Isnin, 14 Jun 2021

LOCKDOWN (edisi kulit keras) - Naim Tamdjis


 

LOCKDOWN sebelum ini pernah terbit dalam versi e-book. Kali ini ia tampil dalam bentuk edisi terhad kulit keras yang memuatkan tiga buah cerita iaitu Tok Moh, Wangi dan Lockdown. Tok Moh merupakan sebuah kisah baharu manakala Wangi dan Lockdown telah pernah terbit dalam bentuk e-book.

Tok Moh - Secara ringkasnya Tok Moh adalah kisah seorang datuk yang cuba mengambil kesempatan daripada kesusahan yang sedang dialami oleh cucunya untuk mewariskan segala ilmu perbomohan beliau yang lebih kepada ilmu-ilmu khurafat. Cucu beliau, Zarul amat mudah dipancing dengan kemewahan wang ringgit. Melihat kepada banyaknya wang ringgit yang boleh disediakan oleh datuknya membuatkan Zarul bersetuju untuk mewarisi ilmu-ilmu berkenaan. Tambahan pula datuk beliau ini telah 'menjerat' Zarul bahawa hutang Zarul dengan ah long hanya akn diselesaikan oleh datuknya hanya sekiranya beliau bersedia untuk menerima segala ilmu tersebut. Walaupun tidak berminat dengan unsur perbomohan, tetapi kerana ada unsur wang ringgit maka akhirnya Zarul akur.

Pembaca akan dibawa oleh penulis untuk mengikuti serba sedikit proses pemindahan ilmu ini seperti penghafalan mantera, ritual yang perlu dilakukan di beberapa tempat seperti kubur dan lubuk air, ritual untuk mendapatkan ilmu ghaib dan kebal dan sebagainya. Kesungguhan datuk Zarul untuk segera mewariskan ilmu beliau boleh diteka kerana perkara sebegini terjadi apabila si pengamalnya merasakan bahawa ajalnya hampir tiba. Zarul yang masih belum selesai menjalani semua ritual telah mula seronok membelanjakan duitnya yang banyak dengan membeli kenderaan mahal, tinggal dan makan di hotel dan restoran mewah. Adakah Zarul akan berjaya menghabiskan semua ritual tersebut dan berjaya mendapatkan apa yang beliau idamkan? Anda perlu membacanya sendiri.

Satu perkara yang hamba perhatikan dalam beberapa tulisan Naim adalah mengenai penggunaan perkataan bonceng. Hamba rasa penulis telah terkhilaf dalam penggunaan perkataan ini. Bonceng bermaksud orang yang turut serta makan atau menumpang. Sekiranya melibatkan penggunaan motosikal, ia bermaksud penumpang. Namun dalam tulisan Naim, ia bermaksud penunggang motor. Penunggang motor kekal menggunakan ayat penunggang. Orang yang berada di belakangnyalah merupakan pembonceng.


Wangi - Wangi adalah kisah seorang pemuda bernama Alias yang 'bercinta' dengan hantu yang tinggal di sebelah rumahnya. Walaupun rumah yang terletak di sebelah rumah sewa Alias itu semak tidak berjaga, sentiasa dalam keadaan gelap gelita, Alias masih 'bersangka baik' bahawa ada seorang gadis yang tinggal di sana. Paling best Alias boleh bawa hantu ini peri makan dan menonton wayang di AEON, cerita hantu pula tu. Tapi itulah yang menariknya, apabila hantu menonton cerita hantu ia tidak jadi sesuatu yang menakutkan buat hantu tetapi sesuatu yang menggelikan hati hantu itu sendiri. Dan tatkala orang lain seriau ketakutan, hantu ini pula akan mengilai, sekaligus memberi 'tambahan'  sound effect pawagam. Hantu ini boleh dikira ganas apabila dilihat berdendam dan segera memberikan pembalasan kepada sesiapa yang tidak beliau berkenan.

Alias tanpa sedar telah memberikan janji beliau untuk menjaga hantu bernama Wangi ini sampai bila-bila. Wangi perlu menghisap darah Alias selama tujuh malam berturut-turut untuk kelestariannya. Hanya sempat selama tiga malam sahaja darah Alias dihisap apabila boss beliau menyedari sesuatu berlaku terhadap anak buahnya. Hamba agak berpuas hati dengan perjalanan cerita ini tetapi hamba rasakan proses memusnahkan Wangi ini seperti mendadak sahaja habisnya. Hamba percaya jika digoreng sedikit lagi ia akan jadi lebih menarik.


Lockdown - Naskhah Lockdown telah pernah hamba ulas sebelum ini dan pembaca boleh melihatnya di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...