Isnin, 16 Ogos 2021

AYAHANDA - Azizi Haji Abdullah


Hamba tidak sempat menonton siri drama Ayahanda yang ditayangkan di tv baru-baru ini. Semuanya disebabkan hamba sendiri memang amat jarang untuk duduk di hadapan alat bersegi empat itu sejak beberapa tahun ini. Lagipun kalau hamba menonton, biasanya tidak lama. Selepas itu tv itu pula yang akan menonton hamba yang berdengkur di hadapannya. Cuba juga hamba cari di YouTube, tetapi nampaknya ia tidak diulang tayang di sana. Walau apapun, membaca itu tetap lebih baik daripada menonton. Ini kerana dengan membaca, kita membaca terus isi hati penulisnya. 

Ayahanda memang sebuah kisah yang hebat. Membacanya hamba merasakan kisah ini amat dekat dengan diri hamba sendiri. Kadangkala hamba meletakkan diri hamba di watak ayahanda kerana hamba juga seorang ayah. Kadangkala hamba letak pula diri sebagai seorang anak dan memikirkan adakah hamba telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ayah hamba.

Ini adalah kisah seorang ayah, ayah kepada beberapa orang anak, yang kisahnya dilihat daripada gambaran anaknya yang paling bongsu. Ayah dalam latar masa sekarang adalah seorang lelaki berusia 97 tahun yang telah kematian isteri. Namun kerap juga imbas kembali digunakan khasnya ketika beliau berusia sekitar 70an dan ketika almarhumah isterinya masih hidup. Sebagai seorang yang telah berumur, pastinya seseorang itu mempunyai kelakuan yang berbeza yang kadangkala memeningkan anak-anak. Dalam hal ini hamba rasa penulis mahu kita berfikir adakah kelakuan bapa kita yang berubah ataupun kita sebagai anak ini yang tidak dapat adaptasi dengan kelakuan beliau itu. Adakah dalam usia ayah kita yang telah tua kita akan dapat menjaga beliau dengan sebaiknya lebih-lebih lagi memahami kehendak dan kemahuan beliau. Kadangkala kita bersikap over protective terhadap ayah sedangkan ia sama sekali tidak disenangi oleh seorang ayah.

Apabila kita menjaga ayah di rumah kita adakah ayah akan mendapat layanan yang sebaiknya atau hanya menyebabkan beliau berasa seperti seorang asing di rumah anaknya sendiri. Bagaimana pula dengan penerimaan menantu dan cucu-cucu ayah. Sememangnya membaca naskhah ini hamba lebih banyak merenung akan diri hamba sendiri. Naskhah ini membuatkan hamba risau dengan layanan hamba terhadap ayah. Adakah pada peringkat ayah yang sudah tua ini, ayah yang tidak dapat memahami kita atau kita yang tidak dapat memahami ayah.

Dalam banyak tempat di dalam novel ini ditampilkan tentang kasih sayang seorang ayah. Kasih sayang ayah selalunya tidak ditunjuk sehinggakan kita kadangkala merasakan ayah tidak sayangkan kita. Tetapi melalui tindakan beliau amat nyata ayah sayangkan kita. Kita kadangkala tidak senang dengan beberapa tindakan ayah, namun akhirnya kita sedar akan kebijaksanaan tindakannya itu. Ayah juga amat menjaga maruah anaknya dan sanggup berkorban agar maruah anaknya sendiri tidak tercalar.

Entahlah, hamba agak sukar untuk mengupas tentang naskhah ini. Naskhah ini adalah diri kita dan ayah kita. Dan ia boleh bertukar menjadi tentang kita dan anak kita. Naskhah ini mengajak kita untuk bermuhasabah dan merenung akan kekerdilan diri kita serta bertanyakan adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya.

Ayahanda oleh Azizi adalah satu yang amat mengharukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...