Sabtu, 7 Ogos 2021

GURU AINI - Andrea Hirata


 

Novel ini hamba beli di atas talian daripada penjualnya di Indonesia. Kelebihan membeli di atas talian ialah kita boleh membuat perbandingan harga bagi barang yang sama dengan penjual yang berbeza. Penjual ini memberikan harga yang agak murah ditambah dengan penghantaran secara percuma oleh penyedia tapak jualan. Tetapi apabila bukunya sampai ia seperti buku yang dicetak dengan cara yang tak semenggah. Tidak kena dengan nama besar penulisnya. Jelas sekali bahawa hamba telah kena kencing dengan penjual buku bajakan atau cetak rompak di Indonesia. Cetakannya kelihatan jelek, kertas mukanya nipis dan buram manakala kertas dalamnya juga nampak murah dan tidak berkualiti. Ada cetakan yang kembang dakwatnya bahkan ada mukasurat yang tertinggal. Buku-buku bajakan memang berleluasa di Indonesia. Tetapi dari sudut yang lain hamba melihat bahawa orang di sana masih lagi suka membaca terutamanya buku-buku bercetak. Kerana itu perompak yang mencetak buku bajakan masih boleh membuat keuntungan. Kalau di negara kita perampok ini mungkin agak sukar kerana orang kita sudah mula melupakan buku. Ramai penulis dan syarikat percetakan sukar mencari makan kerana orang kita sudah mula tidak minat membaca. Kalau adapun cetak rompak buku di negara kita, ia kebanyakannya dijual dalam format PDF.

Kita tinggalkan persoalan buku bajakan ini. Apabila membicarakan tentang hasil karya Andrea Hirata, kita tidak perlu ragu sama sekali untuk membaca hasil tulisannya. Andrea Hirata adalah satu nama besar dalam dunia penulisan hari ini. Karya masterpiece beliau, Laskar Pelangi sahaja sudah dicetak dalam 25 bahasa asing. Penulisan beliau amat dekat di hati memandangkan karya beliau menyentuh tentang anak bangsa, tentang kesusahan mereka, tentang kegigihan mereka dan impian yang tinggi untuk mencapai sesuatu. Andrea menulis tentang orang Melayu khususnya di kepulauan Bangka Belitong, tempat asal beliau.

Novel Guru Aini adalah kisah yang menakjubkan. Kisah kegigihan seorang guru bernama Desi Istiqomah yang amat mencintai matematik dan tidak gusar walaupun terpaksa bertugas jauh di sebuah pulau yang mengambil masa perjalanan melebihi enam hari dari rumahnya. Ia juga adalah kisah seorang anak bernama Aini yang asalnya mempunyai prestasi yang agak ke belakang tetapi akhirnya menjadi seorang genius matematik didorong oleh cita-cita mahu menjadi seorang doktor bagi mengubati ayahnya yang sakit.

Hamba pernah membaca beberapa novel tentang kisah seorang guru. Tetapi kisah seorang guru matematik atau novel yang membawa tema matematik ini, ini kali pertama hamba membacanya. Apatah lagi kegilaan terhadap matematik ini berlaku di sebuah pulau yang amat jauh ke selatan Sumatera. Tetapi anda jangan risau atau takut. Walaupun ia kisah matematik, ia dipersembahkan dalam satu persembahan yang amat hebat sehingga anda tidak akan tertekan dengan nama matematik itu.

Kisah kedua orang ini berjalan seiring. Kedua-duanya memberikan inspirasi sama ada kepada golongan pendidik mahupun kepada pelajar. Guru Desi berhasrat mahu mencari dan melahirkan anak yang pintar dalam matematik. Dia membuat sumpah tidak akan menukar kasutnya yang dipakai semenjak memulakan perjalanan sebagai seorang guru sehinggalah berhasil menemukan pelajar yang pintar matematik. lalu kasut itu terus dipakai walaupun semakin buruk, tapak yang tanggal digam kembali dan sebagainya. Hinggakan kasut itu kelihatan tidak padan dengan penampilan beliau yang berbusana muslimah. Guru Desi amat keras dalam didikannya. Semua orang tahu itu, bahkan bersyukur sekiranya tidak memasuki kelas guru berkenaan. Kelas beliau dianggap umpama neraka. Sudahlah matematik dianggap sesuatu yang menakutkan, masuk ke kelas guru Desi ia semakin menakutkan lagi.

Aini memang seorang pelajar yang amat biasa-biasa atau boleh kita katakan pelajar yang tiada masa depan. Tetapi apabila ayahnya jatuh sakit semuanya berubah. Keinginan menjadi doktor bagi merawat penyakit ayahnya membuatkan beliau terpaksa mengatur langkah bagi menguasai matematik. Beliau bahkan memohon secara sukarela bagi memasuki kelas Guru Desi. Guru Desi juga bukan dengan mudah menerima murid seperti Aini. Tetapi kesungguhan Aini amat mengagumkan. Meskipun selalu dimarah, diherdik dan sebagainya namun beliau tetap sabar. Namun bukan mudah bagi Guru Desi mengajar Aini. Aini memang teramat bebal dalam matematik. Pelbagai cara yang digunakan untuk mengakar Aini tetapi semuanya gagal. Sehinggalah beliau memperkenalkan kalkulus - dan selebihnya adalah perjalanan menuju klimaks cerita.

Adakah kita telah mencapai ending yang menyeronokkan. Tidak, Andrea tidak membenarkan itu. Hingga ke hujung novel, Andrea masih menghidangkan kegusaran di minda pembaca. Walau apapun, kisah ini adalah realiti masyarakat di sana, juga adalah realiti masyarakat di negara kita. Novel ini dan Laskar Pelangi membawakan tema yang hampir sama - pendidikan. Pendidikan yang baik adalah perlu bagi mengubah kehidupan masyarakat. Pendidikan yang baik akan menyelamatkan kita daripada kejahilan. Pendidikan yang baik akan menjadikan rakyatnya peneraju negara yang berkualiti. Pendidikan adalah segalanya. Teringat hamba satu petikan yang pernah hamba jumpa sewaktu usia remaja dahulu - ilmu itu cahaya, jahil itu merbahaya! Inilah yang cuba Andrea sampaikan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...