Isnin, 20 September 2021

CATATAN CAMELIA IRDINA - Norhayati Harun


 

Paparan muka depannya diwarnai rona merah jambu. Tajuknya pula pula menggunakan nama seorang wanita. Ia seolah novel ini adalah untuk bacaan kaun Hawa. Tetapi penulisnya, Norhayati Harun menujukan novel ini untuk kaum Adam! Beliau mahu kaum Adam turut menghayati apa yang ingin beliau sampaikan lewat catatan seorang wanita bernama Camelia Irdina ini.

Camelia Irdina, seorang wanita cantik berkerjaya. Secara zahirnya beliau kelihatan bahagia dengan suami dan anak-anaknya. Suami beliau kelihatan romantik di mata manusia. Hakikatnya Camelia Irdina hidup menderita. Jasadnya sengsara emosinya merana. Suaminya ternyata mempunyai kecelaruan minda. Beliau umpama memiliki dua identiti berbeza, sekejap dirinya umpama malaikat yang mulia, sebentar lagi adalah umpama algojo pencabut nyawa.

Camelia berada dalam dilema. Beliau tidak lagi ingin hidup bersama lelaki yang cukup menyiksa dirinya. Namun dalam masa yang sama 'nasihat' ibu yang mahukan beliau menjadi isteri yang setia dan dendangan syurga berada di bawah tapak kaki suami begitu menyiksa jiwa. Namun beliau tahu beliau perlu kuat untuk diri dan anak-anaknya. Beliau tidak mahu dipandang lemah di mata suaminya.

Maka bermulalah perjuangan Camelia melalui undang-undang mahu membebaskan diri daripada suaminya. Namun suaminya juga bukanlah dengan mudah membiarkan Camelia melalui jalan yang dipilihnya dengan hati yang bahagia. Jalan di hadapan tidak dibentang dengan mudah. Di atasnya ditabur bara yang membara di kiri kanannya pula duri yang boleh meluka.

Ini adalah novel pertama Norhayati Harun. Beliau mahu menyampaikan mesej agar seorang suami menghargai isterinya. Dalam masa yang sama beliau tidak mahu wanita berasa lemah serta tahu tentang hak mereka apabila sesuatu perkara menimpa. Seorang suami perlu dihormati, namun suami tidak boleh menyakiti sang isteri. Norhayati mahu wanita berani membuat keputusan serta mengambil tindakan melalui undang-undang. Perkara ini tentunya sukar bagi segelintir wanita yang selama hidupnya bergantung penuh di bawah lindungan suaminya. Maka, melalui naskhah ini Norhayati cuba membuka jalannya!


Nota - Ulasan ini telah tersiar di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 September 2021 (Jumaat) di bawah ruangan Resensi Gaya.

Untuk mendapatkan buku ini sila rujuk laman FB Adana Publishing Official di https://www.facebook.com/norhayatiharunpt atau melalui e-mel di adanapublishing@gmail.com. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...