Selasa, 13 Julai 2021

GADIS ROBOT DAN KOLEKSI KOMIK TERBAIK BEN WONG - BEN WONG


 

Tidak perlu ada keraguan untuk memilih karya pelukis ini sebahagai bahan bacaan. Dalam arena komik tempatan, nama Ben Wong adalah satu nama besar. Apatah lagi beliau pernah menjadi pemenang dalam International Manga Award anjuran Japan Faoundation sebanyak dua kali - dan beliau adalah satu-satunya komikus setakat ini yang pernah memenangi anugerah tersebut sebanyak dua kali! Justeru Ben Wong mempunyai kualiti yang tersendiri, bukan sahaja pada gaya lukisan tetapi termasuk juga jalan penceritaan. 

Tidak sepert antologi Komik-M yang lain, koleksi ini hanya menampilkan empat buah komik sahaja. Namun setiap komik merupakan sebuah persembahan yang panjang dan akan memuaskan hati pembaca. Empat buah komik berkenaan ialah;-

(Gadis Robot) Projek - K;

CR7- Ku Sayang;

Silat Boy; dan

K-Pow Girl (Uprising).

Kisah Gadis Robot dan K-Pow Girl adalah berkait antara satu sama lain. Namun ia masih boleh berdiri dengan sendiri sekiranya dibaca berasingan. Ia adalah sebuah kisah masa depan di mana seorang professor bernama Powell berusaha mencipta sebuah robot serba boleh. Kesibukannya membuatkan beliau sering mengabaikan masa rehat dan makan. Seorang gadis bernama Eun Hye amat mengambil berat akan lelaki ini dan sering menjaga makan minumnya. Pada hari professor hampir berjaya menyempurnakan robot rekaannya, 3 orang askar upahan telah menyerang sehingga menyebabkan Eun Hye cedera parah dan pofessor sendiri terbunuh. Dalam keadaan kalut itulah proses penyempurnaan robot berkenaan selesai dan ia telah berjaya mematahkan serangan musuh. Robot berkenaan yang mempunyai artificial intelligence telah berusaha untuk menyelamatkan Eun Hye sehingga akhirnya dia telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Eun Hye kini telah menjadi sebahagian manusia dan sebahagian mesin.Gaya persembahan kisah ini dan lukisannya amat memukau. Sekiranya tidak dinyatakan, kita tentunya tidak percaya bahawa kisah ini adalah karya anak Malaysia. 

CR7- Ku Sayang adalah kisah yang agak jiwang. Ben Wong menyatakan kisah ini merupakan kisah jiwang terakhir yang beliau hasilkan. Beliau merasakan dengan usia yang semakin meningkat adalah tidak sesuai lagi bagi beliau untuk menghasilkan karya sebegini. Dalam komik ini Ben Wong melukis watak seorang gadis Melayu yang cantik bertudung.

Silat Boy, seperti juga namanya adalah kisah seorang budak yang jaguh dalam persilatan namun menyembunyikan identitinya di sebalik sebuah topeng harimau. Macam biasa akan ada watak crook yang hasratnya mahu menghapuskan pengamal perguruan silat berkenaan. Hamba tidak perlu menulis panjang. Cukuplah hamba kalatakan bahawa setelah mebaca komik Silat Boy ini, hamba telah menempah terus tiga buah lagi siri komik berkenaan. Kisah ini telah berjaya memikat hati hamba untuk terus membaca sambungannya.

Melalui Komik-M, Ben Wong banyak melakarkan cerita mengenai orang Melayu. Sekiranya anda belum pernah membaca komik Atan, anda perlu mendapatkannya. Garapan Ben mengenai hubungan seorang budak kampung dan kerbaunya terasa begitu dekat dengan orang Melayu. Kisah CR7 dan Silat Boy juga adalah satu contoh Ben melukis tentang orang Melayu. Anak gadisnya dikenakan tudung dan ia kelihatan amat ayu sekali - apatah lagi penerbitan Komik-M amat menitik beratkan kesopanan serta mematuhi syariat.

Penerbitan di bawah Komik-M adalah amat sesuai untuk bacaan anak-anak kita kerana ia menggunakan Bahasa Melayu yang betul serta bebas daripada anasir yang boleh mengganggu minda anak-anak. Ia adalah hiburan masa lapang, penuh nasihat dan selamat daripada bahasa carutan dan kejian!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...