Selasa, 13 Julai 2021

KRIMINAL, CATATAN SEORANG WARTAWAN JENAYAH - Syahril A.Kadir


 

Sampai ke tengah malam semalam hamba nak menghabiskan juga bacaan naskhah ini. Sesuatu buku itu bila menarik hati hamba maka hamba gagahkan juga nak menyudahkannya. Kalau tak sedap hamba baca juga terutama pada waktu malam - cepat sikit datang rasa mengantuk nak tidur! 

Tajuknya sudah jelas memberitahu akan isinya. Apatah lagi nama wartawannya juga bukanlah satu nama yang asing pada yang minat membaca (yang rasa asing sebab anda tak membaca, tak minat nak mengenal penulis, alah senang cerita memang tak membacalah!). Dalam buku ini Syahril menghidangkan kepada kita beberapa pengalaman berharga beliau semasa bertugas sebagai wartawan jenayah, termasuk satu dua kisah popular sebelum beliau bergelar wartawan lagi seperti Botak Chin, penahanan tawanan Penjara Pudu dan banyak lagi. Hamba percaya tajuk-tajuk yang ada di dalam buku ini sesuatu yang kita pernah dengar dan mejadi tajuk yang besar satu ketika dahulu.

Namun demikian hamba agak sedikit hampa kerana Syahril menyampaikannya dengan secara ringkas sahaja - dan memangnya hasrat beliau sebegitu. Jikalau kita membacanya seakan ada perasaan mahu tahu dengan lebih lanjut lagi - pastinya daripada perpekstif beliau dan bukannya kita Google sendiri di internet. Tetapi Syahril tentu ada alasan yang tersendiri. Mungkin jika dibicarakan dengan mendalam akan melukakan hati beliau sendiri memandangkan pertalian beliau secara lansung dalam sesuatu kes atau mungkin untuk menjaga perasaan serta sensitiviti sesetengah pihak. Rasanya bagi setiap tajuk yang ada, Syahril sebenarnya boleh mengarang sebuah buku yang khas, sama sepert kisah Prebet Adam dalam bukunya Konfesi Prebet Adam. Moga Syahril boleh mempertimbangkan hal ini terutamanya kisah yang berkaitan pencerobohan geng Jamalulkiram di Kampung Simunul.

Antara tajuk-tajuk menarik dalam naskhah ini adalah seperti Kampung 'Berdarah' Simunul, Melihat Hukuman Sebat, Amuk Prebet Adam, Kisah Adik Sharlinie dan lain-lain lagi. Terdapat sebuah catatan mengenai zakat yang hamba rasa masyarakat patut membacanya. Sebagai seorang yang pernah terlibat secara lansung dalam urusan zakat, hamba ucapkan terima kasih di atas artikel ini yang cuba mengungkapkan serta membetulkan salah pandangan masyarakat terhadap institusi zakat.

Sekiranya anda membaca buku ini dengan baik, anda akan dapati bahawa Syahril cuba menyedarkan orang ramai tentang jasa pahlawan negara khususnya pasukan polis. Walaupun banyak tohmahan yang dilemparkan terhadap pasukan ini, kita tidak boleh nafikan bahawa yang buruk itu cuma sedikit bilangannya. Lebih ramai yang berkhidmat dengan jujur dan ikhlas dan golongan inilah yang menjaga keselamatan kita selama ini. Seandainya semua polis itu korup, sudah pasti negara ini sudah lama melingkup.

Pendeknya, Syahril nak ajar anda semua agar bersyukur!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...