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...