Ahad, 11 Julai 2021

LIGA PENDEKAR RAYA & KOLEKSI KOMIK TERBAIK AZHAR ABDULLAH - Azhar Abdullah


 

Bagi yang biasa dengan dunia komik tanah air ini, nama Azhar Abdullah memang satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama ini tidak akan dapat lari daripada dikaitkan dengan Urban Comics, satu penerbitan lampau yang memberikan nafas baharu kepada komik tanah air. Agak sayang kerana nyawa penerbitan Urban Comics tidak panjang. Namun ia tetap menjadi sebahagian daripada sejarah penting komik tanah air. Menjadi suatu kebiasaan dalam penerbitan Komik-M akan ada ruangan temubual bersama pelukis bagi memperkenalkan dirinya, jadi pembaca baharu akan dapat mengenali pelukis yang kini menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar UiTM ini dengan lebih dekat lagi.

Naskah ini bukanlah satu komik baharu. Ia adalah himpunan komik beliau yang pernah diterbitkan di dalam penerbitan Komik-M. Hiasan muka depan oleh JUSTJIMI19 ini nampak begitu mantap memaparkan watak-watak komik Azhar Abdullah. Sebelum memulai pembacaan komik, pembaca terlebih dahulu dibawa untuk mengenali bagaimana Azhar berkarya di dalam ruangan Tip Berkomik Gaya Azhar Abdullah. Kita tahu bahawa setiap pelukis mempunyai cara mereka sendiri dalam berkarya. Cara Azhar mungkin serasi dengan sebilangan kita dan boleh dijadikan panduan ketika berkarya. 

Terdapat enam buah komik di dalam himpunan ini iaitu;

Hikayat Anak Mangga;

Liga Pendekar Raya;

Kebangkitan China;

Khasiat Komik;

Kembali Ke Sekolah;

Semangat Komik; 

K-Pop Celup; dan

Khalifah Merdeka.

Jikalau diteliti setiap komik ini, kita akan dapati bahawa ia mempunyai nuansa semangat Melayu dan patriotik yang kuat. Komik Hikayat Anak Mangga amat menarik di akhir cerita apabila seolah dihikayatkan bahawa asal manga di Jepun itu adalah daripada bakat seorang anak Melayu Melaka yang dibawa pulang ke Jepun sewaktu Portugis mula membedil Melaka. Kebangkitan China pula bukanlah untuk menunjukkan kehebatan negara China namun untuk menunjukkan bahawa orang China telah pernah tewas dalam perlawanan badminton kepada Liga Pendekar pada zaman dahulu yang menyebabkan mereka berusaha gigih untuk maju dalam permainan berkenaan. 

Khasiat Komik walaupun bermula dengan kisah minat pelukis dalam komik, tetapi dihidangkan dengan pengakhiran yang agak mengejutkan - mungkin cadangan pelukis dalam akhir komik berkenaan boleh di bawa oleh pihak berkenaan untuk perhatian pihak kerajaan. Siapakah YB kita yang akan berani membawanya nanti? Begitu juga dengan lain-lain cerita yang tidak sempat hamba ulas di sini, kesemuanya membawa unsur keMelayuan yang kuat serta nasihat yang tersembunyi yang dapat kita fahami jika menghayatinya denagn baik. Cara Azhar berkenaan adalah sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang pensyarah. Ia juga menunjukkan kebijakan dalam berkarya, barulah orang tidak berani menagatakan bahawa komik ini adalah sesuatu yang sia-sia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...