Isnin, 16 Ogos 2021

PUAKA PKP - Khairul Nizam Khairani


 

Hamba membeli novel ini bukanlah kerana hamba tertarik hendak membaca kisah seram. Hamba membeli ini kerana nama penulisnya - Khairul Nizam Khairani. Hamba umpama tidak percaya apabila melihat novel genre seram ini adalah tulisan beliau memandangkan Khairul yang hamba kenali sebelum ini banyak menghasilkan novel bercorak aksi seperti Anarkis, Anarkis : Bangkit, Kudeta Intro, Kudeta KlimaksGergasiLawan dan lain-lain lagi. Hamba tidak pasti sekiranya Khairul telah berubah arah dan tidak mahu menulis novel aksi lagi kerana tiada sambutan. Tetapi suka hamba nyatakan, novel aksi tulisan Khairul adalah antara novel aksi terbaik yang pernah hamba baca. Anda yang tidak pernah membaca tulisan beliau sudah boleh mencubanya. Tapi kalau anda memang malas membaca, tak dapek den nak nolong do....

Ternyata aura beliau sebagai penulis hebat tidak terpadam hanya kerana beralih kepada genre seram. Beliau terbukti berkebolehan dalam genre aksi, kini peminat genre seram sudah boleh mempercayai nama ini dan mencari karya beliau di rak kedai buku. Penulis amat bijak apabila menggunakan premis PKP sebagai rencah dalam novel ini. Walaupun namanya Puaka PKP, sebenarnya tiada puaka pun dalam novel ini yang berkait dengan PKP bahkan jikalau ia tidak dikaitkan lansung dengan PKP sekalipun novel ini masih boleh berjalan dengan baik. Tetapi apabila beliau menggunakan premis PKP, kita sebagai pembaca akan dapat merasakan bahawa karya ini masih 'panas' dan berjalan dalam suasana isu semasa.

Kejadian berlaku di beberapa blok bangunan rumah pangsa kuarters kerajaan. Sebelum itu hamba nak memperbetulkan catatan penulis yang menganggap duduk di kuarters kerajaan kosnya percuma dan hanya perlu membayar bil air dan api sahaja. Sebenarnya penghuni masih perlu membayar iaitu dengan pemotongan elaun perumahan. Cuma jika dibandingkan dengan kos menyewa di luar, tinggal di kuarters lebih menjimatkan. Dari awal lagi penulis telah membayangkan bahawa kawasan berkenaan kelihatan angker dengan ciri-ciri lama, uzur, ada blok yang tidak berpenghuni, hutan di sebelah belakang dengan beberapa kejadian misteri. 

Akif merupakan watak utama dan pokok penceritaan. Di samping kawasan berkenaan yang dikenakan PKPD kerana bilangan penghuni yang mendapat jangkitan Covid-19 yang tinggi, beberapa kejadian kehilangan penduduk di situ menjadi misteri dan tanda tanya. Ia dikaitkan dengan seekor makhluk berkepala babi yang muncul dari hutan di belakang. Akif yang kemudiannya kehilangan ibu dan bapanya secara misteri mula berazam untuk menyiasat perkara tersebut.

Apabila melihat kepada cara penyudah novel ini ditulis, hamba melihat ia seperti keadaan yang selalu dilihat di dalam filem-filem seram di mana novel ini akan dilihat daripada dua sudut pandangan yang berbeza. Yang pertama ia dilihat daripada sudut pandangan watak yang mengalami masalah mental dan satu lagi dari sudut pandangan nyata yang biasanya akan diungkapkan di akhir cerita. Sudut pandangan manusia yang mengalami sakit jiwa ini akan membuatkan kita turut berfikiran seperti mereka dan menyangka bahawa apa yang terjadi adalah berpunca daripada sekian sekian. Namun apabila dikisahkan dari sudut pandangan nyata nanti barulah pembaca akan memahami misteri yang tersingkap di dalam kisah ini. Walaupun ia sebuah kisah seram, Khairul lebih menggunakan pendekatan santai melalui dialog-dialog yang nampak ringan dan penuh humor. Dalam perkembangan penceritaan pembaca akan turut berteka-teki untuk mencari jawapan di sebalik misteri yang berlaku.

Walau apapun kisah seram yang Khairul cuba tuliskan, hamba harap akan ada lagi novel aksi beliau yang akan keluar lagi nanti!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...