Selasa, 13 Julai 2021

WIRA KERA - LEGENDA SEORANG RAJA - Hafiz Ismail


 

Hafiz Ismail adalah satu nama yang baharu buat hamba. Walaupun karyanya tidak pernah hamba baca sebelum ini, tetapi air tangan beliau di dalam naskhah ini ternyata tidak menghampakan sama sekali. Gaya persembahan beliau kelihatan mantap seperti seseorang yang telah lama bergiat dalam arena komik.

Melihat kepada tajuknya, hamba percaya tentu ramai yang terfikir tentang kisah dari China berkenaan Pengembaraan Ke Barat (Journey To The West) terutama kepada watak utamanya - Sun Wukong. Dalam hal ini penulis sama sekali tidak menafikannya. Dia mengambil inspirasi daripada kisah masyhur berkenaan dan menghasilkan karya dengan gaya yang tersendiri berlatar belakangkan Tanah Melayu. Walaupun dari segi nama tempat, pelukis telah mengubahnya, tetapi masih dapat difahami bahawa kisah ini berlatar belakangkan Tanah Melayu.

Jika kisah karut Journey To The West ada memaparkan watak-watak individu yang separuh manusia dan separuh binatang (seperti Sun Wukong itu sendiri), dalam Wira Kera ternyata ia lebih banyak. Bahkan golongan ini mempunyai kelompoknya yang tersendiri, terhasil akibat daripada satu wabak (wabak lagi, macam cerita zombi pula). Mereka hidup bersama dalam kelompok manusia biasa. Sultan juga digambarkan sebagai makhluk jadian yang boleh bertukar kepada singa.

Dalam installasi yang pertama ini, kita diperkenalkan dengan watak Wira Kera itu sendiri yang telah melakukan kekecohan sehingga kemudiannya beliau ditangkap dan dipenjarakan di Bukit Lima Jari. Ia adalah umpama episod pengenalan - permulaan sebelum berlakunya pengembaraan, dalam hal ini Wira Kera (yang namanya Kara - macam nama perempuan dah) akan mengembara bersama Omar menuju ke Pulau Langkasuri bagi menyampaikan amanah sultan kepada seorang yang bernama Tok Hadi. Sebelum mengembara Kara telah berjaya memperdayakan sultan untuk membawa bersamanya sebuah senjata yang bernama Belantan Wajawali. 

Di akhir komik ini pembaca telah dihidangkan dengan teaser komik pengembaraan mereka yang akan datang. Terasa lambat benar sambungannya akan keluar!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...