Selasa, 10 Ogos 2021

BUKU BESAR PEMINUM KOPI - Andrea Hirata


 

Minggu ini memang minggu membaca buku-buku Andrea Hirata nampaknya. Selepas Guru Aini, menyusul pula buku ini yang tidak kurang hebatnya. Buku Besar peminum Kopi sebenarnya adalah tajuk ketiga trilogi Laskar Pelangi. Novel Laskar Pelangi kepunyaan hamba yang dibeli bertahun nan lalu entah ke mana pula perginya. Yang kedua rasanya belum ada. Tetapi tidak perlu risau kerana novel ini boleh berdiri dengan sendirinya tanpa anda perlu membaca novel-novel yang lalu. Sekiranya Guru Aini membawakan tema matematik, maka novel ini pula membawakan tema permainan catur - kedua-duanya biasa dikaitkan dengan orang yang bijak!

Latar masa novel ini ialah pada tahun 1997, sewaktu dunia dilanda krisis matawang yang teruk menyebabkan sektor ekonomi tumbang dan berlakunya pengangguran. Walau bagaimanapun, ketika memperkenalkan beberapa wataknya seperti Nong Maryamah dan Salamot, latar masa yang digunakan adalah lebih awal dari 1997. Latar tempat pula banyak berlaku di Kampung Ketumbi, latar tempat yang serupa dengan kisah di dalam Guru Aini. Walaupun beberapa watak ditonjolkan, penumpuan utama adalah lebih kepada dua watak sahaja iaitu Nong Maryamah dan Ikaludin.

Nong Maryamah seorang anak yang cerdas tetapi terpaksa berhenti sekolah setelah kematian ayahnya. Gagal untuk mendapatkan kerja lantaran masih kanak-kanak, Nong nekad menjadi pelombong bijih, satu kerja yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana wanita di kampungnya apatah lagi beliau masih kanak-kanak. Walaupun diperlekehkan pada permulaannya namun lama kelamaan masyarakat mula dia dan dapat menerima keadaan tersebut apabila Nong memperlihatkan kesungguhannya. Pekerjaan tersebut menjadikan fizikal Nong sasa. Seorang anak yang bertanggungjawab, terus bekerja dan menjaga adik-adiknya sehinggalah mereka semua berkahwin lebih dulu daripada beliau dan tinggal berasingan. Nong bernikah dengan Matarom tetapi hidup sengsara sebelum berpisah kemudiannya.

Ikaludin adalah antara watak dalam Laskar Pelangi. Dalam novel ini beliau telah berjaya menamatkan pengajian peringkat master di England dan pulang ketika krisis matawang sedang berlaku. ini menyebabkan beliau gagal dalam mencari pekerjaan dan disuruh ibunya pulang ke kampung untuk bekerja di warung kopi pakciknya. Secara kebetulan, hamba juga pulang dari pengajian di luar negara pada tahun 1997 tatkala dunia dilanda krisis ini. Buat beberapa tahun hamba tidak dapat pekerjaan yang setara dengan kelulusan dan terpaksa bekerja di beberapa tempat sebelum mendapat kerja tetap pada tahun 2000.

Seperti yang hamba nyatakan di awal tadi, novel ini membawakan tema tentang catur. Catur adalah permainan orang lelaki di Ketumbi. Rata-rata mereka boleh bermain catur. Catur bahkan menjadi acara besar pada sambutan hari kemerdekaan Indonesia di Ketumbi setiap tahun. Ia sama sekali bukan permainan wanita. Matarom, bekas suami Nong adalah jaguh catur yang telah memenangi pertandingan tersebut sebanyak dua tahun berturt-turut. Sekiranya beliau menang pada tahun berkenaan, Matarom akan menjadi jaguh abadi dan akan dibenarkan menyimpan terus piala pusingan pertandingan berkenaan. Nong berhasrat untuk memasuki pertandingan berkenaan demi menjatuhkan ego Matarom. Masalahnya, Nong tidak tahu lansung bermain catur! Seperti mana Nong menjadi pelombong timah wanita pertama di Ketumbi, begitu jugalah beliau juga menjadi peserta wanita pertama dalam pertandingan catur di Ketumbi.

Di sinilah Andrea menunjukkan semangat bekerjasama antara rakan-rakan Nong untuk membantu beliau mempelajari permainan catur dan memasuki pertandingan. Nong dilatih oleh Ikaludin dan Ikaludin meminta bantuan rakannya semasa pengajian master bernama Ninochka Stronovsky dari Georgia yang dipanggilnya Grandmaster. Ikaludin dibantu oleh Ninochka dengan mengkaji diagram permainan Nong serta lawannya. Nong yang pada asalnya buta catur secara perlahan-lahan dapat menguasai permainan tersebut. Dalam hal ini Nong dilihat sebagai seorang yang tidak kenal putus asa dan berusaha untuk mempelajari setiap trik yanbg diajar oleh Ninochka. Seorang kawan mereka Mat Nor akan menjadi spy bagi mengintip cara lawan bermain catur. Diagram pergerakan mereka akan dicatat dan dikirim oleh Ikaludin melalui e-mel untuk di analisis oleh Ninochka. Pembaca muda hari ini mungkin tidak mengerti mengapa Ikaludin perlu 'mendail' terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan internet!

Kita mungkin pernah menonton kisah tentang permainan catur di dalam filem atau drama. Ia lebih mudah difahami serta lebih seru menontonnya kerana kita akan dapat melihat setiap aksi pelakon. Tetapi untuk melakukannya lewat tulisan adalah satu perkara yang sukar tetapi berjaya ditangani oleh Andrea dengan baik. Kepelbagaian watak dan ulah pesaing Nong dalam pertandingan catur juga mewarnai penceritaan. Beberapa watak antagonis yang cenderung menyokong Matarom kerap melakukan kekacauan dan provokasi bagi melemahkan semangat Nong. Nong pula mula mendapat sokongan daripada kaum wanita setempat yang terdiri daripada orang kebanyakan, peniaga sayur dan barangan runcit.

Watak Ikaludin walaupun bekerja dengan pakciknya, itu bukanlah satu keistimewaan yang menyebabkan beliau boleh mendapat satu kelebihan. Pakciknya bernama Limunudin yang lebih dikenali dengan Paman L - Ikaludin membunyikan L itu seperti hell. Dalam beberapa tempat, pembaca akan menemui istilah paman neraka! Warung kopi beliau, Anak Tiri Republik merupakan warung kopi terbesar dan terkenal di Ketumbi. Ikmaluddin terpaksa bekerja dengan pakciknya setelah gagal mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelulusan beliau di Jakarta. Beliau berusaha untuk sabar melayani karenah pakciknya yang cerewet. Ikaludin mempunyai satu cita-cita untuk menulis sebuah buku. Beliau mula membuat catatan mengenai para pelanggan yang datang ke warung itu dan membahagikan mereka kepada beberapa kelas seperti  player, ex player, wanna be player, non player, semi player dan penderita sakit gila nombor 29! Pemerhatian beliau terhadap pelanggan ini berguna apabila digunakan untuk mengatur strategi Nong ketika berlawan catur dengan pesaing beliau. Buku ini dinamakan Buku Besar Peminum Kopi. Paman L menjadi nama terakhir yang menjadi penutup buku berkenaan. Dia digolongkan dalam kelompok player sejati!

Satu yang mungkin pembaca akan perasan adalah kebanyakan nama dalam cerita ini diakhiri dengan  'din' seperti nama Ikaludin dan Limunuddin sendiri. Antara yang lain adalah Nudin, Lizardin, Tromidin, Duridin dan lain-lain 'din' lagi. Novel ini dipersembahkan dengan gaya yang santai dan humor. Antara humor yang dapat kita lihat adalah apabila Ikaludin menggunakan alat menambah ketinggian yang dinamakan Happy High. Alat tersebut telah hampir meragut nyawa Ikaludin apabila digunakan. Ikaludin kemudiannya memberikan alat tersebut kepada Mat Nor untuk tujuan 'mendajalkan beliau. Akhir sekali alat berkenaan dihadiahkan kepada Paman L sebelum beliau berangkat ke Jakarta.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET

  Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang l...