Jumaat, 20 Ogos 2021

PUAKA REMPIT - Khairul Nizam Khairani


 

Ayah hamba selalu pesan dulu - 'jangan ambil barang orang'. Walaupun kadang-kadang kawan hamba beri bawa pulang barangan mainan mereka untuk hamba main di rumah, ayah dan emak hamba tidak begitu menggalakkan. Mungkin kerana mereka tidak mahu barang berkenaan rosak atau hilang lantas akan timbul masalah selanjutnya. Kalau dalam internet hari ini, pernah juga hamba terbaca nasihat, kalau tiba-tiba terjumpa duit siling di luar rumah maka janganlah diambil, takut ada yang menghantar sihir.

Kisah dalam novel ini bertitik tolak daripada premis seperti di atas. Sekumpulan remaja yang mengambil sebuah motor RXZ tanpa izin milik seorang mekanik akhirnya berdepan dengan satu pengalaman misteri yang membawa maut kepada diri mereka akhirnya. Motosikal misteri berkenaan dikaitkan dengan Joe Highway, seorang pelumba jalanan yang akan menang dalam perlumbaan yang disertainya dengan motosikal RXZ yang mempunyai sticker harimau berapi di tong minyaknya. Dalam setiap perlumbaan, pesaingnya akan menemui ajal. Dikatakan empat orang remaja ini diresapi oleh semangat Joe sehingga mereka berkelakuan seperti Joe ketika berlumba sedangkan mereka sendiri tidak menyedari apa-apa. Dikatakan motosikal tersebut memerlukan balasan di atas setiap kemenangan yang diperolehi. Ia mahu disemah dengan darah. Ini membawa kepada pembunuhan beberapa individu yang dilakukan dengan amat kejam iaitu dengan memenggal kepala mereka.

Bila membaca tulisan Khairul ini, hamba tidaklah terasa sangat akan keseramannya, lantaran penulis sendiri menulis dengan cara yang amat santai. Tetapi hamba dapat merasakan sekiranya novel ini difilemkan, baharulah kengeriannya akan terasa.

Saudara Khairul, bila nak tulis kisah aksi semula?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...