Isnin, 16 Ogos 2021

DEBARAN SEMUSIM DI COTABATO - Muhaymin Wahab


 

Banyak yang boleh diterjemahkan apabila melihat kulit buku ini yang memaparkan butiran peluru di dalam sebuah bekas. Hamba menterjemahkannya sebagai peluru adalah 'makanan harian' buat insan-insan di Cotabato. Hidup penuh dengan risiko, ditembak atau tertembak jika pun tidak menembak. Itu adalah cabaran kehidupan di bumi yang bergolak. Mereka mungkin tidak akan merasa apa-apa bila mendengar bunyi mesingan ataupun ledakan bom, tetapi bagi kita yang datang dari sebuah kawasan yang aman, semua itu adalah perkara baharu. Ia bukan baharu yang menyeronokkan tetapi merisaukan. Lebih-lebih lagi apabila kita datang dengan sebuah misi untuk mencipta keamanan. Tetapi ya lah, peluru itu tidak bermata. Apapun niat kita ianya boleh sahaja ditamatkan dengan sebutir peluru.

Saudara Muhaymin adalah seorang pegawai kerajaan Malaysia yang terpilih untuk menganggotai Pasukan Pemantau Antarabangsa Mindanao - 13 selama setahun. Beliau bukan seorang askar walaupun mempunyai latihan dan pengetahuan asas sebagai seorang askar. Inilah yang membuatkan beliau lebih istimewa berbanding anggota yang lain. Bagi hamba pula beliau turut membawa kebanggan dalam skim perkhidmatan yang kami sertai. Biar dicampak ke mana sahaja, di situlah kita beraksi.

Ini adalah pengalaman Muhaymin selama setahun di sebuah kawasan yang bergolak. Beliau bukan pergi sebagai seorang diplomat yang mendapat banyak kemudahan dan keselesaan hidup. Beliau pergi dengan menghadapi risiko yang tersembunyi, kemudahan yang sederhana dan tak akan nampak ekslusif seperti rakan-rakan yang bertugas di kedutaan. Tetapi beliau membawa misi yang besar dan boleh membahayakan diri. Dalam tempoh ini beliau telah menghadiri beberapa program serta pertemuan yang melibatkan pihak-pihak yang bergolak. Di sini kebijaksanaan memainkan peranan yang penting kerana Malaysia adalah sebagai orang tengah yang akan mendamaikan. Hamba tidak tahu bagaimana tahap kehebatan Muhaymin berkomunikasi tetapi hamba percaya bahawa Malaysia tidak memilih wakil yang sebarangan. Maka berpeluanglah beliau untuk menemui beberapa tokoh perang di sana sama ada daripada Armed Forces Philippines ataupun MILF (Mindanao Islamic Liberation Front) sendiri. Sebenarnya jika diperhatikan, penulis tidaklah memperincikan sangat akan kisah-kisah yang berliau tulis yang hamba percaya ia mungkin disebabkan oleh kerahsiaan maklumat yang tidak membolehkan beliau untuk mendedahkan segala-galanya. Namun mengetahui sedikit sebanyak sudah cukup untuki membayangkan kegetirannya kepada kita.

Muhaymin turut membawa kita meninjau akan kehidupan rakyat jelata di Mindanao. Kesimpulannya, rata-rata mereka adalah orang yang susah. Pondok yang kelihatan uzur atau kelihatan seperti kandang kambing itu adalah kediaman dan syurga mereka. Ada yang masih perlu mandi di sungai, tidak mempunyai kemudahan air bersih dan tandas yang sesuai. Kemudahan mereka mungkin adalah masa lalu Malaysia yang belum membangun.

Dalam hal ini, kita yang hidup dengan pelbagai kemudahan setiap hari mungkin lupa untuk bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi. Orang di Mindanao tentunya memasang impian untuk hidup alam keadaan aman, boleh bergerak ke mana sahaja dengan bebas. Ini tidak, sudahlah kehidupan malamnya tiada, terpaksa pula berkurung dalam tempoh tertentu.

Kisah ini bukanlah hanya sebuah catatan pengalaman sebuah pengembaraan. Ia adalah sebuah kiasan halus yang mengajak kita berfikir tentang apa yang kita ada. Sudahkah kita bersyukur hari ini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...