Ahad, 19 September 2021

SEMPOI EDISI MUHIBBAH


 

Majalah Sempoi terbit buat pertama kalinya pada tahun 2017. Reviewnya boleh anda lihat di sini. dalam isu yang pertama tersebut, banyak pemerhatian yang telah hamba utarakan bagi menambah baik pengisian majalah tersebut. Sempoi bukanlah majalah terbitan berkala. Tetapi selepas isu pertama, ada beberapa isu lagi yang terbit selepas itu. Namun isu-isu yang berkenaan tidak hamba beli. Kekecewaan membaca isu yang pertama membuatkan hamba tidak membeli isu yang terkemudian.

Sempoi sebenarnya tidak diterbitkan oleh sebuah syarikat atau organisasi yang tetap. Ia adalah hasil usaha sekumpulan pencinta seni kartun tanah air. Kerana itu majalah ini seperti tiada satu konsep yang khusus seperti majalah-majalah kartun lain yang pernah terbit. Tetapi usaha mereka ini patut dipuji. Mereka tidak mahu arena kartun tanah air terkubur begitu sahaja. Justeru penghasilan Sempoi adalah cara mereka sendiri nagi memeriahkan arena kartun negara.

Kali ini Sempoi muncul dengan satu cara yang belum pernah lagi ditemui dalam mana-mana majalah kartun yang pernah ada di Malaysia. Sempoi edisi muhibbah menghimpunkan 100 kartunis dalam satu majalah. Ini menjadikan majalah tersebut cukup tebal, lebih tebal daripada mana-mana isu bumper yang pernah ada. Menampilkan muka hadapan oleh kartunis Bendi, hamba merasakan mungkin majalah ini telah melakukan banyak pembaharuan. 

100 orang kartunis yang menyumbangkan karya mereka tidaklah semuanya hamba kenali. Ada kartunis  ternama bertaraf lagenda dan otai dan ada juga nama baru yang kali pertama di dengari. Kartunis baharu ini pula ada yang lukisan dan idea mereka cukup bertenaga dan ada yang hamba lihat cukup sebagai biasa-biasa sahaja. Hamba percaya pengurusan Sempoi mahu memberikan peluang berkarya bagi para kartunis baharu ini. Agak menarik apabila ada kertunis bukan Melayu yang karyanya tersiar di edisi ini. Berbeza dengan Sempoi isu pertama, edisi kali ini telah ada beberapa ruangan berwarna, walaupun ruangan hitam putih lebih banyak mendominasi. Susunan grafik dan rekaletak juga adalah lebih baik daripada dahulu namun masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.

Hamba tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan frasa muhibbah untuk edisi ini. Adakah ia merujuk kepada himpunan kartunis yang ramai, percampuran kartunis pelbagai bangsa ataupun hala tuju dan persembahan komik ini yang mengangkat tema berkenaan. Dari segi persembahan hamba nampak ia adalah pelbagai tema dan ragam. Biasanya kalau majalah keluaran khas hari raya akan banyak menampilkan kartun bertemakan raya. Tetapi hamba tidak nampak itu berlaku di dalam sdisi ini. Hamba percaya jika tema muhibbah ini di terjemahkan dalam sebahagian besar kartun, majalah ini akan nampak lebih tersusun dan terancang. 

Walau apapun, penghasilan Sempoi wajar dipuji. Bagi majalah yang dihasilkan oleh sekumpulan peminat kartun, tanpa organisasi khusus, kejayaan mengumpulkan begitu ramai kartunis dalam satu majalah sehinggalah sampai ke peringkat mencetaknya, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Oleh itu sekalung ucapan tahniah daripada hamba buat tenaga di belakang Sempoi. Kita berharap kualiti Sempoi akan lebih baik di masa hadapan sehingga dapat diterbitkan secara berkala pula.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...