Sabtu, 7 Ogos 2021

SI PUTIH - Tere Liye


 

Si Putih merupakan buku ke-10 dalam siri Bumi oleh Tere Liye. Namun kali ini anda tidak akan menemui kisah pengembaraan Raib, Seli dan Ali di dalamnya. Novel kali ini adalah khusus buat Si Putih, kucing milik Raib. Walaupun begitu, selain watak Putih, turut menonjol adalah watak N-ou, anak muda yang mendampingi Putih. Kedua mereka berpetualang bersama dan mempunyai ikatan kebersamaan sehingga mampu menghasilkan kuasa yang luar biasa dalam pertarungan.

Latar tempat adalah di klan Polaris, klan yang belum pernah dinyatakan dalam mana-mana siri Bumi sebelum ini. Apabila Tere Liye membawakan peristiwa klan polaris dilanda wabak, pastinya pembaca tidak akan dapat mengelak daripada memikirkan akan pandemik Covid-19 yang sedang melanda sekarang. Hamba percaya apa yang berlaku hari ini telah dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh penulis untuk menjadi sebahagian daripada penceritaan beliau.

Klan Polaris dalam masa beberapa ratus tahun memang akan dilanda wabak yang membunuh. Justeru klan mereka telah membahagi dua klan mereka dengan sebuah tembok transparan setebal 100 meter didirikan di antara keduanya. Teknologi pembinaannya menyebabkan tiada siapa yang dapat memasuki ke kawasan sebelahnya apabila pintu telah ditutup. Wabak yang berlaku menyebabkan pemerintah memindahkan segera rakyat yang masih sihat ke penempatan baharu. Mereka yang sakit sama sekali tidak akan dibenarkan melintas. N-ou dan keluarganya telah dapat melintasi tembok berkenaan apabila secara tiba-tiba N-ou telah dikesan mendapat jangkitan sehingga terpaksa dipisahkan daripada keluarganya dan dicampakkan semula ke penempatan lama. Usia N-ou panjang, beliau terlepas daripada kesengsaraan virus pembunuh. Sepanjang beliau sakit itu, N-ou telah ditemani oleh Si Putih.

Kisah selepas itu adalah pengembaraan mereka. Selama lima tahun N-ou dan Putih cuba mencari jalan untuk melepasi tembok tetapi gagal. Kerana itu dia memutuskan untuk berkelana. Perjalanan beliau itu menemukan N-ou dengan manusia lain, sekaligus memberitahu bahawa wabak berkenaan tidak membunuh semua yang berada di klan Polaris. Seperti biasa dalam kisah siri Bumi, Tere Liye akan banyak membawakan babak pertarungan. Pertarungannnya adalah lebih kurang sama dengan novel-novel Tere Liye yang lalu - pukulan berdendum, tameng transparan dan lain-lain lagi. Cuma kali ini pertarungan mempunyai elemen 'bonding dengan haiwan' di mana petarung boleh menjalinkan kuasa dengan haiwan peliharaan mereka seterusnya meningkatkan kuasa pertarungan. Kuasa pertarungan ini juga mempunya beberapa level atau peringkat - tak ubah macam sedang main game.

Kisah pengembaran N-ou dan si Putih ini dengan segala peristiwa dan pertarungan yang mereka alami ini sebenarnya berlansung dalam tempoh lebih kurang seminggu sahaja rasanya sejak N-ou memutuskan untuk berkelana. Dalam tempoh itu N-ou boleh pandai bertarung dan sebagainya. Tak payah fikir panjang, ini cuma fiksyen. Kisah ini adalah satu spin off, sama seperti novel Ceros dan Batozar. Selepas ini nampaknya akan ada lagi novel seperti itu seperti Bibi Gill seperti yang dimaklumkan penulis. Nampaknya kisah Raib- ini telah berlarut-larut seperti tiada penyudahnya. Hamba sarankan Tere Liye mempelbagaikan teknik penceritaan kerana hamba sudah mulai bosan dengan babak pertarungan yang semakin kerap ditonjolkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...