Selasa, 8 Jun 2021

AHLI ALKIMIA - Paulo Coelho


 

Hamba mungkin tidak akan membaca naskhah ini jika tidak membaca sebuah ulasan di FB mengenainya. Sekiranya dilihat pada tajuk, ia lansung tidak menarik perhatian hamba. Namun ulasan yang hamba baca itu membawa kepada pembelian novel ini yang dikatakan laris di peringkat antarabangsa. Dr Maszlee Malik tidak mungkin memberikan kata pengantar novel ini jika ia sekadar novel biasa-biasa sahaja. 

Novel ini adalah berkenaan pengembaraan Santiago dari Andalusia yang berkelana sehingga ke Piramid di Mesir kerana mahu mencari harta karun. Harta berkenaan pula adalah mimpi yang dilihatnya sebanyak dua kali. Pertemuan dengan sorang wanita peramal Gipsi dan seorang lelaki tua yang mengaku sebagai Raja Salem telah menguatkan keazaman Santiago untuk mengembara.

Jika diteliti, novel ini bukan sekadar hiburan buat pembaca. Pengarang cuba menyampaikan sesuatu melalui kisah pengembaraan Santiago. Pengalaman yang diperolehi oleh Santiago dalam perjalannya itu amatlah berharga dan tidak dapat dibeli di mana-mana. Santiago menyeberangi selat Gibraltar dan mendarat di Tangier dan mendapat nasib yang malang pada hari pertama ketibaannya. Wangnya dengan mudah sahaja ditipu. Seorang lelaki yang memegang wang Santiago kononnya untuk membeli unta bagi perjalanan beliau telah menghilangkan diri tatkala Santiago leka melihat kecantikan sebilah pedang. Kejadian ini mengajar kita agar tidak mudah dilekakan oleh sesuatu keindahan yang bukan milik kita sehingga apa yang kita ada hilang begitu sahaja. Ia juga mengajar kita agar tidak mudah sewenangnya percaya dengan orang yang baru dikenali.

Kisah santiago dengan seorang penjual kristal selepas itu mempunyai banyak pengajaran yang tersirat. Santiago boleh sahaja pulang ke Andalusia apabila ditawarkan biaya untuk pulang semula ke kampung halamannya. Jaraknya bukanlah terlalu jauh, cuma dua jam perjalanan menaiki kapal. Dia boleh menjadi pengembala semula, satu pekerjaan yang menjadi kepakaran beliau. Tetapi ia hanya akan menyebabkan impiannya melihat dunia terkubur. Santiago bekerja dengan peniaga kristal yang perniagaanya tidak berapa maju itu. Kisah dengan penjual kristal ini tiba-tiba mengingatkan hamba kepada kisah kejatuhan Nokia. Nokia lingkup kerana keengganannya untuk berubah. Dalam hal ini Santiago telah memberikan keuntungan kepada sang peniaga pada hari pertama lagi hanya dengan mengelap kristal yang ada di ruang kaca hadapan kedai. Beliau kemudiannya mengusulkan agar dibuat satu rak khas di luar kedai yang pada awalnya diragui oleh sang peniaga. Ternyata idea berkeaan memberikan keuntungan yang lebih baik. Idea terakhir beliau adalah untuki peniaga berkenaan membuka sebuah kedai minuman teh yang dihidangkan dengan gelas kristal. Ternyata idea berkenaan telah mendatangkan keuntungan buat peniaga berkenaan. Pelanggan yang penat mendaki bukit akan mencari kedai minuman dan gelas yang digunakan adalah promosi tidak lansung terhadap barangan kristal. Hanya dalam masa sebelas bukan tinggal di situ, Santiago telah membawa idea perubahan terhadap pemikiran sang peniaga.

Selepas ini pembaca akan mengikuti pengembaraan panjang Santiago ke Mesir yang di dalamnya Santiago akan bertemu ramai orang seperti lelaki Inggeris yang meminati kimia, ketua kafilah, pemimpin dan orang-orang di sebuah wahah (oasis) yang juga menemukan beliau dengan seorang gadis bernama Fatima dan seorang ahli kimia. Santiago juga menghadapi detik cemas berhadapan dengan kumpulan kabilah yang sedang berperang serta sekumpulan manusia yang mencuri emasnya sewaktu telah tiba di kawasan piramid. Kisah-kisah yang berlaku dalam episod-episod ini bukan sekadar kisah tetapi ada sesuatu yang cuba dibawa oleh pengarangnya. Santiago tidak menemui sebarang harta di situ tetapi pencuri yang mencuri emas Santiagolah yang memberikan bayangan di mana harta itu sebenarnya berada. Keadaan awal santiago dan pencuri itu hampir sama sahaja. Bezanya Santiago mengikuti petanda-petanda daripada mimpinya sedangkan pencuri itu membiarkan sahaja mimpinya. Anda mungkin tidak menduga di mana akhirnya harta itu berada.

Paulo Coelho adalah orang Brazil. Tetapi beliau menulis kisah yang latarnya berada di bumi Andalus, Maghribi dan Mesir. Beliau juga hamba lihat mempunyai pengetahuan yang baik tentang Islam apabila berkisah mengenai rukun Islam melalui dialog peniaga kristal. Novel ini adalah bacaan yang baik untuk minda serta mereka yang mahu berfikir.

Kalau tak mahu berfikir anda tak perlu baca apa-apa!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...