Sabtu, 17 Julai 2021

BAYANGAN - Murni Aqila


 

Gambar kulit mukanya sudah membayangkan ia adalah sebuah novel seram. Satu imej lembaga berkelubung yang gelap, dalam ruang letak kereta bawah tanah yang kelam dan suram seolah menarik diri untuk meneroka dengan lebih lanjut isi kandungan novel ini. Namun menelusurinya dari satu muka ke satu muka, keseraman novel ini tidaklah mencapai ke tahap yang maksimum. Ia belum lagi boleh menandingi keseraman tulisan Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah yang jika membacanya di tengah malam boleh menimbulkan rasa takut untuk ke bilik air!

Tetapi nanti dulu! Tidak berapa seram bukan bermakna novel ini tidak menarik. Penulisnya, Murni Aqila bukanlah satu nama baharu dalam dunia penulisan. Beliau telah menghasilkan banyak novel termasuk satu yang mempunyai unsur seram bertajuk Jampi. Justeru, novel ini sebenarnya boleh membuatkan anda terus duduk untuk menghabiskan bacaan sehingga tamat.

Secara ringkasnya novel ini mengutarakan watak utamanya yang bernama Nizam, seorang pengidap bipolar. Merasakan dirinya telah sihat, Nizam memohon keizinan ibunya, Fauziah untuk bekerja di Kuala Lumpur, di tempat sepupunya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Walaupun berat untuk membenarkan, Fauziah akhirnya melepaskan juga anak lelaki kesayangannya itu. Nizam sebenarnya mempunyai misinya yang tersendiri. Beliau bukan sahaja mahu bekerja mengumpulkan wang, tetapi juga mahu mencari adiknya Hajar yang telah diambil oleh sebuah keluarga menjadi anak angkat 17 tahun yang lalu. Sejak diambil oleh keluarga angkat, hanya sekali mereka berkesempatan untuk bertemu beliau. Selepas itu tiada lagi berita tentang Hajar yang sampai kepada mereka. Sebaik berada di Kuala Lumpur, bermulalah beberapa episod misteri yang menghantui Nizam. Beliau kerap diganggu oleh satu bayangan hitam. Walaupun sekadar ‘bayangan’, namun Nizam diperlakukan dengan ganas sekali. Badannya dipeluk erat, mulutnya ditekup, lehernya dicekik sehingga terasa seperti sakarat, tubuhnya dipukul, wajahnya ditampar-tampar dengan kuat, rambutnya dicengkam dan pelbagai lagi penderaan. Siksaan-siksaan ini meninggalkan kesan hitam di tubuh beliau namun ia bukanlah satu kesan lebam. Perkara ini turut menimbulkan doktor, ibu dan sepupu Nizam.

Dalam masa yang sama, Nizam bertemu dengan seorang gadis di tempat beliau bertugas sebagai pengawal keselamatan bernama Hajar. Beberapa persamaan yang ada pada Hajar dengan adiknya menyebabkan Nizam merasakan itulah Hajar adiknya yang telah hilang. Tetapi beliau merasa agak pelik kerana Hajar seperti tidak ingat kepada dirinya. Justeru dua perkara besar yang akan mengheret pembaca untuk sama–sama menyelesaikan teka teki ini ialah apa sebenarnya yang telah mengganggu Nizam dan adakah Hajar ini adik Nizam yang sebenar. Bersama dua teka teki besar ini akan tiba kepada soalan bonus – apa sebenarnya yang terjadi kepada Hajar adik Nizam?

Semua plot disusun dengan baik dan tidak mengelirukan pembaca. Penulisannya tidak nampak terburu-buru seperti mahu segera menamatkan cerita. Segala persoalan yang berlegar di minda pembaca akan dijawab oleh penulis lewat tulisannya. Konflik-konflik yang berlaku ditangani oleh penulis dengan sebaiknya, termasuk konflik yang dihadapi oleh fauziah, ibu Nizam, di tempat kerja. Hamba rasa teruja pula apabila membaca babak Fauziah ‘membelasah’ rakan sekerjanya yang bermulut lancang sehingga menyebabkan beliau digantung kerja. Terasa bagai Fauziah sedang berada di gelanggang gusti!

Walaupun watak Nizam adalah merupakan seorang pengidap bipolar, tetapi sebenarnya dalam perjalanan kisah ini boleh hamba katakan bahawa Nizam lansung tidak berhadapan dengan penyakitnya sepanjang penceritaan. Cuma gangguan yang dialaminya itu sahajalah yang menyebabkan beliau berfikir bahawa penyakit beliau ini sedang melanda. Ia juga akan membawa pembaca berfikir sama ada Nizam ketika ini sedang berhalusinansi akibat penyakitnya itu atau dia benar-benar sedang menghadapi gangguan.

Kemuncak novel ini adalah kisah yang berlaku terhadap Hajar. Hamba tidak mahu menulisnya berlebihan memandangkan penulis sendiri di hujung novel telah meminta jasa baik pembaca untuk tidak memberikan sebarang spoiler. Cukuplah hamba coretkan bahawa Hajar telah mengalami penderitaan yang amat sangat, cukup sukar untuk dibayangkan apatah lagi untuk dilalui.

Walaupun bergenre seram, penulis sebenarnya mengheret emosi pembaca untuk sama-sama menyelami perasaan seorang pemuda yang mempunyai penyakit, seorang ibu yang cukup menderita akibat kehilangan anak perempuan serta anak lelaki yang mempunyai cabaran yang tersendiri. Ia adalah kisah penderitaan akibat kemiskinan sehingga terpaksa berpisah dengan orang tersayang. Ia adalah kisah getir kehidupan seorang yang berpendapatan rendah di tengah kota Kuala Lumpur dan ia juga adalah keteguhan ikatan keluarga di dalam menghadapi cabaran.

Seperti yang hamba katakan di awal tadi – anda tidak perlu gentar untuk ke bilk air apabila membaca novel ini!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...