Sabtu, 19 Jun 2021

PSIKOPAT NIRWAJAH - Osman Deen


 

Sekiranya anda seorang peminat novel-novel berunsur saiko dan thriller, sila berikan perhatian kepada novel dan penulisnya!

Paparan kulit muka novel ini sebenarnya tidak menarik lansung. Hanya satu lukisan ringkas tanpa menggunakan banyak warna. Tapi awas, isinya mungkin mengejutkan anda. Sepertimana tajuknya, novel ini memang benar-benar saiko! Biasanya dalam novel saiko yang hamba baca, hanya satu watak sebegini yang ditampilkan. Tetapi Osman Deen melalui novel ini telah menampilkan dua watak saiko - dan mereka bukanlah lelaki!

Beberapa siri pembunuhan telah dilakukan oleh seorang yang menggelarkan dirinya sebagai Langsuir. Mangsa pembunuhan telah disiat kulit wajah mereka dan akan ditinggalkan di satu tempat yang mudah ditemui. Mayat mangsa yang ditinggalkan akan ditaburi dengan bunga melati. Langsuir menganggap perbuatannya itu sebagai satu kerja seni. Kulit wajah mangsa akan dibingkaikan dan menjadi hiasan bilik tidurnya. Tetapi Osman Deen terlalu cepat membuka identiti Langsuir kepada pembaca. Dan hamba percaya pembaca akan terperanjat apabila mengetahui akan identiti sebenar Langsuir memandangkan beliau digambarkan sebagai seorang yang lembut dan mempunyai karier yang baik. 

Tetapi pendedahan awal ini sama sekali tidak menurunkan mood pembacaan kerana kita akan lebih thrill melihat tingkahlaku langsuir yang berada begitu hampir dengan pemburunya. Dalam masa yang sama muncul pula seorang lagi pembunuh yang menggelarkan dirinya sebagai Bayan. Bayan tidak kurang juga saikonya. Mangsa Bayan akan hilang beberapa anggota atau organ tubuh. Malah Bayan kelihatan lebih mistik berbanding Langsuir. Langsuir merasakan dirinya tercabar kerana kisah Bayan seakan menenggelamkan kisah pembunuhan yang dilakukan oleh beliau. Identiti Bayan kekal terpelihara sehinggalah terbongkar di akhir cerita - dan ia sekali lagi akan mengejutkan pembaca. Amat menarik apabila Langsuir akhirnya bertemu Bayan dan berlaku pertarungan di antara mereka. Langsuir tentunya amat terperanjat apabila mengetahui identiti Bayan - seorang yang begitu hampir dengan beliau.

Kejadian-kejadian pembunuhan ini berkait dengan kisah silam enam orang kanak-kanak yang mempunyai latar belakang serta kisah hidup yang berbeza. Langsuir merupakan salah seorang daripada mereka. Paparan silam hidup Langsuir membolehkan kita mengerti mengapa beliau boleh menjadi begitu kejam.

Awalnya pembaca sendiri sukar untuk mengerti akan kaitan enam orang sahabat ini dengan segala kejadian yang berlaku. Osman menyusun plot ceritanya dengan baik seklai. Kisah latar masa sekarang dengan latar masa lalu/imbas kembali disusun tanpa mencacatkan penceritaan. Ia sedikit demi sedikit menyingkap apa yang berlaku sejurus memberikan pemahaman kepada pembaca. Banyak unsur kejutan di dalam novel ini. Segala kaitan dibuat dengan baik dan menimbulkan unsur lojik.

Walaupun novel ini ada kesudahannya, hamba merasakan kisah Bayan masih belum berakhir. Tinggal seorang lagi mangsa yang belum dibunuh kerana berada di luar negara. Bahkan keadaan Bayan juga dilihat misteri kerana beberapa 'keajaiban' yang dipaparkan. Contohnya semua polis yang berjaya dipengsankan oleh Bayan telah hilang appndiks mereka! Bayan berkebolehan berlari dengan laju tanpa lelah, melompat dari satu bangunan ke bangunan yang lain, menghilangkan diri di sebalik selimut bayang dan mencipta ilusi masa lalu. Tidak diketahui sama ada apa yang dilakukan oleh Bayan bersifat sihir atau teknologi. Seorang lelaki yang menyelamatkan Bayan semasa kecil juga kekal misteri.

Osman Deen, sila akhiri misteri ini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...