Rabu, 2 Jun 2021

ANUGERAH - Zaharah Nawawi


 

Lelah hamba hendak menghabiskan novel ini. Ia setebal 1351 mukasurat, seolah-olah membaca enam ke tujuh buah novel. Ia begitu banyak memakan masa saya sehinggakan hamba terfikir bilakah saya hamba dapat membaca buku-buku hamba yang lain yang melambak-lambak di rumah dan di pejabat itu. Rasanya lebih tiga minggu juga hamba ambil masa nak mengkhatamkannya. Masa yang lebih pendek mungkin boleh dicapai sekiranya hamba tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Tetapi dengan kerja di pejabat, kerja di rumah, masa untuk bersenam dan melakukan kerja-kerja lain menyebabkan masa untuk menudahkannya menjadi panjang. Lagi pula novel ini bagi hamba agak mendatar perjalannya, tiada sebarang unsur suspen yang boleh menyebabkan kita mahu segera menyudahkan bacaan.

Novel ini menjadi begitu panjang kerana latar masanya juga yang panjang. Ia bermula dari 11 Oktober 1945, sewaktu perjuangan membantah Malayan Union sehinggalah ke tarikh 31 Ogos 1957, hari kemerdekaan tanahair. Secara tepatnya novel ini adalah mengenai perjuangan UMNO yang asalnya lahir kerana membantah Malayan Union sehinggalah kepada perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Segala penceritaan mengenai kisah-kisah politik tanahair ini disampaikan melalui watak-watak dalam keluarga Hisham dan Ramlah yang berjiran dengan keluarga Zain dan Maryam.

Penceritaan pula lebih menonjolkan watak kaum wanita melalui Ramlah dan Maryam yang bergiat aktif dalam politik melalui Kaum Ibu UMNO. Segala peristiwa-peristiwa bersejarah ini lebih banyak dipaparkan melalui perbualan dan dialog watak-watak dalam cerita ini yang berlaku di rumah, perhimpunan politik atau di premis parti. Mungkin kerana itu novel ini hamba katakan agak mendatar kerana pengkisahan sejarah lebih banyak berlaku melalui dialog atau kita katakan pengkisahan melalui orang ketiga.

Oleh yang demikian segala konflik dan permasalahan dalam novel ini lebih tertumpu kepada keluarga Ramlah dan Hisham berbanding dengan peristiwa bersejarah itu sendiri. konflik dan permasalahan dalam perjuangan orang Melayu, terutamamya dalam UMNO banyak disampaikan melalui perbualan watak-watak dalam novel ini. Justeru, kerana politik keluarga ini pernah tidak baik seketika dengan keluarga Zain dan Maryam. Kerana politik anak-anak mereka agak terabai sehingga anak sulung mereka - Razali terkorban kerana lemas di laut. Peristiwa ini juga membuatkan ayah Ramlah agak marah dan menyalahkan aktiviti politik Ramlah. Kerana politik Hisham menyangka Ramlah mempunyai hubungan dengan Aziz, salah seorang ahli UMNO yang berjiran dengan Dato' Onn memandangkan mereka sering menjalankan kerja parti di luar. Kerana politik juga Hisham merasakan dirinya terabai sehingga menjalinkan perhubungan dengan wanita lain. Konflik ini menjadikan hubungan suami isteri ini agak tegang namun dihadapi dengan baik oleh Ramlah yang lebih banyak bersabar. Melalui kisah konflik rumahtangga ini juga penulis menggambarkan keadaan berlakunya unsur fitnah, mengadu domba di kalangan ahli UMNO apabila kisah Ramlah seolah-olah dijaja dan ketahui ramai. Bahkan mereka mengira Ramlah telahpun mendapat madu.

Memandangkan kisah UMNO ini lebih daripada pandangan pejuang daripada kaum ibu UMNO, maka hamba boleh katakan kisah kaum ibu atau wanita lebih menonjol dengan pengkisahan sayap berkenaan yang menampilkan beberapa tokoh mereka seperti Ibu Zain, Khadijah Sidek dan Fatimah Hashim. Melalui novel ini juga kita dapat mengetahui akan sebab-sebab Khadijah Sidek dipecat daripada UMNO walaupun beliau merupakan seorang pemimpin yang baik. Hanya kerana beliau sedikit radikal dan memperjuangkan nasib kaum wanita denagn keras maka beliau tidak begitu digemari oleh pucuk pimpinan. Hamba dapat merumuskan UMNO ini sejak daripada penubuhannya lagi telah mempunyai masalah dalaman yang tidak dapat ditangani dengan baik. Membaca novel ini dapat kita ketahui bahawa tidak mudah untuk Dato' Onn menangani perangai ahli UMNO sewaktu di awal penubuhannya. Sehinggalah kemudiannya Dato' Onn  keluar UMNO apabila cadangan beliau untuk bekerjasama dengan orang bukan Melayu ditolak. Anehnya pemimpin setelah Dato' Onn telah menjalinkan kerjasama dengan bukan Melayu dan dapat diterima oleh ahli UMNO.

Hamba pernah terdengar dan terbaca di mana-mana bahawa kemerdekaan ini hanya diperjuangkan oleh orang Melayu dan tidak kaum lain. Dari sudut sejarah yang dipaparkan dalam novel ini hamba boleh bersetuju dengan pandangan tersebut. Semenjak orang Melayu bangkit menentang penjajah yang mahu mengadakan Malayan Union, hanya orang Melayu sahaja yang berjuang menentangnya. Sedangkan kaum lain menyokong gagasan berkenaan. Kaum lain hanya bersama-sama dengan perjuangan parti Melayu dalam ebebrapa tahun menjelang merdeka sahaja apabila British mahu melihat kaum-kaum yang ada di negara ini bersatu sebelum boleh diberikan kemerdekaan. Maknanya perjuangan kaum bukan Melayu bukanlah mutlak dan hanya bermula dipertengahan jalan yang sudah terlebih dahulu dimulakan oleh orang Melayu.

Novel ini cuba menyampaikan laluan sejarah perjuangan orang Melayu untuk merdeka dengan agak terperinci sehingga pembaca mampu mengikuti kronologinya dengan baik. Ia memberikan pengajaran betapa banyaknya rakyat yang ikhlas dalam perjuangan walaupun bakti mereka itu tidak dihargai. Orang Melayu era berkenaan memberikan tenaga dan harta mereka untuk perjuangan mencapai kemerdekaan. Pastinya mereka ingin melihat sebuah negara Malaya yang merdeka diterajui sendiri oleh anak bangsanya yang jujur dan berpekerti mulia.


Nota : Novel ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...