Ahad, 11 Julai 2021

SKOOLASTIK - Ubi


 

Nasihat kartunis Ujang agar beliau melukis cerita yang disukai, faham dan tahu menjadikan kartunis Ubi berjaya melukis kisah-kisah yang melibatkan budak sekolah dengan baik sekali. Walau apapun karya yang pernah beliau lukis, pastinya siri 'Budak Hostel' antara yang paling diingati memandangkan karya inilah yang mengangkat nama beliau sebelum maju ke karya yang lain seperti Aku, Dia & Volkswagen dan In. Siri Budak Hostel adalah kisah tiga sekawan Husin, Guna dan Ah Seng yang penuh jenaka di asrama sebuah sekolah menengah. Kartun ini adalah sebuah kartun perpaduan yang melibatkan etnik yang berbeza namun boleh hidup bahagia dan sentosa.

Skoolastik masih membawa kisah budak-budak sekolah yang diterbitkan di bawah penerbitan sang kartunis sendiri - Studio Diam-Diam Ubi. Walaupun masih lagi berkonsepkan jenaka pelajar sekolah, ia dilihat sedikit 'serius' berbanding dengan Budak Hostel. Skoolastik memasukkan sedikit elemen zaman remaja terutama yang melibatkan perkara hati dan perasaan, rasa ingin bersaing serta pemilikan kuasa.

Kartun-kartun Ubi semenjak dahulu dikenali kerana hasil kerjanya yang kemas dan tidak berserabut. Ia sesuatu yang hamba gemari. Namun sebenarnya tidak semestinya sesuatu yang serabut itu tidak cantik. Ada juga kartunis yang lorekannya nampak kasar tapi bagi hamba ia kelihatan menarik. Antara watak utama Skoolastik adalah Kherry, Pyan, Aina, Kamal dan Ady. Kamal sang ketua pengawas dan Ady sebagai balacinya adalah crook dalam Skoolastik. Mereka agak iri dengan Kherry dan cuba untuk menjatuhkan beliau - menggunakan kedudukannya sebagai ketua pengawas. Dalam masa yang sama Kherry disangka seorang samseng di sekolah lamanya sehingga menimbulkan rasa kegusaran di kalangan pelajar. Sedangkan Kherry si samseng itu sebenarnya adalah persona yang lain tetapi dengan nama yang serupa. Namun kartunis Ubi bijak menggunakan keadaan ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan Kherry sehingga beberapa insiden yang tidak dilakukan Kherry telah menyebabkan nama beliau semakin digeruni.

Selain daripada iri dengan Kherry, Kamal juga mempunyai perasaan terhadap Aina. Dalam melakukan tindakan, Kamal selalu bertanyakan pandangan Ady yang memang nampak balaci dan kaki bodek sungguh. Watak-watak sampingan seperti Cikgu Baharom dan Miss Lai walaupun muncul sekali sekala telah berjaya mewarnakan penceritaan.

Dalam buku ini kartunis Ubi ada memberikan satu link untuk pembaca mengikuti sambungan Skoolastik 2. namun cubaan hamba untuk memasuki link berkenaan gagal kerana ia telah mati. Hamba harap kartunis Ubi dapat menghidupkan semula link berkenaan bagi membolehkan kami mengikuti sambungan Skoolastik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...