Ahad, 11 Julai 2021

OPIS BOY - Lengkuas

Gambar ihsan Jenama X

 

Mat Despatch, Yeob Peon dan Opis Boi, semuanya adalah daripada tangan kartunis yang sama - Lengkuas. Walaupun tiga tajuk dengan watak yang berbeza, dua tajuk yang terakhir tetap mengikut jalan cerita tajuk yang pertama - kisah seorang budak pejabat dan penghantar surat sebuah firma guaman. Semua kisah-kisah di bawah tajuk-tajuk ini menjadi 'kacang' di tangan Lengkuas yang sebelum menjadi kartunis pernah menjadi budak pejabat di sebuah firma guaman. Bahkan beberapa watak di dalam karya berkenaan seperti boss, Tan Sri dan Carol si setiausaha adalah beradasarkan watak-watak mereka yang pernah bekerja bersamanya.

Namun Lengkuas telah lama tiada. Tanggal 11 Ogos 2017 beliau telah pergi meninggalkan kita. Opis Boi ini adalah antara karya terakhir beliau di bawah Produksi Jenama X. Memandangkan kita sudah sebati dengan karya Mat Despatch, maka agak sukar untuk kita tidak mengaitkan watak-watak dalam dalam kisah asal dengan watak-watak dalam Opis Boi. Semuanya adalah hampir sama kecuali watak-wataknya diberikan penampilan dan nama yang baru. Hamba percaya perubahan ini adalah kerana ia diterbitkan oleh penerbitan yang berbeza serta untuk mengelakkan berlakunya masalah hakcipta di kemudian hari. Ramai kartunis yang berhati-hati dalam perkara hakcipta berkemungkinan mengambil iktibar ke atas apa yang telah berlkau terhadap kartunis Ujang.

Jadi Opis Boi bermula dari awal semula. Bermula daripada watak Din yang baru mendapat kerja di sebuah syarikat dan seterusnya ragam Din yang pelbagai dan kelakar dengan bossnya itu. Hamba percaya Almarhum Lengkuas pastinya mahu karya ini lebih panjang lagi. Namun Allah lebih berkuasa, beliau terlebih dahulu dipanggil-Nya. Maka karya Opis Boi ini hanya berlansung beberapa episod sahaja. Secara kebetulan petak terakhirnya adalah gambaran Din dan boss berada di surau!

Selain daripada kartun, kartunis Ubi telah menyelitkan pengalaman beliau berkenalan dengan Lengkuas buat kali pertama. Kartunis Ubi juga merupakan kartunis pertama yang menegur Lengkuas yang ketika itu datang pertama kali bagi menyerahkan 30 keping karya beliau untuk dinilai oleh Ujang. Selain itu beberapa gambar termasuk trivia menarik tentang Lengkuas dipaparkan untuk pengetahuan peminat.

Al-Fatihah buat Lengkuas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...