Sabtu, 10 Julai 2021

PENDITA ZA'BA DALAM KENANGAN - Abdullah Hussain & Khalid Hussain


Sewaktu membaca buku Pertemuan Abadi Koleksi Terpilih Abdullah Hussain, di dalamnya terdapat fragmen mengenai buku ini. Dalam fragmen berkenaan, kehidupan Pendita Zaaba sewaktu kecil telah dipaparkan. Hamba amat teruja membaca fragmen berkenaan dan cuba menelusuri internet bagi mengetahui sekiranya buku ini masih ada lagi terjual atau tidak. Malangnya buku ini sudah tidak lagi berada di pasaran. hamba cuma bertemu dengan salinan pdf nya. Namun sewaktu mengemas koleksi buku hamba di perpustakaan peribadi, hamba terjumpa dengan buku ini. Rupanya hamba telah sedia memiliki buku ini yang barangkali dibeli sekitar tahun 2005 (berdasarkan penemuan sekeping resit pasaraya di dalam buku ini!). Lebih menarik lagi ia adalah cetakan pertama tahun 1974. Menurut Talib Samat yang menulis pendahuluan buku Pertemuan Abadi, ini antara karya yang paling cepat diterbitkan oleh Dewan Bahasa iaitu kira-kira dua bulan sahaja selepas Za'ba meninggal dunia. Karya ini juga pernah mempunyai masalah melibatkan undang-undang dengan Mubin Sheppard yang disebut secara ringkas sahaja oleh Talib.

Penulisan buku ini adalah merupakan temubual secara lansung antara penulis dengan Tan Sri Pendita Zainal Abidin bin Ahmad atau yang kita kenali sebagai Zaaba sekitar tahun 1965. Zaaba ketika itu telahpun mula sakit-sakit namun sedaya upaya cuba memberikan kisahnya. Ketika temubual kali terakhirnya pada tanggal 11 Disember 1965, beliau hanya bercakap sambil berbaring di atas kerusi panjang di ruang tamu rumahnya. Kehebatan Zaaba ialah beliau mampu untuk mengingati pengalaman lampau beliau dengan baik termasuk tarikh dan nama individu yang berkaitan.

Sebagai anak Negeri, hamba bangga dengan tokoh kelahiran Batu Kikir ini yang menjadi salah seorang figura sejarah besar negara khususnya dalam arena Bahasa Melayu. Beliau adalah orang Melayu pertama yang mengusahakan satu standard dalam nahu dan penulisan bahasa Melayu yang sebelum itu tidak mempunyai satu garis panduan yang boleh diikuti. Walaupun hanya anak kampung (Batu Kikir sekarang inipun masih kampung, jadi pada zaman dahulu tentulah amat sekali kampungnya), kebijaksanaan beliau telah mula dilihat semenjak kecil apabila berjaya menguasai pembacaan dan penulisan sejak kecil walaupun dengan pendidikan secara informal. Beliau hanya mula mendapat pendidikan formal sewaktu berusia 12 tahun!

Walaupun bapanya melarang beliau memasuki sekolah Inggeris kerana bimbang menjadi kafir, beliau telah tidak mengikuti kata bapanya dan berjanji akan terus menjaga solat dan puasa. Kejadian itu menyebabkan bapa beliau tidak bercakap dengannya untuk tempoh beberapa tahun. Dalam zaman itu, di mana kemudahan tidak seperti hari ini, kebolehan beliau untuk menguasai ilmu amatlah mengagumkan. Seluruh kehidupan beliau banyak dihabiskan untuk ilmu terutamanya yang melibatkan bahasa Melayu. Walaupun pernah terlibat di awal penubuhan UMNO, namun politik bukanlah jiwa beliau.

Bermula dari zaman kecil, persekolahan, perkahwinan, pekerjaan, zaman Jepun serta pengembaraannya ke luar negara, akan membuatkan kita terpaku untuk membaca buku ini. Kagum juga hamba membaca pengalaman beliau berjalan ke Eropah hanya seorang diri. Perlu diingat bahawa ketika itu belum ada kemudahan internet seperti hari ini yang memudahkan kita untuk mencari maklumat akan sesuatu tempat. Paling kuatpun beliau hanya boleh mendapatkan maklumat daripada pejabat pelancongan setempat. Zaaba jenis yang mudah membuat kawan. Di dalam perjalanan, sama ada di dalam keretapi atau kapal, beliau akan cuba untuk mencari teman berbual yang mana kemudiannya agak berguna untuk membantu beliau di dalam perjalanan seperti mendapatkan hotel atau mengetahui arah tempat tujuan. Beliau banyak menggunakan surat, menghantarnya terlebih dahulu kepada kenalan memberitahu akan kehadiran beliau di sesuatu tempat. Pastinya beliau bijak mengira akan tempoh perjalanan surat ini kerana kebiasaannya apabila beliau sampai di beberapa tempat, maka sahabat yang berkenaan telah sedia menunggu.

Zaaba juga menceritakan pengalaman beliau di tanah suci Makkah sewaktu mahu mengerjakan haji dalam perjalanan pulangnya ke Tanah Melayu. Terasa amat susahnya mengerjakan haji pada zaman berkenaan terutamanya apabila melibatkan kemudahan seperti tempat tinggal dan kenderaan yang tidak selesa. Zaman itu belum ada lagi jalan raya dari Makkah ke Madinah. Sekiranya menaiki bas, pemandu bas akan memacu sahaja di atas padang pasir ini mengikut mana-mana sahaja jalan yang dirasakan sesuai. Apabila tayar tenggelam di dalam pasir, maka beramai-ramailah pula jemaah membantu untuk menolaknya. Hanya setakat sampai kisah pengalaman menunaikan haji ini sahajalah penulis dapat menemubual Zaaba akibat keuzuran beliau seperti yang hamba tuliskan di atas tadi. Selepas episod ini kisah Zaaba adalah hasil penyelidikan dan temubual penulis dengan orang-orang perseorangan, kenalan beliau dan hasil karya beliau sendiri.Selain daripada kisah hidup Zaaba, turut dimuatkan ialah beberapa tulisan beliau seperti 'Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu' dan 'Kemiskinan Orang Melayu'. Zaaba banyak menulis tentang orang Melayu, menegur perbuatan mereka serta memberikan pandangan dan semangat untuk orang Melayu berjaya. Sekilas dapat hamba perhatikan beberapa tabiat buruk orang Melayu yang beliau tuliskan itu masih ada lagi hingga ke hari ini. Selain itu terdapat beberapa petikan daripada jurnal terbitan JMBRAS (Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society) seperti Modern Development (The History of Malay Literature), Recent Malay Literaure dan Malay Journalism in Malaya.

Zaaba amat mencintai buku dan memiliki koleksi buku yang banyak. Pada 16 Oktober 1965 beliau telah menyumbangkan wang sebanyak RM10,000 dan koleksi 4000 buah buku beliau kepada Universiti Malaya. Walaupun sayang kepada buku-bukunya, beliau mendermakannya bagi manfaat orang lain memandangkan beliau kerap sakit-sakit. Banyak tempat di dalam buku ini yang menceritakan bahawa Zaaba kerap sakit dan masuk ke hospital. Bahkan di akhir hayatnya juga beliau jatuh sakit dan berada di wad. Beliau ketika itu amat mahu pulang ke rumah seperti merasakan bahawa ajalnya hampir tiba dan mahu mati di rumahnya sendiri. Enam hari selepas di bedah, pada 23 Oktober 1973, Zaaba telah meninggal dunia di dalam ambulan, dalam perjalanannya dari hospital ke rumah. Jasa beliau terhadap negara ini amatlah besar. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa beliau, merahmati dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...