Selasa, 9 November 2021

MISTERI TAMING SARI - Ibnu Ibrahim at-Tawari


Hamba capai buku ini di rak kedai dan membelinya. Hajatnya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang keris ini. Hamba tidak peduli dengan apa misteri yang ada pada keris ini. Hamba cuma ingin tahu sejarahnya dengan lebih lanjut. Pada sinopsis di bahagaian belakang buku ini terpapar tulisan penulis - 'Setelah banyak jejak sejarah yang tentunya bersimpang siur yang ku telusuri, akhirnya aku telah berjaya juga merungkai Misteri Keris Taming Sari ini....' Kata-kata ini membayangkan penulis akan memaparkan kepada pembaca segala-galanya tentang keris ini. Melihatkan saiznya yang tebal, tentunya ada banyak maklumat yang ingin penulis kongsikan.

70 mukasurat yang pertama, belum ada lagi pengkisahan tentang keris ini. Ia lebih kepada celoteh penulis tentang kepentingan mempelajari sejarah serta rasa kesal dengan sesetengah individu hari ini yang tidak mengambil berat atau mengambil kisah tentang sejarah. 70 mukasurat bukanlah helaian yang sedikit.....

Selepas itu baharulah penulis berkisah tentang keris ini. Tetapi secara peribadi, apa yang penulis paparkan tentang cerita keris ini telah hamba ketahui melalui beberapa sumber yang lain. Sumber utamanya sudah tentulah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.Penulis juga cenderung mengulang-ulang semula kisah yang sama iaitu seperti dari mana asal keris ini, kepunyaan pahlawan Majapahit bernama Taming Sari, bagaimana Hang Tuah mendapatkannya, kisah keris berpindah milik kepada Hang Jebat sewaktu Tuah dihukum bunuh, kisah keris ini yang pernah dicuri Sang Kertaksa, pertarungan Tuah Jebat, kisah Hang Tuah memulangkan keris ini kepada Sultan/mencampakkannya ke dalam Sungai Duyong kerana gagal meminang Puteri Gunung Ledang, bagaimana Taming Sari menjadi alat kebesaran diraja Perak dan lain-lain. Ia diulang berkali-kali. Misteri tentang keris berkenaan boleh terbang misalnya tidak dihuraikan secara saintifik sama ada benar ataupun tidak. Begitu juga pemakai keris ini dikatakan kebal tidak juga dibuktikan. Ini menjadikan ia terus kekal misteri sekaligus menafikan kata-kata penulis bahawa misterinya telah terungkai.

Selepas itu tiada lagi kisah keris ini. Ia hanya dilanjutkan dengan bab yang dikatakan 'ada kaitan dengan keris ini' seperti pertikaian sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud, pertikaian namanya Hang Tuah atau Hang Tuha dan lain-lain. Kisah ini juga diulang-ulang oleh penulis beberapa kali.

Kemudian diceritakan secara ringkas tentang negeri Melaka dan juga Majapahit 'memandangkan ia ada kaitan dengan keris ini'!. Dari segi persembahannya sebagai sebuah buku sejarah, buku ini memang bermanfaat. Tetapi menamakannya dengan tajuk ini ternyata agak menyeleweng kerana penceritaan tentang Taming Sari tidaklah terlalu banyak. Naskhah ini lebih sesuai diberikan nama sejarah ringkas Melaka dan Majapahit. Tapi ya lah, jikalau tajuk yang demikian diletakkan tiada pula yang akan membelinya. Maka apabila diletakkan perkataan misteri baharulah nampak tarikannya buat pembeli kan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...