Ahad, 19 September 2021

"JANGAN MENGELAT" INTEGRITI DALAM JENAKA


 

Ruangan kartun Hello Boss pernah menghiasi akhbar Utusan Malaysia suatu masa dahulu. Kartun Hello Boss menampilkan dua watak utamanya iaitu Rosli sang pekerja bersama bossnya. Kadangkala ada beberapa watak lain yang akan tampil seperti Liza sang setiausaha dan makcik cleaner. Tetapi kini kita tidak lagi dapat mengikuti kartun Hello Boss yang penuh jenaka sinis ini lantaran pelukisnya, kartunis Dee telahpun kembali ke rahmatulLah pada 19 Februari 2019. 

Naskhah ini yang terbit pada tahun 2011 adalah hasil kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Tintarona Publications dan Utusan Melayu. Barangkali pemilihan Hello Boss adalah kerana kartunis Dee sering membawakan pelbagai isu semasa di dalam persembahan beliau. Memandangkan naskhah ini adalah kerjasama dengan IIM maka kartun yang ditampilkan adalah berkaitan dengan integriti.

Majalah setebal 145 mukasurat ini telah dibahagikan kepada beberapa bab iaitu;-

i.    Politik;

ii.    Rasuah, Penyelewengan dan salah Guna Kuasa;

iii.    Perkhidmatan Awam;

iv.    Jenayah;

v.    Integriti Di Jalan Raya;

vi.    Pendidikan;

vii.    Gejala Sosial;

viii.    Kesihatan & Kebersihan; dan

ix.    Alam Sekitar.


Walaupun akhbar Utusan dahulunya dimiliki oleh parti UMNO, Dee melalui Hello Boss tidak segan-segan untuk mengkritik parti berkenaan di dalam kartunnya seperti yang terkandung di dalam antologi ini.

Memandangkan syarikat Utusan Melayu telah ditutup sebelum ini, naskhah ini mungkin sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku dan hanya boleh didapati pada pemilik individu sahaja.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...